PAS lawan Anwar di PRK Port Dickson

PETALING JAYA: PAS mengumumkan ia akan menentang bakal presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson 13 Oktober ini.

Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata calon parti Islam itu akan diumum esok malam.
Hadi berkata lawan Anwar itu “tokoh yang sepadan dengannya”.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya yang disiarkan secara langsung di Facebook selepas mesyuarat PAS di Terengganu malam tadi.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak akan bertanding PRK Port Dickson menentang Anwar. Pengerusi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan antara Umno, MCA dan MIC.

Hadi berkata keputusan untuk bertanding ini “bagi menghidupkan demokrasi”.
“Kita tak mahu rakyat tidak diberi peluang untuk memilih walaupun kita tak setuju pilihan raya dibuat seperti itu,” katanya.

Hadi berkata PAS mahu mengambil peluang ini untuk melatih para petugas parti dan melihat maklum balas pengundi.

“Tidak mudah menang tapi tak mustahil,” katanya, dan mengambil maklum calon PAS yang bertanding di Parlimen itu pada pilihan raya umum 9 Mei lalu hanya memperoleh 6,594 undi sahaja.

Hadi berkata PAS mengharapkan rungutan orang ramai terhadap Pakatan Harapan seperti yang dilihat pada pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis 4 Ogos lalu dan DUN Seri Setia 8 September lalu.

“Gelombang itu makin meningkat. Rakyat meluahkan rasa melalui pilihan raya,” katanya.

PRK Sungai Kandis dan PRK Seri Setia mencatatkan peraturan keluar mengundi yang sangat rendah iaitu 49.5% dan 44.1%.

Sementara itu, Hadi berkata pilihan raya kali ini tidak akan menyaksikan kerjasama antara PAS dan Umno, dan kedua-dua parti itu tidak sependapat tentang memulaukan PRK Port Dickson.

Pengundi Parlimen Port Dickson akan memilih wakil rakyatnya pada 13 Oktober ini, selepas penyandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

Pakatan Harapan dilaporkan mempunyai persefahaman iaitu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Anwar, selepas tempoh masa tertentu.

 Anwar merupakan pilihan pertama gabungan itu untuk jawatan perdana menteri.

Selain PAS, Anwar bakal ditentang oleh Parti Rakyat Malaysia (PRM), bekas setiausaha agung MIC Datuk G Kumar Aamaan dan personaliti Twitter, Stevie Chan Keng Leong sebagai calon bebas.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan