Pengakuan dan pendedahannya sungguh memeranjatkan, bukan sahaja kepada musuh tetapi juga dalam kalangan teman-teman.
Lain yang ditanya, lain dijawab. Banyak mata terbelalak! Hairan ada, terperanjat pun ada. Apabila didesak supaya menerangkan tentang wang RM9.5juta yang diterima daripada Najib Razak, dia mengambil kesempatan untuk melakukan sesuatu yang lain. Pintar dan licik!
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya dalam menjawab tentang RM9.5juta. Apakah motifnya yang sebenar? Sebagai peguam berpengalaman, pasti dia mempunyai perencanaan tersendiri.
Di samping menyentuh tentang dakwaan imbuhan yang diterima, dia menerangkan cerita di sebalik tabir tentang apa yang berlaku. Dan dia menggunakan nama Tun M sebagai pelakon utama.
Dia menerangkan dengan agak terperinci trikh dan tempat pertemuan antara Tun M dengan Najib dan antara dia dengan Tun M. Antara sebab yang disebut ialah AGC kalah dalam kes Liwat 1 di Mahkamah Persekutuan dan kes Liwat 2 di Mahkamah Tinggi menjadi punca permintaan Tun M itu.
Akhirnya Najib bersetuju dengan ketegasan Tun M melantiknya dia melalui FIAT sebagai pendakwa raya khas kes Liwat 2 dan itu adalah sebahagian daripada 6 tuntutan Tun M kepada Najib.
Pendedahan itu menimbulkan banyak persoalan. Lebih memeranjatkan ramai orang ialah peranan Tun M yang berterusan dalam kes liwat Anwar, sedangkan pada waktu itu beliau tidak lagi menjadi perdana menteri.
Hanya Tun M dan Najib sahaja yang boleh menjawab kebenaran pendedahan Shafee itu. Ini kerana Najib menjadi pihak yang berkepentingan, maka Tun M harus jujur merungkai persoalan itu. Kalaulah benar apa yang didedahkan, apakah motif sebenar Tun M?
Apakah Tun M mahu dan suka melihat Anwar terus dipenjara? Apakah Tun M mahu menguburkan karier politik Anwar yang dilihat ketika itu semakin kuat dan berjaya menyatukan pembangkang menjadi satu gabungan yang dinamakan Pakatan Rakyat?
Apakah Tun M mahu menyekat Anwar daripada bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri dan seterusnya menjadi Menteri Besar Selangor ketika itu? Tun M tahu dengan menjadi MB Selangor, Anwar akan dapat menguatkan lagi Pakatan Rakyat setelah menawan Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan sebelum itu.
Apakah Tun M terus berdendam dengan Anwar dan mahu mempertahankan kes liwat ciptaannya terhadap Anwar? Kalau Anwar menang dalam rayuannya, maka rakyat akan tahu bahawa selama ini Tun M adalah sosok yang mencipta pembohongan itu sehingga diterima sebagai kebenaran seperti yang pernah disebut oleh Vladimir Lenin.
Semua maklum bahawa ketika itu Umno dan BN sangat tertekan dengan gabungan pembangkang dan pemangkin kepada gabungan itu tidak lain dan tidak bukan adalah Anwar. Sebagai ‘master tactician’ Tun M tahu Anwar harus dihapuskan dan dimatikan seperti yang dilakukan dalam episod Liwat 1.
Terakhir apakah kemungkinan imbuhan RM9.5juta itu juga saranan daripada Tun M?
Di sinilah Tun M harus jujur untuk membuktikan Mahathir yang memimpin PH sekarang bukanlah Mahathir 1.0 yang dulu. Ini penting untuk aktivis PH agar pisang tak berbuah 2 kali, tidak wujud musuh atau ‘trojan horse’ dalam PH, dan tidak ada juga telunjuk lurus kelingking berkait.
Sementara menunggu penjelasan Tun M, aktivis PH juga harus sedar akan motif Shafee. Sebagai peguam terkenal yang mempunyai hubungan baik dengan Tun M dan Najib, pasti dia pintar berhujah mengelirukan musuh. Justeru semua harus tahu motifnya.
Motif pertama mungkin untuk menyelamatkan “tuannya” yang kini menjadi anak guamnya. Apatah lagi dengan dakwaan “imbuhan” daripada budi “tuannya” itu sedangkan, menurutnya, telah tertangguh sejak zaman Tun M. Yang hendak diburukkan sekarang ialah Tun M supaya gabungan PH menolaknya.
Pendedahan itu juga boleh ditafsir sebagai “membawang” dan bertujuan mengadu domba pimpinan PH. Paling jelas ialah ia mahu mengembalikan permusuhan antara Tun M dengan Anwar. Isu ini jika tidak dijawab bakal menjadi pisau tajam yang boleh membelah dan membunuh kepercayaan antara Anwar dan Tun M.
Taktik Sun Tzu seolah-olah digunakan di sini untuk melemahkan PH dan sumber kekuatan PH sekarang terletak pada Tun M dan Anwar. Tiada senjata lebih ampuh yang mampu melumpuhkan gabungan politik itu selain daripada mengembalikan permusuhan antara 2 tokoh ini.
Apakah motif dan strategi ini akan berjaya? Hanya Tun M dan Anwar sahaja yang boleh menentukannya.
0 comments:
Catat Ulasan