Dakwaan Rafizi berkaitan politik wang dalam PKR serius

Oleh EZAM MOHD NOR

HISBAH memandang serius dakwaan Rafizi Ramli, calon jawatan kedua tertinggi parti PKR, berkaitan kewujudan politik wang dalam pemilihan parti itu.

Tanpa niat mencampuri urusan dalam parti politik, HISBAH tampil menyatakan pendirian kerana PKR adalah sebahagian daripada parti pemerintah hari ini.

HISBAH tidak mahu parti pemerintah hari ini membawa kerenah yang sama dengan parti pemerintah sebelum ini.

Sebagai kerajaan baru yang proreformasi, dakwaan seperti ini tentunya mengundang perhatian serius semua pihak dan rakyat umumnya yang selama ini jujur dan bersungguh-sungguh mahu reformasi dilaksanakan.

Malangnya PKR yang wujud dengan laungan reformasi dan seharusnya menjadi tonggak kepada usaha-usaha reformasi yang sedang dilakukan oleh PM melakukan sebaliknya.

Baru sahaja beberapa minggu terakhir ini kita dihidangkan dengan beberapa perkara antireformasi yang dilakukan semasa pilihan raya kecil Port Dickson, hari ini kita dihidangkan dengan kisah jijik politik wang oleh pemimpin kanan PKR sendiri.

HISBAH menggesa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan NGO yang berpengaruh dan proreformasi mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan Malaysia tidak lagi melalui putaran kerenah ahli politik yang hidup dengan politik wang.

Ini akan menjahanamkan negara dan khazanah negara sekali lagi, jika berulang.

Kurang 24 jam setelah dakwaan ini dibuat, HISBAH telah berusaha mendapatkan laporan langsung dari lapangan dan terkejut menerima foto dan video perlakuan politik wang termasuk yang membabitkan kem Rafizi sendiri.

HISBAH akan serahkan dapatan kami ini kepada pihak berkuasa dan meminta siasatan menyeluruh dibuat segera.

Sekali lagi HISBAH ingin tegaskan bahawa kita tidak akan membenarkan kewujudan politik wang dalam negara ini, khususnya yang membabitkan parti pemerintah.

Kami juga menyeru kepada parti pemerintah agar serius dan jujur dalam melakukan agenda reformasi di negara ini sejajar dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

HISBAH juga menggesa PM mengambil tindakan tegas memastikan agenda reformasi yang mula dilakukannya benar-benar dihayati oleh pentadbirannya dan parti-parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaannya.

Mereka yang curang dengan agenda reformasi tanpa mengira berapa besar pun pangkatnya dan dari parti mana pun dia mesti dinyahkan dari menjadi sebahagian kerajaan reformasi ini.

MOHAMAD EZAM MOHD NOR ialah Pengerusi HISBAH Centre for Reform.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan