Kementerian Pembangunan Usahawan akan membawa isu penamatan kontrak
pengusaha kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kepada Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad esok.
Menterinya Mohd Redzuan Md Yusof berkata pihaknya mengambil maklum
perkara tersebut yang menjadi rungutan di kalangan pengusaha
memandangkan kontrak yang ditandatangani bersama kerajaan lama
sepatutnya tamat pada 2020.
“Walaupun Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini diletakkan di
bawah Kementerian Belia dan Sukan, saya sebagai Menteri Pembangunan
Usahawan merasakan suara tidak puas hati para pengusaha wajar dibawa ke
atas,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam dan Sesi Dialog
bersama Persatuan Pengusaha Kem Latihan Khidmat Negara (PPKN) di sini
malam tadi lapor Bernama.
Bagaimanapun katanya pihaknya sentiasa mengalu-alukan para pengusaha
untuk memberi idea dan alternatif yang sesuai untuk dikemukakan kepada
kerajaan supaya segala aset yang dimiliki mereka dapat dimanfaatkan.
“PLKN dan Biro Tata Negara (BTN) bukanlah dibubarkan
sewenang-wenangnya oleh kerajaan tapi kerajaan kita hari ini sedang
mencari program yang sesuai dan lebih baik berbanding sebelum ini,”
katanya.
Mohd Redzuan katanya beliau berharap perkara tersebut akan dapat diselesaikan dalam situasi menang-menang bagi semua pihak.
Menteri tersebut berkata beliau juga akan mengadakan perbincangan
lanjut bersama Kementerian Belia dan Sukan mengenai langkah
penstrukturan semula PLKN dan BTN
“Saya juga sebelum ini pernah menyarankan agar kedua-dua program ini
disatukan dalam satu bentuk program pembangunan modal insan yang
baharu,” katanya.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini
memaklumkan, kerajaan telah memansuhkan PLKN dan BTN serta-merta dan
bakal digantikan dengan program baharu.
Dalam pada itu, Presiden PPKN Datuk Seri Kamil Ibrahim memaklumkan
bahawa pihaknya menerima surat penamatan kontrak pengurusan kem PLKN
daripada Kementerian Pertahanan hari ini.
“Sepatutnya perjanjian kami bersama kerajaan dalam menguruskan kem
ini pada 2020, tetapi kami telah menerima surat penamatan hari ini.
“Bukan sahaja menjejaskan pendapatan, tetapi kami terpaksa menanggung
bebanan hutang dengan bank ekoran pinjaman dibuat bagi menguruskan
perniagaan ini,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan