Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menghadiri
mesyuarat Asean selepas 15 tahun berkata Malaysia amat bimbang dengan
aliran mega global terkini yang melibatkan perang perdagangan antara
kuasa-kuasa utama dunia.
Beliau berkata perang perdagangan tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada negara-negara yang terlibat mahupun seluruh dunia.
Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara dagangan, ia memerlukan
kestabilan dalam pasaran dunia dan jika keadaan menjadi tidak menentu,
sudah tentunya negara akan terjejas, kata Dr Mahathir pada Perhimpunan
Pemimpin-Pemimpin Asean yang diadakan, semalam di Bali, Indonesia, lapor
Bernama.
“Atas sebab ini, kita mahu menyelesaikan semua masalah (tetapi) bukan
menerusi sebarang bentuk perang tetapi secara rundingan, timbang tara
dan membawa isu ke mahkamah dunia.
“Dengan berbuat demikian, kita dapat menghindar sebarang kerosakan
kepada negara kita apabila berlakunya konfrontasi antara kita,” katanya
ketika berucap pada mesyuarat tersebut yang diadakan sebagai acara
sampingan bagi Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan
Bank Dunia yang bertemakan “Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)
dan Menangani Jurang Pembangunan Menerusi Tindakan Kerjasama Serantau
dan Global”.
Semasa Sidang Kemuncak Asean di Bali jugalah beliau mengucapkan
selamat tinggal kepada perkumpulan 10 anggota itu apabila beliau
meletakkan jawatan sebagai perdana menteri Malaysia pada 2003.
Ini merupakan kunjungan kedua Dr Mahathir ke Indonesia semenjak
menjadi perdana menteri sekali lagi selepas pilihan raya bersejarah
Malaysia pada Mei lepas.
Perdana Menteri berkata beliau mahu melihat Asean memainkan peranan yang lebih besar daripada sebelum ini.
“Saya mengharapkan rakan sejawatan Asean saya untuk bersama-sama
berganding bahu mencapai sasaran SDG bagi negara kita masing-masing.
“Saya juga berharap dapat melihat sokongan daripada IMF, Bank Dunia
dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menerusi pelbagai agensinya,
terhadap Asean dan rantau ini,” katanya yang menegaskan Malaysia komited
untuk mencapai pertumbuhan pembangunan mampan.
Perdana Menteri berkata Malaysia sentiasa memberi perhatian kepada kemampanan pembangunannya.
“Memang benar yang kami terpaksa menebang banyak pokok dalam hutan
untuk menanam kelapa sawit tetapi hari ini kami tidak lagi berbuat
demikian kerana kami merasakan ada sumber pendapatan lain untuk kami.
“Pada masa yang sama, kami memastikan pengeluaran minyak sawit mengikut standard-standard tertentu.
“Kami merasakan tanggungjawab ini kepada dunia dan kami berharap dunia akan memberi sokongan kepada usaha kami,” katanya.
Dr Mahathir juga merujuk langkah (oleh Kesatuan Eropah) melabel
minyak sawit dari Malaysia sebagai tidak sesuai bagi makanan, yang mana
katanya tidak benar sama sekali kerana minyak sawit telah digunakan oleh
berjuta-juta orang di seluruh dunia tanpa sebarang bahaya.
Malahan, jelasnya, hutan Malaysia adalah lestari dengan 48 peratus
diliputi hutan dara sambil menambah “kami menyerap sebahagian besar
karbon monoksida dunia yang dihasilkan oleh orang lain”.
Dr Mahathir juga berkata Malaysia berhasrat bekerjasama dengan semua
negara ASEAN lain untuk meningkatkan taraf hidup dan bersedia berkongsi
kaedahnya dalam mengekalkan pembangunan Malaysia.
“Bagaimanapun, kami berharap akan dapat melakukan ini di samping
memastikan pemulihan ekonomi, kewangan dan kestabilan negara kami,”
katanya sambil menambah Malaysia telah melalui perubahan kerajaan
selepas 61 tahun.
Malaysia berdepan dengan masalah yang diwarisi daripada pentadbiran
terdahulu dan kini berusaha untuk menangani isu-isu yang menjejaskan
kewangan dan pentadbiran.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan baharu komited dengan program yang telah dirangka oleh Asean.
Asean dianggotai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia,
Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Papua New Guinea
memiliki status pemerhati.
Dr Mahathir pulang ke Kuala Lumpur dari Bali malam tadi.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan