Naib Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Zulkiply Ishak menyarankan
agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih prihatin dan memberi
pertimbangan yang serius terhadap jumlah peruntukan yang disalurkan
kepada institusi pendidikan Islam di negeri ini.
Kata beliau, sejak 2008 sehinggalah tahun ini jumlah peruntukan bagi
institusi tersebut tidak berganjak dan berada pada takok yang lama.
“Adalah amat wajar bagi kerajaan negeri menilai semula peruntukan
sebanyak RM1.75 juta yang disalurkan kepada institusi tersebut.
“Jumlah yang diberikan adalah sedikit pada ketika ini jika dibandingkan sejak awal pemerintahan pada tahun 2008 yang lalu.
“Dalam tempoh yang sudah menjangkau 11 tahun pentadbiran kerajaan
negeri, maka jumlah peruntukan harus ditambah memandangkan kewujudan
institusi tersebut semakin bertambah saban tahun, ” ujarnya ketika
ditemui.
Malah katanya sebelum ini peruntukan yang disalurkan hanyalah kepada
institusi pendidikan Islam seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang tidak
termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Namun begitu kini peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri
turut merangkumi Maahad Tahfiz, Pondok, Kelas Agama dan Fardhu Ain
(Kafa) serta Tadika Islam.
“Oleh kerana itu jumlah yang diagihkan bagi setiap institusi
pendidikan Islam semakin mengecil dan amat menyukarkan SAR yang tidak
tersenarai sebagai SABK yang mendapat bantuan dari kerajaan.
“Sebelum ini terdapat SAR yang mampu bernafas lega apabila mereka
memperolehi peruntukan antara RM40 ribu sehinggalah RM300 ribu setahun.
“Walau bagaimana pun kini terdapat antara institusi tersebut hanya
mendapat sumbangan sekitar RM5,000 hingga RM10,000 setahun dan tidak
memadai untuk menampung pelbagai kos yang semakin meningkat, ” tegasnya.
Beliau yang juga merupakan Ketua AMANAH Kawasan Bagan turut
menyarankan kerajaan negeri supaya menilai semula peruntukan yang
diberikan jika dibandingkan dengan peruntukan yang disalurkan kepada
sekolah mubaligh, sekolah persendirian Cina dan sekolah Tamil yang
mendapat jumlah yang sama, sebaliknya kuantiti institusi tersebut adalah
terlalu kecil.
“Apabila jumlah yang sama diagihkan kepada kuantiti yang besar dan
banyak seperti institusi agama Islam, sudah pasti jumlah yang diterima
amat kecil dan tidak mampu untuk mengatasi pelbagai kos.
“Selain itu jumlah pelajar yang ada pada institusi pendidikan Islam lebih ramai jika dibuat perbandingan.
“Justeru itu sebagai sebuah kerajaan negeri yang senantiasa peduli
terhadap kebajikan rakyat, maka adalah diharapkan perkara ini dapat
dilaksanakan dalam bajet 2019 kerajaan negeri yang akan datang, ”
tambahnya lagi.
Beliau juga berkata, apa yang dizahirkan adalah keluhan serta
keresahan yang diterima semasa turun padang menjenguk institusi
pendidikan Islam tersebut baru-baru ini.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan