kecoh di media sosial dengan sebuah poster mengenai seorang Adun yang baru menang di Selangor yang cuba memohon derma secara terbuka daripada rakyat jelata untuk pusat khidmat masyarakat yang mahu diwujudkannya.
Bantuan atau derma yang diperlukannya ialah set komputer, printer, perabot pejabat, peti ais, signboard, whiteboard, set sofa dan kenudahan internet unifi.
Selain sedia menerima bantuan atau derma dalam bentuk barangan yang diperlukan, beliau juga bersikap terbuka untuk menerima derma dalam bentuk wang tunai.
Bagi tujuan itu, turut disertakan dalam poster memohon derma itu ialah satu akaun bank yang dipercayai milik seorang guru besar.
Soal bagaimana dan kenapa guru besar yang masih berkhidmat itu sedia membenarkan akaun banknya digunakan, rasanya biarlah ia disiasat dan diselesaikan oleh Kementerian Pendidikan.
Apa yang mahu diperkatakan di sini ialah tentang perbuatan wakil rakyat berkenaan memohon bantuan secara terbuka daripada rakyat jelata. Sepanjang saya hidup, inilah pertama kali saya melihat ada wakil rakyat berbuat demikian.
Tidak pernah saya mendengar ia berlaku sebelum ini kerana mana-mana wakil rakyat biasanya akan menggunakan kemampuan sendiri untuk membuka pejabat atau pusat khidmat mereka.
Sebelum menjadi wakil rakyat lagi, seseorang itu secara umumnya sedar itulah keperluan yang harus disediakan jika setelah menang dan terpilih sebagai wakil rakyat.
Bagaimana menyediakannya, pandai-pandai merekalah berusaha, kalau perlu mengguna wang simpanan, jual kereta, gadai rumah atau meminjam di mana-mana, mahu tak mahu, ia adalah sesuatu yang terpaksa dilakukan demi tanggungjawab yang diamanahkan.
Ini belum apa-apa lagi sudah nak minta tolong daripada rakyat bagi mewujudkan pusat khidmat, siapa yang menolong siapa – wakil rakyat tolong rakyat atau rakyat tolong wakil rakyat?
Seperti suatu trend pula, satu dua wakil rakyat lain juga dikesan meminta bantuan secara terbuka bagi mewujudkan pusat khidmat mereka.
Untuk itu, sebelum sedia atau beria-ia mahu jadi wakil rakyat, seseorang itu perlu ukur baju di badan sendiri dan lihat kemampuan diri terlebih dahulu.
Jadi wakil rakyat ini memerlukan banyak belanja dan pengorbanan, ia lebih kurang sama macam nak berbini dua.
Kalau cermin diri dan rasa tak mampu, lebih baiklah jangan cuba-cuba dan jaga saja isteri serta rumahtangga sedia ada.
Kalau nak berbini dua perlu kemampuan zahir dan batin, untuk jadi wakil rakyat pun perlu ada kemampuan sama – kemampuan wang ringgit dan mampu tanpa mengira masa melayan masalah rakyat.
Jika rasa tak mampu, elakkanlah menawar diri atau beria melobi hendak jadi wakil rakyat, sebaliknya lebih baik buat saja apa-apa pekerjaan yang sedia ada.
Menolong dan membantu rakyat merangkumi banyak perkara, kadang-kadang bini bersalin, anak nak masuk sekolah, bil letrik tertunggak, malah bil cetak kad nama perniagaan pun ada yang minta bantuan dengan wakil rakyat juga.
Kalau kita bukan jenis yang berkemampuan, ditambah sedikit kedekut – macam mana nak jadi wakil rakyat yang baik dan disukai?
Lebih-lebih lagi jika nak sediakan pusat khidmat pun minta tolong dengan rakyat, bagaimana pula mereka nak menolong rakyat?
Sebab itu, kepada semua parti politik selepas ini, ukuran kemampuan hendaklah diambil kira sebelum memilih seseorang itu sebagai calon.
Jangan pilih secara tangkap muat saja, nanti buat rosak nama parti saja dibuatnya.
Kalau ia pun nak minta bantuan atau pertolongan, barangkali tidak menjadi sesuatu yang janggal jika ia dilakukan secara tertutup dengan meninta daripada kawan-kawan, saudara mara atau ahli pernigaan yang dikenalinya untuk semua kemudahan yang diperlukannya itu.
Janganlah orang kawin dua, kita pun gatal nak lahwin dua juga; orang jadi wakil rakyat, kita pun sibuk sama nak jadi wakil rakyat. Tak mampu jadi wakil rakyat, jadi rakyat sudahlah!! – ShahbudinHusin
0 comments:
Catat Ulasan