Hadi Awang malukan politik Islam – Kit Siang

Oleh Lim Kit Siang

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memalukan politik Islam apabila gagal menyahut cabaran saya untuk membuktikan tuduhannya bahawa DAP mendiskriminasi negeri-negeri di Pantai Timur dengan menentang pembangunan setara di Terengganu dan Kelantan dalam tempoh 48 jam.

Saya diingatkan mengenai kongres tahunan ABIM ke-47 di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai yang bertemakan "Visi Islam dalam aspirasi Malaysia Baharu" dan ucap utama oleh Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil mengenai "Malaysia Baharu dan Kesinambuangan Reformasi Islahiy".

Dr Siddiq (atas) ketika itu menegaskan bahawa prasyarat untuk membina sebuah Malaysia Baru adalah dengan melaksanakan "transformasi budaya dan manusia".

Beliau bercakap mengenai "nilai malu" yang digambarkannya sebagai "nilai teras pengajaran Islam".
Beliau berkata:
“Sifat malu adalah kekuatan moral yang dapat mengawal seseorang daripada melakukan perbuatan keji. Sifat malu juga adalah ciri orang bermaruah. Justeru, orang bermaruah malu berperi laku tidak bermoral, malu melakukan korupsi, malu menganggotai organisasi korup, malu di perintah kerajaan korup, malu dipimpin ketua korup, malu ditipu dan diperbodoh, malu menjadi bangsa yang ketinggalan, malu negaranya desebut kleptocracy at its worst.

Dr Siddique bercakap tentang "defisit moral" dan kematian idealisme dalam politik, yang menimbulkan banyak masalah politik moden termasuk politik pembohongan, kepalsuan dan berita palsu.

Pelaku politik pembohongan, kepalsuan dan berita palsu paling besar hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump (atas). Dr Siddique merujuk laporan Washington Post yang mendedahkan Trump membuat 2,140 tuduhan palsu atau mengelirukan pada tahun pertama pentadbiran - purata hampir 5.9 setiap hari.

Dr Siddique membuat kesimpulan: “Kebenaran harus diselamatkan segera sebelum terkubur dalam politik bohong. Untuk itu Malaysia Baharu harus mengamalkan politik moral yang komited terhadap misi pendaulatan nilai kebenaran dan kejujuran.”

Ucapan Dr Siddique menyentuh perasaan saya, kerana selama beberapa dekad, saya telah menjadi momokan dan berita palsu.

Pada akhir kempen yang telah lama dirancang saya digambarkan sebagai setan, puaka, bahkan jembalang; bahawa saya anti-Melayu, anti-Islam; pencetus rusuhan 13 Mei 1969; komunis; tali barut asing asing; ejen kuasa asing termasuk CIA, KGB, MI5 dan Perisikan Rahsia Australia.

Saya juga dituduh menerima RM1 bilion daripada Mahathir, RM100 juta daripada hartawan Robert Kuok dan lebih RM1.2 bilion daripada sumber Israel untuk membiayai pilihan raya umum ke-13; diberi RM40 juta untuk sebuah portal berita dan menawarkan Hadi RM100 juta untuk menentang Sultan Selangor.

Saya dituduh menguasai dan mengerakkan Pakatan Harapan; menjadikan pemimpin lain seperti Tun Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali, Mohamad Sabu dan Husam Musa sebagai tali barut dan boneka.

Tuduhan-tuduhan pada saya

Saya dituduh mahu menjadi perdana menteri apabila Pakatan Harapan menang pilihan raya umum ke-14; mahu membubarkan Rejimen Melayu dan memusnahkan hubungan Malaysia-China, dan pelbagai lagi berita palsu, maklumat palsu dan pembohongan.

Ada juga yang mendakwa pada 3 Disember 2016, saya mengadakan pertemuan rahsia dengan Tun Mahathir Mohamad dan membuat perjanjian bahawa selepas pilihan raya umum ke-14, Mukhriz Mahathir akan menjadi perdana menteri dan saya timbalan perdana menteri.

Hakikatnya, tidak ada sebarang pertemuan berlangsung antara saya dan Mahathir pada 3 Disember 2016 dan dalam pelbagai pertemuan antara saya dan Mahathir sebelum pilihan raya umum ke-14, kami tidak pernah berbincang tentang calon perdana menteri atau timbalan perdana menteri!

Sebahagian pencetus pembohongan, kepalsuan dan berita palsu ini telah mereka cipta kisah baru bagi menyerang saya dan DAP, seperti kisah temberang yang tular baru-baru ini, yang menuduh saya kononnya membuat cadangan supaya Semenanjung Malaysia dibahagikan kepada dua, Pantai Timur untuk orang Melayu dan Pantai Barat untuk orang Cina, selepas pilihan raya umum Mei 1969 .

Bagaimanapun, "Jelajah Raya di Pantai Timur" yang saya sertai di Pahang, Terengganu dan Kelantan pada Julai tahun lepas telah membuktikan dan mengesahkan apa yang saya sering percaya - bahawa pembohongan dan kepalsuan yang menjadi teras kempen jahat Umno terhadap saya dan pemimpin DAP, yang menggambarkan kami sebagai anti-Melayu dan anti-Islam, tidak mampu menarik minat majoriti orang Melayu dan Islam.

Ini kerana mereka berfikiran rasional dan tidak mudah diperbodohkan untuk mempercayai pembohongan, berita palsu dan maklumat palsu yang disebarkan oleh kilang propaganda dusta dan kepalsuan yang digerakkan Umno.

Persoalannya mengapa presiden PAS mahu menjadi Trump versi Malaysia dengan menuduh DAP mendiskriminasi negeri-negeri di Pantai Timur dengan menentang pembangunan setara bagi Terengganu dan Kelantan?

Saya yakin, sama seperti kegagalan dakyah pembohongan, kepalsuan dan berita palsu yang dilakukan Umno terhadap DAP dengan tuduhan anti-Melayu dan anti-Islam, begitu juga pembohongan, kepalsuan dan berita palsu yang dilemparkan oleh Hadi terhadap DAP dengan tuduhan anti-Melayu dan anti-Islam akan turut menemui nasib yang serupa.

Kedua-dua pemimpin Umno dan PAS nampaknya tidak menyedari bahawa kita kini berada di era maklumat, era di mana maklumat bergerak pantas.

Dan mereka memperjuangkan sesuatu yang boleh disifatkan sebagai sia-sia apabila menganggap orang Melayu begitu mudah terpedaya dan seterusnya menjadi mangsa pembohongan, kepalsuan dan berita palsu yang dilemparkan oleh propagandis Umno dan PAS.

Najib dan Hadi harus berhenti bermimpi dan menyedari bahawa orang Melayu hidup dalam dekad kedua abad ke-21, dan bukan pada dekad pertama abad ke-15!

LIM KIT SIANG ialah anggota parlimen Iskandar Puteri.
https://denyutreformasi.blogspot.com/
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan