Mat Sabu dan Kementah tidak taja Suwaibah

KEMENTERIAN Pertahanan dan menterinya Mohamad Sabu tidak menaja kos RM4 juta yang diperlukan pelari solo Dr Suwaibah Muhammad Nasir untuk menyelesaikan siri jelajah kemanusiaan menakluki 30 menara tertinggi dunia.

Pejabat Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan berkata Mohamad hanya memberi sokongan kepada Suwaibah untuk misi tersebut dan bersedia menyokong usaha baik yang dilakukan siapa pun.

“Adalah tidak adil kepada mana-mana atlet menuduh sokongan kepada Dr Suwaibah sebagai berat sebelah sekiranya mereka sendiri tidak pernah cuba untuk bertemu dan mendapatkan sokongan Kementerian Pertahanan dan Menteri Pertahanan,” kata pejabat menteri dalam kenyataan hari ini.

Mohamad adalah penaung kepada projek misi jelajah kemanusiaan tersebut dan hadir dalam majlis memperkenalkan Suwaibah di Kota Baru, minggu lalu.

Minggu lalu, Suwaibah dilapor memerlukan dana RM4 juta bagi menampung pelbagai kos untuk melengkapkan misi jelajah kemanusiaannya.

Beliau kemudian dikritik beberapa pihak yang berpendapat sekiranya kerajaan mahu membantu adalah lebih wajar bantuan diberikan kepada Soh Wai Ching, atlet ranking nombor lima dalam acara tersebut.

Semalam, Soh dipetik portal Free Malaysia Today berkata beliau hanya perlu 2% daripada dana yang sedang dikumpulkan Suwaibah atau RM800,000 untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

Soh berkata beliau sebenarnya lebih layak untuk diberikan bantuan dan bukannya Suwaibah.

Beliau juga mengeluh sehingga ini masih tidak diberikan pengiktirafan oleh Kementerian Belia dan Sukan, serta masih belum juga dapat membuat temu janji bertemu menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan