Oleh
Dan sekarang ramai yang bercakap
mengenai janji 100 hari PH. Pemimpin dan penyokong BN mengungkit kembali
manifesto yang dibuat PH sebelum ini. Ada di antara rakyat khususnya
penyokong atas pagar juga mengikut rentak ini. Penuh di dinding Facebook
mengenai tuntutan tersebut.
Namun apakah usaha mengungkit itu memberi kesan kepada kerajaan hari ini atau sokongan terhadap BN kembali meningkat?
Jawapannya
tidak ada parameter yang jelas untuk mengukur kesan tersebut, tetapi
yang pasti PH masih di Putrajaya dan mempunyai mandat selama 1,725 hari
lagi.
Oleh itu, laksana atau tidak janji
tersebut, kerajaan akan tetap berjalan seperti biasa kecuali sesuatu
yang amat luar biasa berlaku dan perkara itu sukar untuk terjadi kerana
rakyat Malaysia matang dan menghargai keamanan
.
Justeru,
BN harus menerima hakikat mereka perlu menunggu lagi untuk kembali
semula ke Putrjaya dan itu pun kalau berjaya menangani semua masalah
berbangkit.
Punca utama kekalahan BN adalah
defisit kepercayaan rakyat. Kepercayaan itu luntur disebabkan banyak
perkara. Kelemahan dalam tadbir urus sebelum ini serta kejayaan PH
mempengaruhi rakyat untuk percaya dengan segala macam cerita yang
dilontarkan, sama ada benar atau ditokok untuk menjadi halwa yang enak
ditelan jiwa.
Menurut Naib Ketua UMNO
Bahagian Damansara, Mohamad Fakhzan Md. Noor dalam kertas kerjanya yang
bertajuk UMNO Pasca PRU-14: Ke Mana Hala Tuju, BN mengalami defisit
kepercayaan disebabkan pelbagai faktor antaranya adalah tidak memahami
psikologi pengundi.
“Memetik buku The Myth
of Rational Voters oleh Bryan Caplan. Rakyat mengundi kerana logik atau
emosi? Jawapannya ialah emosi. Trump membakar emosi. Ahli politik muda
Austria, Sebastian Kurz juga bermain politik emosi membangkitkan
nostalgia silam, elemen superiority dan nasionalisme antaranya. Ahli
politik berusia 93 tahun pun bermain emosi menarik simpati,” kata
peguam muda itu.
Emosi ini membentuk
perubahan pemikiran yang mencipta kepercayaan baharu untuk menolak logik
yang selama ini diyakini. Selepas 100 hari, di manakah UMNO dan BN? Apa
yang dilakukan oleh parti itu untuk memulihkan kepercayaan. Jawapannya
masih samar. Parti itu hanya banyak bercakap mengenai kelemahan lawan
tetapi diri sendiri tidak menunjukkan perubahan yang ketara.
Paling
menyedihkan apabila ada di antara mereka mengeluarkan teori-teori untuk
mengambil alih pemerintahan melalui pintu belakang. Malah tanpa rasa
canggung menjaja cerita akan bergabung dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim
bagi mengetepikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dalam
masa sama pula menagih simpati Pas. Di rodong-rodongnya hidung dan pipi
kepada bekas seteru utama itu bagi menagih ihsan walaupun parti itu
seperti acuh tidak acuh. Memang benar UMNO dan Pas perlu bekerjasama
tetapi janganlah sampai kelihatan perigi yang mencari timba. Biar duduk
bincang dengan kemas dan molek.
Berdasarkan
keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, golongan muda menolak UMNO dan
BN. Jika di negeri pantai Barat mereka memilih PH, di kawasan majoriti
Melayu khususnya di pantai Timur dan Kedah, anak muda ini memilih Pas.
Ini realiti dan UMNO hanya menjadi parti untuk orang tua.
Pun
begitu, UMNO dan BN telah menunjukkan kebolehannya. Di Dewan Rakyat,
ahli-ahli Parlimen BN berjaya menjadi pembangkang yang konstruktif.
Paling
ketara perubahan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang dahulu
diejek kerana kenyataan-kenyataannya mempertahankan cukai barang dan
perkhidmatan (GST) tetapi sekarang hujahnya semakin bernas dan sukar
dipatahkan.
Kata bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, “Ada aku kisah apa korang cakap”.
Begitu
juga dengan bekas-bekas menteri lain. Mereka boleh berbahas dengan
baik. Namun itu tidak cukup untuk mengubah persepsi rakyat kerana UMNO
dan BN kelihatan terlalu buruk.
Jadi
bagaimana untuk mengubah segala yang berlaku. Pertama, lakukan kajian
mendalam melalui badan-badan bebas dan usah dipekak telinga terhadap
perkara-perkara yang kurang enak.
Kata
Mohamad Fakhzan, UMNO harus melihat politik secara partikal dan emprikal
dan bukan retorik semata-mata malah beliau menyifatkan hasil kajian
impirikal Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) yang berpangkalan di
Singapura tidak boleh dipandang ringan. Antara kertas kajian ISEAS yang
signifikan berkaitan politik Malaysia sebelum PRU-14 dan wajar dihadam
ialah:
a) Pola pengundi luar bandar Malaysia.
b) Pola pegundi bandar.
c) Media sosial dan politik Malaysia.
d) Pola pengundi Felda.
e) Pendapatan isi rumah dan pengaruh terhadap undi.
f) Analisis Selangor
Malah
Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PH, Datuk Dr. Rais Hussin mendedahkan
bagaimana mereka melakukan kajian sebelum tindakan diambil untuk
mencipta gelombang dan menang dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Berlapis-lapis, kuantitatif dan kualitatif.
Kedua,
transformasi kepemimpinan harus dilakukan dengan tuntas. Jujurnya,
pemilihan UMNO baru-baru ini tidak memberikan impak besar.
Rakyat
masih melihat UMNO masih begitu, kurang lebih seperti dahulu. UMNO
seolah-olah masih terperangkap dengan kerangka lama, hanya mahu
memuaskan hati ahli dan bukannya rakyat.
Pemimpin yang dipilih hanya untuk parti itu dan bukannya yang diterima rakyat atas alasan muka baharu tidak tahu itu dan ini.
Justeru,
ketiga, UMNO harus menampilkan pemimpin muda, bersih dan terpelajar
untuk memulihkan semula defisit kepercayaan. 100 hari berlalu, tidak ada
banyak yang boleh diperkatakan. Ya, PH gagal untuk melaksanakan 10
manifestonya tetapi itu tidak memberikan kesan. Rakyat masih
terbuai-buai dengan ‘kekasih’ baharu mereka. Katalah apa pun, masuk
telinga kiri keluar telinga kanan.
Tugas
UMNO dan BN amat berat tika ini. Bina kembali kekuatan diri dan jangan
terlalu berharap dengan kelemahan PH atau bergantung dengan talian hayat
daripada pihak-pihak lain.
0 comments:
Catat Ulasan