Barisan Harapan Malaysia (BHM) Bagaikan Angan Angan Lebai Malang Sahaja

Oleh HAYAR HASSAN

Sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO(PAU) ke 72 baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi(DSZH) telah melontarkan idea bahawa sebuah Kerajaan Perpaduan@Unity Government(UG) sedang rancak diusahakan .

 Barisan Harapan Malaysia(BHM) adalah nama yang diberikan kepada sebuah gabungan baru yang terdiri daripada parti-parti UMNO,kem Dato’ Seri Anwar Ibrahim(DSAI) dalam PKR, PAS, MCA, MIC, STAR Sabah serta parti-parti Gabungan Parti Sarawak(GPS). Beliau begitu bersemangat mempromosikan bahawa BHM adalah Government In Waiting. Maksudnya, jangan lah terkejut, “ Bila-bila masa sahaja BHM akan menubuhkan Kerajaan di Putrajaya !”

Malangnya gagasan yang cuba dicetuskan oleh Presiden UMNO itu tidak mendapat reaksi yang selayaknya daripada ahli-ahli UMNO pada PAU ke 72 itu. Sebelum ini, kita dimaklumkan bahawa sebarang cetusan idea daripada Presiden UMNO pastinya akan menerima dukungan dan sokongan kebanyakan perwakilan UMNO. Pastinya sebelum ini cetusan idea Presiden akan dibahaskan dengan panjang lebar dan akhirnya akan diterima sebagai strategi berpolitik UMNO untuk tempoh masa beberapa tahun menjelang pemilihan pucuk pimpinan UMNO berikutnya. Itu adalah wajah PAU sebelum PRU 14. Namun segalanya berubah dengan pantas sekali seusai PRU 14.

Sebelum ini, tidak pernah cetusan idea serta gagasan politik seorang Presiden UMNO diremehkan sedemikian rupa oleh ahli-ahlinya sendiri ! Cukup sedih serta meloyakan apabila melihat cetusan idea Presiden UMNO itu tidak dapat dipertahankan oleh PAU 2018. Ini boleh lah dianggap sebagai isyarat awal bahawa sememangnya cukup sukar untuk UMNO bangkit semula dalam arena politik Malaysia dibawah kepimpinan DSZH!

Mantan Ketua Pemuda UMNO yang juga bekas calon Presiden UMNO pada pemilihan pucuk pimpinan UMNO baru-baru ini, YB Saudara Khairy Jamaludin Abu Bakar(KJ) secara sinis telah menyindir gagasan idea DSZH itu.

KJ menegaskan bahawa, pada waktu ini UMNO hendaklah menerima hakikat bahawa mereka bukan lagi memegang tampuk pemerintahan Putrajaya . Tegasnya, UMNO adalah pembangkang ! Dalam sistem demokrasi berparlimen, untuk pembangkang mampu menubuhkan sebuah kerajaan dalam Pilihan Raya Umum(PRU) akan datang, terlebih dahulu mereka hendaklah berperanan sebagai pembangkang yang sihat ,berwibawa dan berkesan.

Rakyat hendak melihat dan akan menilai kredibiliti mereka sebagai pembangkang yang berkesan. Setelah UMNO berjaya berperanan sebagai pembangkang yang berkesan selama satu penggal, barulah boleh mereka menawarkan suatu manifesto yang hebat kepada semua pengundi dalam PRU 15 nanti ! Tiada jalan singkat kearah penubuhan sebuah Kerajaan baru di Putrajaya. Sekadar tawaran melompat parti daripada Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan(PH) yang tidak diberikan jawatan serta penyertaan daripada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang lain sukar direalisasikan. Ianya pernah diusahakan oleh DSAI seusai PRU 13, tetapi ternyata tetap gagal. Pepatah Melayu ada menyebut, “ Kalau nak berlunjur, kena duduk dulu, tak boleh terus berlunjur nanti akan jatuh terkelepok, sakit seluroh badan !”

Datuk Asraf Wajidi Dasuki, yang baru menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO pula berpendapat maruah perjuangan asal UMNO yang begitu murni seolah-olah seperti akan terjual dengan murah seandainya UMNO mengambil pendekatan jual beli ahli-ahli parlimen semata-mata untuk kembali berkuasa. Kerajaan yang rapuh itu tidak akan dapat bertahan lama, malahan rakyat akan memandang serong dan mentertawakannya.

Yang lebih menarik, kritikan yang cukup pedas atas gagasan BHM ini datang juga daripada Dato’ Seri Mohamad Hasan(DSMH), Timbalan Presiden UMNO sendiri. DSMH meminta Presiden serta ahli-ahli UMNO, “ Berhenti bermimpi !” atas isu BHM ini.Sebaliknya ahli-ahli UMNO kena bekerja kuat untuk memulihkan kembali keyakinan orang Melayu terhadap UMNO. Kritikan-kritikan pedas pimpinan utama UMNO itu akhirnya telah membantutkan gagasan BHM itu.

Kalau diamati, gagasan BHM ini hanya mendapat perhatian khusus dan minat pimpinan pusat PAS. Beberapa pemimpin pusat PAS kelihatannya begitu teruja dengan idea penubuhan Kerajaan Perpaduan BHM ini. Dengan berbekalkan 18 kerusi ahli parlimen, PAS mungkin beranggapan bahawa mereka akan mampu membuat tawar menawar untuk beberapa jawatan menteri serta timbalan menteri ! Mungkin rasa kecewa penyokong serta ahli-ahli PAS akan segera terubat seandainya beberapa orang ahli parlimen mereka bergelar menteri atau timbalan menteri.

Memang sukar untuk dinafikan bahawa perasaan irihati memang tetap ada pada pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli PAS apabila melihat 9 orang Ahli Parlimen AMANAH, yang dulunya aktif dalam PAS sudah menjawat jawatan Menteri Penuh dan Timbalan Menteri.

Kalau dipertimbangkan secara logik akal dan adat, Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung dan lain-lain Ahli Parlimen PAS sudah pasti akan menjawat beberapa jawatan menteri atau timbalan menteri seandainya PAS tidak bertindak keluar daripada Pakatan Rakyat(PR) !. Tapi ibarat pepatah Melayu lama, “ Nasi sudah menjadi bubur ”, perkara yang sudah berlaku tidak boleh diubah lagi.

 Terlajak kata boleh memohon maaf, tetapi tersilap strategi politik, sukarlah orang lain untuk memberikan keyakinan semula kepada kita . Sesuatu keyakinan kepada sebuah organisasi politik itu perlu dibina dan dibuktikan. Ianya tidak boleh dicapai dalam waktu yang singkat. Persepsi masyarakat serta pengundi bukannya suatu yang mudah diperolehi dengan hanya sekadar berpidato dan retorik semata. Masyarakat zaman ini lebih kritikal.

Melihat kepada kerancakan perjalanan kempen Pakatan Harapan(PH) untuk calon mereka DSAI di PRK P 132 Port Dickson, adalah amat sukar gagasan BHM DSZH itu akan berjaya. Percubaan secara halus untuk kali kedua UMNO bagi memporakperanda PH sukar dilaksanakan. Kalau dulu UMNO/BN mungkin telah berjaya mengkuborkan Pakatan Rakyat(PR) dengan umpan dan gula-gula Unity Government, dimana PAS telah termakan segala umpannya. Namun kali ini strategi yang sama pastinya tidak akan berjaya kerana pimpinan PH akan lebih berhati-hati dan waspada.

Mungkin tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa segala cerita-cerita BHM ini umpama seperti sebuah angan-angan Pak Lebai Malang dalam cerita rakyat masyarakat Melayu lama. Si Pak Lebai Malang yang mempunyai sifat tamak haloba terjebak dengan kebodohannya sendiri dalam mengejar dua khenduri yang berada di hulu dan hilir sungai. Kerana kebodohan dan sifat tamak halobanya yang tidak terurus itu membuatkannya terlepas untuk menikmati hidangan lazat kedua-dua khenduri tersebut.











Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan