Katanya parti itu tidak sepatutnya bertanyakan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki ketika berkempen kerana beliau bukan menteri. 

"(Wong) Siew Ki bukan menteri, kenapa tanya dia? Kalau nak tanya pasal tol, anda patut tanya saya, sebab sayalah menteri, " katanya ketika menyampaikan ceramah umum PH DUN Balakong di sini, malam tadi. 


Jumaat lepas, calon MCA Tan Chee Teong dalam satu kenyataan membidas Wong yang gagal menjawab isu berkaitan kegagalan pemansuhan tol oleh kerajaan seperti dalam janji manifesto.
Tan berkata penduduk Balakong seakan terperangkap dengan tujuh tol untuk keluar ke Kajang atau Kuala Lumpur, yang dilihat menjadi beban kepada mereka. 


Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP berharap agar rakyat sabar dalam memberikan masa kepada kerajaan PH yang masih baru untuk menunaikan janji-janji terhadap mereka. 


"PH baru sahaja empat bulan dalam kerajaan dan perlukan masa untuk mengukuhkan ekonomi dan melangsaikan hutang-hutang kerajaan terdahulu. 


"Kami tidak mahu rakyat terbeban lagi dengan hutang RM1trillion yang ditinggalkan oleh Barisan Nasional dan kami sedang berusaha untuk menyelesaikannya dan menunaikan janji bagi meringankan beban rakyat," katanya. 


Sementara itu, Wong mencabar Tan untuk mengadakan perbahasan berkenaan isu-isu pembangunan kawasan Balakong. 


Katanya sepatutnya satu perbahasan akan diadakan pada tengah hari ini dengan Tan, namun beliau difahamkan telah ditangguhkan pada saat-saat akhir atas alasan jadual padat. 


"Pada mulanya saya sangat teruja apabila Tan bersetuju untuk berbahas dengan saya namun semalam saya diberitahu mereka tidak dapat hadir akibat kekangan masa. 


"Namun, saya cabar mereka untuk berbahas dengan saya dan saya rela meluangkan masa untuk sesi itu sekiranya mereka bersetuju menyahut cabaran itu," katanya. 


PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya, Eddie Ng dalam satu kemalangan jalan raya, 20 Julai lepas.


Pada Pilihan Raya Umum ke-14 , Ng yang mewakili DAP menewaskan calon BN, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS) dengan majoriti 35,538 undi. - BERNAMA