Orang Melayu kini berpecah 5

Oleh Syahmi Minhad

Orang Melayu, sejak dahulu lagi sudah berpecah, namun tidak separah hari ini. Jika dahulu, sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, semua orang Melayu sepakat berada di bawah naungan Umno. Lebih-lebih lagi ketika usaha menentang penjarahan bangsa oleh pihak asing, Umno menjadi benteng utama orang Melayu, sehingga pada akhirnya agenda penubuhan Malayan Union berjaya digagalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Pilihan raya umum (PRU) Tanah Melayu 1955 menjadi titik tolak permulaan demokrasi di Tanah Melayu. PRU tersebut menunjukkan keputusan Parti Perikatan, gabungan Umno, MIC dan MCA sebelum dinamakan Barisan Nasional (BN) pada 1973, berjaya memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

Kerusi tunggal pembangkang dimenangi Ahmad Tuan Hussein atas tiket PAS. Semenjak itu, orang Melayu ada 2 pilihan, sama ada mahu memilih Umno atau memilih PAS.
Menjelang 1998, ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, muncul 1 lagi parti politik baru yang mewarnai politik negara. PKR muncul pada penghujung 90-an, demi menekan pentadbiran kerana mendakwa kerajaan menangkap pemimpin yang tidak bersalah. Ketika itu, orang Melayu sudah ada 3 pilihan, sama ada mahu memilih Umno, PAS atau PKR.

Menjelang PRU13, ketiga-tiga parti ini menguji kekuatan masing-masing. Umno masih teguh bersama BN, PKR dan PAS pula membentuk blok pembangkang bersama DAP. Hasil daripada pilihan raya tersebut menunjukkan Umno masih menjadi pilihan utama rakyat Malaysia, cuma sokongan sudah mulai mengendur.

Sokongan terhadap blok pembangkang semakin meningkat memberi isyarat kepada kerajaan BN supaya perlu bekerja lebih kuat pada masa akan datang jika ingin terus kekal mentadbir negara. PRU13 juga menyaksikan PAS kekal menerajui Kelantan, PKR berjaya merampas Selangor daripada genggaman BN, DAP pula terus berjaya menakluki Pulau Pinang.

Pasca PRU13 menjadi titik permulaan kepada perpecahan kem Pakatan Rakyat (PR). PAS telah keluar, PR dibubarkan namun PKR dan DAP masih teguh membentuk kesatuan.

Tidak mahu perpecahan berlarutan dalam tempoh masa yang lama, kerana dikhuatiri sokongan rakyat terhadap BN akan kembali meningkat, PR yang dibubarkan dengan cepat membentuk Amanah, parti pengganti kepada PAS.

Amanah dibentuk, maka PR yang dahulunya dibubarkan digantikan dengan Pakatan Harapan (PH). Maka terhasillah PH yang disertai PKR, DAP dan Amanah.

Nah, ketika itu parti Melayu berpecah 4. Umno, PAS, PKR dan Amanah. Umno mendominasi kerusi orang Melayu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Perlis, Pahang, Terengganu dan Sabah. PAS berjaya mengekalkan pengaruh di Kelantan dan memberi saingan yang sengit terhadap Umno di Terengganu. PKR di Selangor, namun Amanah masih tidak mendapat sokongan majoriti orang Melayu di mana-mana negeri, sehinggalah hari ini.

“Trend” perubahan sokongan orang Melayu semakin memuncak apabila beberapa pemimpin tertinggi Umno dipecat sekitar 2016. Bertitik-tolak daripada pemecatan tersebut, PPBM dibentuk bagi memberi tentangan terhadap Umno.

Walaupun suatu ketika dahulu, Umno pernah diuji dengan penubuhan Semangat 46 (gerakan politik yang dilancarkan oleh pemimpim Umno yang tewas dalam pemilihan agung Umno), namun Umno tetap utuh dan akhirnya Semangat 46 dibubarkan demi kepentingan orang Melayu.

Namun, tentangan yang diberikan oleh PPBM terhadap Umno sangat dahsyat, sehingga menyebabkan kerajaan BN yang diterajui Umno tewas semasa PRU14.

Nah, pasca PRU14 menjadikan orang Melayu berpecah kepada 5 parti. Lima parti bermaksud 5 perjuangan yang berbeza, 5 agenda yang berbeza dan sudah pasti akan ada fahaman yang berbeza.

Setelah berakhirnya PRU14, orang Melayu kini boleh membuat pilihan sama ada mahu bersama Umno, kekal setia berjuang bersama PAS, bernaung di bawah PKR, mengorak langkah membina negara bersama PPBM atau memilih Amanah. PRU15 nanti tidak pasti apa pula yang akan berlaku. Sama ada parti orang Melayu semakin bertambah, atau berkurang.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan