JOHOR BAHRU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak akan menarik balik pemberian subsidi kepada golongan nelayan dan petani, biarpun terdapat pengurangan peruntukan terhadap kementerian itu dalam Belanjawan 2019.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub yang memberikan jaminan itu berkata, pihaknya akan melaksanakan subsidi bersasar kepada golongan itu bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak, menerima subsidi berkenaan.
“Untuk tarik, tidak. Cuma kita akan buat apa dinamakan subsidi bersasar. Kita akan fokus kepada golongan yang benar-benar menepati kriteria; sama ada mereka petani, pesawah dan nelayan.
“Sebab itu, kita melakukan pemutihan (proses saringan) kerana ia mengelakkan ketirisan. Jangan ada nelayan yang mendapat bantuan nelayan, tetapi dia bukan nelayan. Saya tidak hendak perkara ini,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali bagi Parlimen Pulai di Taman Bukit Aliff hari ini.
Peruntukan itu lebih rendah berbanding RM6.5 bilion yang diterima kementerian itu dalam Bajet 2018 ketika Barisan Nasional menjadi kerajaan.
Berhubung dakwaan kepimpinan PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang belanjawan kali ini tidak memberi perhatian terhadap nasib petani, pesawah dan penternak kerana ada banyak pemotongan peruntukan bagi golongan itu, Salahuddin berkata, beliau tidak nampak asas di sebalik tuduhan itu.
“Saya tidak nampak belanjawan kali ini tidak akan dapat membantu golongan petani dan sebagainya di seluruh negara. Jadi, tuduhan-tuduhan seperti itu saya rasa amat tidak matang.
“Saya sendiri akan memastikan jumlah (peruntukan) itu cukup dengan langkah penjimatan yang dilakukan dalam kita menghadapi isu kewangan dan ekonomi pada masa ini.”
0 comments:
Catat Ulasan