Oleh
PAS jadi lauk di media sosial satu dua hari ini lantaran penarikan balik saman fitnahnya terhadap Sarawak Report (SR).
Saman fitnah ini dijalankan di mahkamah London, tempat
bermastatutinnya Clare Rewcastle-Brown, yang menyelenggara laman web SR
itu.
SR adalah sebuah portal yang cukup lantang mendedahkan
skandal-skandal di Malaysia, terutamanya 1Malaysia Development Berhad
(1MDB).
Arakian maka bermulalah kisah bagaimana SR membuat satu pendedahan
yang PAS menerima dana daripada Umno, dan dana itu terkait syarikat
bermasalah milik negara, 1MDB.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; justeru melancarkan perang terhadap
SR dan dengan penuh yakin memberitahu anggota jemaahnya PAS akan
memfailkan saman terhadap Clare, demi memelihara maruah PAS.
Tabung-tabung derma pun dilancar di peringkat akar umbi supaya PAS mempunyai dana yang mencukupi untuk mengheret SR ke mahkamah.
Akar umbi PAS pun bingkas menyerahkan apa termampu demi memastikan fitnah terhadap parti mereka dapat ditewaskan.
Alih-alih saman itu akhirnya diselesaikan di luar mahkamah. Pejabat
presiden PAS mengeluarkan kenyataan satu muka surat dengan empat perkara
diberi penekanan.
Pertama Hadi menarik semula tuntutannya, justeru Clare juga menarik semula tuntutan balas beliau.
Seterusnya, mahkamah tidak memberi sebarang perintah berkenaan kos.
Akhir sekali, terma penyelesaian kedua-dua pihak dirahsiakan.
Yang menarik balik saman ialah orang yang memulakan saman. Fitnah yang mahu dilawannya tidak pula ditarik balik.
Tiadanya perintah kos, bererti segala sumbangan yang diberikan hingga
ke saat-saat akhir tindakan undang-undang itu tidak mencapai tujuannya
untuk melawan tuduhan berat SR.
Kerahsian terma-terma bererti ada persetujuan yang tidak akan kita ketahui apa isinya.
Berdegar-degar serata alam dicanang mahu membersihkan nama PAS
daripada tuduhan menerima wang Umno, kutip derma di kalangan ahli dan
penyokong sampaikan ada yang lelong baju vintage untuk bantu perjuangan
presiden di London. Semuanya ternyata sia-sia.
Tetapi ada juga pandir penyokong PAS yang tidak melihat ini sebagai
musibah kepada partinya. Yang dia tahu, partinya tahun lalu sudah
memperolehi kemenangan yang pertama; seperti dalam cerita Nujum Pak
Belalang. Menang apa benda, dia pun tak tahu sebenarnya.
1 Mei 2018, akhbar lidah rasmi parti pemerintah ketika itu, Utusan
Malaysia melaporkan bagaimana PAS menang saman fitnah terhadap SR.
Beberapa hari sahaja sebelum Umno melingkup, lidah partinya mencanang
kejayaan kekasih baharu ketika itu. Kejayaan apa benda, penyokong PAS
tidak perlu peduli.
Hakikatnya tidak menang apa pun. Dan kini, Hadi sendiri menarik balik tindakan undang-undangnya.
Tetapi kenapa isu tarik balik saman SR ini sangat penting?
Pastilah kerana dakwaan berat SR terhadap PAS bahawa ia makan duit Umno yang menjadi punca utama bagaimana PAS terbelah dua.
Maksudnya orang yang menerima duit Umno menjalankan tugasnya untuk
memecahkan PAS dan mengeluarkan PAS daripada gabungan Pakatan Rakyat
(ketika itu).
Kita semua tahu PAS adalah komponen paling kuat dalam Pakatan Rakyat, dan kerana itu Umno mencari point lembik tengkuk PAS.
Seteleh dibelai dan dimanja, ia akhirnya termakan umpan perpaduan
yang membuka jalan mudah menuju kuasa. Kuasa yang disangkanya akan mudah
diraih apabila Umno menang bergaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Maka Umno pun membeli jiwa beberapa pimpinan PAS. Mereka timbulkan
perbalahan, dan PAS pun berpecah, dengan harapan ia akan pasti dapat
menyertai kerajaan bersama Umno setelah PRU14.
Perbahasan halal haram makan duit Umno ini ambil masa yang cukup lama juga dalam lingkungan penyokong dan pekerja parti.
Boleh baca berjela-jela perbahasan sesama mereka di Facebook, yang
kemudiannya meletup dengan tertirisnya rakaman ucapan yang didakwa suara
Nik Abduh, anak kepada Almarhum Nik Aziz Nik Mat.
Kita semua tahu akan hal rakaman itu. Jenaka “ana tahu” berlegar
cukup lama dalam kalangan bekas pimpinan PAS yang kini menganggotai
parti Amanah.
Namun manusia hanya merancang. Usai PRU14, Umno melingkup dan duitnya putus.
Berjuta ringgit dana yang disimpan di pejabat dan rumah pemimpinnya
kerana begitu yakin akan menang besar, disita. PAS kiranya putus duit
juga, selain putus harapan untuk naik tahkta di Putrajaya.
Melengung lah masing-masing, tak dapat jadi menteri. Mujurlah ada saguhati jadi kerajaan di Terengganu.
Jadi sekarang begini sajalah. Memandangkan hukum undi Barisan
Nasional (BN) pun sudah jadi wajib sejak pilihan raya kecil Cameron
Highlands, dan bakal menyusul di DUN Semenyih. Serta jelas sudah tidak
ada segan silu lagi tentang kerjasama politik kedua-duanya, tanzim PAS
sewajarnya berlaku jujur sahaja dengan akar umbi.
Mengaku sahaja bahawa pemimpin sudah ambil duit Umno untuk kempen
menghalau para “jebon dan Anwarinas” dalam muktamar bersejarah itu, dan
dengan tindakan tersebut menjahanamkan jemaah sehingga hancur berkecai.
Mengaku bahawa ya, pimpinan telah makan duit Umno supaya Pakatan
Rakyat melingkup. Mengaku supaya akar umbi tahu pengkhianatan pimpinan
dan berapa sebenarnya harga untuk membeli sebuah tanzim jemaah Islam.
Seperti wirid Najib Razak sekarang, “Malu apa bossku?” Mengaku sahaja, supaya ahli dan pekerja parti benar-benar tahu dan faham.
Katakan kalian makan duit Umno seperti yang disurahkan panjang lebar
oleh Clare Rewcastle-Brown dan SRt di portal dan juga kenyataan
pembelaannya di mahkamah.
Segalanya sudah pun sudah berlalu. Saman fitnah pun sudah ditarik
balik, dan laporan SR tetap kekal disiar tanpa sebarang pindaan.
Segeralah mengaku dan katakan dengan lidah yang fasih, “Ya, ana ambil
duit Umno. Ana buat semua ni demi Islam dan Melayu”. Senang.
Jangan malu-malu ya akhi. “Enta tahu. Ana pun tahu”. Sekarang biar semua orang tahu. – 3 Februari, 2019.
*
Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak
hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan
makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan