ADUN PKR Kedah terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Anggota
Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bahawa beliau "boleh
melakukan perkara hebat di Kedah" apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim
menjadi perdana menteri seterusnya.
Ahli Dewan Undnagan Negeri Sidam, Dr Robert Ling berkata Timbalan
Pengerusi BERSATU Kedah Anuar Abdul Hamid telah menafsirkannya sebagai
"rancangan untuk merampas" jawatan daripada Menteri Besar Datuk Seri
Mukhriz Mahathir.
"Saya melihat perkara ini secara serius dan menegaskan bahawa
kenyataan Johari adalah bersifat peribadi dan tidak dalam apa-apa cara
sekalipun berkaitan dengan PKR," kata Ling dalam satu kenyataan
"Kepimpinan PKR Kedah dan cabang parti Sungai Petani tidak
membincangkan jawatan Johari sekiranya Anwar bertanding di kerusi
parlimen Sungai Petani," kata Ling.
Pada hari Ahad, pada majlis sambutan 20-tahun reformasi di Pulau
Pinang, Johari mengulangi kesediaannya untuk menawarkan kerusi parlimen
Sungai Petani kepada Anwar untuk bertanding.
Langkah itu bagi membuka jalan kepada Anwar, yang memenangi jawatan
presiden PKR tanpa bertanding dalam pemilihan parti, untuk kembali ke
parlimen.
Salah tafsir kenyataan
Johari, yang juga ADUN Gurun, berkata beliau boleh melakukan 'perkara
hebat' di Kedah jika Anwar menjadi perdana menteri, sambil menjelaskan
negeri itu kekal di bahagian bawah selepas Kelantan, yang kini
diperintah PAS.
Ditanya jawatan mana yang beliau mahukan ketika Anwar mengambil alih
kedudukan perdana menteri iaitu antara jawatan menteri persekutuan atau
menteri besar, Johari memilih yang terakhir.
Ini mendorong BERSATU Kedah bertindak balas berkata terdapat
rancangan untuk menjatuhkan Mukhriz, yang mana Johari dengan tegas
menafikan, mengatakan bahawa pemimpin Kedah itu telah "salah mentafsir"
ucapannya kerana beliau hanya menjawab soalan daripada media.
Sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Sungai Petani, Ling berkata, beliau
mengalu-alukan Anwar untuk bertanding di Sungai Petani supaya beliau
dapat menjadi perdana menteri ke-8, seperti yang dipersetujui oleh
gabungan itu sebelum PRU14.
Anwar sepatutnya menggantikan Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh dua
tahun tetapi Mahathir berkata beliau mungkin memerlukan lebih banyak
masa untuk meletakkan negara di landasan yang betul.
"Bagaimanapun, ini tidak bermakna Johari akan dilantik sebagai menteri besar Kedah," kata Ling.
"Kami telah bersetuju, secara konsensus, untuk menyokong Mukhriz
sebagai Menteri Besar. Beliau perlu diberi peluang dan masa untuk
mentadbir negeri dengan betul.
"Saya berharap tidak ada lagi kenyataan media yang akan membawa
kepada persepsi negatif di kalangan rakyat dan mungkin membawa kepada
pembubaran Pakatan Harapan," kata Ling, yang juga ketua cabang PKR
Sungai Petani.
Menurutnya lagi, mandat rakyat yang diberikan kepada HARAPAN pada
pilihan raya umum 9 Mei untuk memimpin negara mesti dilaksanakan dengan
baik supaya keyakinan rakyat terhadap gabungan ini tidak akan terhakis.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan