Ini kerana, kerajaan hanya mengenakan 6 peratus cukai perkhidmatan dan 10 peratus cukai jualan itu ke atas produk dan perkhidmatan tertentu sahaja.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata hanya 38 peratus barang yang akan dikenakan SST berbanding 60 peratus semasa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Kerajaan menetapkan beberapa barangan asas seperti mentega, sardin dalam tin, produk tenusu, kopi, teh, sos cili dan tomato, bijiran, tauhu, kaya, telur, tepung, makanan untuk bayi dan air minuman tidak akan dikenakan SST.
Peranan pengguna
Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Prof Mohd Hamdan Adnan berkata harga barang mungkin kekal sama kerana SST hanya dikenakan di peringkat pengeluar atau pengilang.
Ini berbeza semasa GST dikuatkuasakan pada 1 April 2015 di mana setiap peringkat termasuk pengguna turut dikenakan kadar 6 peratus untuk produk yang tertakluk di bawah cukai itu.
“Namun begitu, jika pengguna merasakan harga yang dikenakan kepada mereka tidak berpatutan (selepas pelaksanaan SST), mereka perlu mengambil tindakan dengan mengadu kepada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata pihak berkuasa perlu menyediakan saluran dan nombor untuk dihubungi bagi memudahkan pengguna menyalurkan aduan.
“Dalam hal ini, pengguna perlu memainkan peranan dengan membuat aduan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan mereka mengambil tindakan,” katanya kepada Bernama.
Faktor harga naik
Sambil memberitahu bahawa SST bukanlah faktor tunggal yang mempengaruhi kenaikan harga barang, Mohd Hamdan berkata nilai matawang negara, produk import, bekalan serta permintaan terhadap produk tertentu turut menjadi faktor penyumbang.
Selain pengguna perlu memahami perkara itu, katanya, mereka juga harus lebih sensitif terhadap turun naik harga barang.
“Ada pengguna tidak tahu pun harga barang naik atau turun. Sebenarnya, mereka perlu ambil tahu terutama harga barang kawalan supaya tidak timbul salah faham atau ditipu peniaga.
“Bukan SST sahaja punca harga barang naik... sebagai contoh, bagi barang-barang import, harganya ditentukan pasaran dunia. Selain itu, keadaan cuaca yang tidak menentu atau laut bergelora, tidak mustahil harga ikan dinaikkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd Hamdan berkata langkah kerajaan mengenakan cukai kad kredit pada kadar RM25 berikutan pelaksanaan SST boleh membendung orang ramai khususnya golongan muda terperangkap dengan hutang.
“Ramai orang muda yang berusia 30-an sudah bankrup disebabkan kad kredit. Kita tidak mahu menggalakkan rakyat menggunakan kad kredit...kita tidak mahu menjadi masyarakat yang ‘kaya’ dengan hutang,” katanya.
Imbangi cukai
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia Muhammad Ridhuan Bos Abdullah pula berpendapat dasar berbentuk cukai memang memberi kesan kepada rakyat namun, ia bergantung kepada kebijaksanaan dan kecekapan kerajaan mengimbangi perkara itu melalui beberapa inisiatif.
Beliau berkata tindakan kerajaan memberi pengecualian terhadap beberapa produk dan perkhidmatan tertentu dapat membantu rakyat khususnya golongan B40 (berpendapatan bawah RM3,000 sebulan).
“Untuk jangka masa pendek, mungkin ada sedikit kesan kepada harga barang atau perkhidmatan tetapi ia tidaklah melampau sehingga membebankan rakyat.
“Dari segi impak perubahan regim GST kepada SST, saya melihat ia tidak akan membebankan rakyat kerana Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah mempunyai pengalaman semasa GST ingin dilaksanakan,” katanya.
Beliau meminta Kementerian Kewangan dan JKDM supaya terus memberi penjelasan dan penerangan mengenai pelaksanaan SST agar rakyat khususnya peniaga dan pengguna dapat memahami konsep pelaksanaan cukai itu dengan jelas.
Pemantauan berterusan
Penasihat Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur Datuk Dr Sharifuddin Musa pula meminta kerajaan supaya menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan harga barang dan perkhidmatan dapat dikawal serta tidak menjadi bebanan kepada pengilang.
Ini kerana cukai SST hanya dikenakan pada peringkat pengilang atau pengeluar sahaja.
“SST adalah cukai satu peringkat di mana ia hanya dikenakan kepada pengilang sahaja dan tidak boleh dituntut. Cukai ini dianggap sebagai kos kepada perniagaan.
“Kegagalan mengawal kenaikan harga akan memberi impak kepada pengilang termasuk menjejaskan keuntungan margin dan prestasi kewangan syarikat,”katanya yang juga Pengerusi FM Plastic Industries Sdn Bhd.
Ditanya tentang persiapan melaksanakan SST, beliau berkata pihaknya masih menunggu penjelasan lanjut daripada kerajaan dan JKDM mengenai pelaksanaan SST.
“Persiapan kami sekarang adalah melakukan simulasi mengenai kesan kenaikan kos operasi supaya kami dapat mengawal (kenaikan) sekiranya berlaku. Simulasi ini berbeza mengikut produk atau perkhidmatan tertentu dalam industri,” katanya.
Ini kerana industri pengilangan menghasilkan pelbagai jenis produk selain melibatkan produk siap sepenuhnya dan separuh siap yang masing-masing mempunyai kadar cukai yang berbeza. — Bernama
0 comments:
Catat Ulasan