Najib dibawa ke mahkamah pagi ini

Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kira-kira 8.55 pagi hari ini.

Najib ditahan SPRM pada 4.13 petang semalam di ibu pejabat SPRM di sini berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

Beliau bakal menghadapi pertuduhan di mahkamah di Kuala Lumpur pada 3 petang hari ini.
Kenderaan jenis Alphard Hitam yang membawa Najib diiringi dua kereta peronda dan dua motosikal polis dikatakan menuju ke ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Menara 238, Jalan Tun Razak.

Kelibat Najib bagaimanapun tidak dapat dirakamkan kerana kenderaan berkenaan bercermin gelap.
Petugas media yang menunggu di perkarangan ibu pejabat SPRM sejak 6 pagi hanya dapat merakamkan pergerakan keluar kenderaan yang membawa perdana menteri keenam itu.

Sebelum ke mahkamah, SPRM dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi merakamkan percakapan Najib bagi membantu siasatan pihak polis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Najib sebelum ini telah didakwa di mahkamah atas tujuh pertuduhan.

Pada 4 Julai lepas, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 8 Ogos pula, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.- Bernama.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan