Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata tidak mungkin rakyat akan memberikan sokongan terutama kepada Umno yang telah menyebabkan kerosakan besar dalam negara terutama berkaitan rasuah.
“Ini strategi politik dan gabungan antara Umno dan PAS itu pilihan mereka, tapi yakinlah rakyat sudah membuat keputusan dengan menolak Umno pada pilihan raya umum lalu.
“Bagaimana parti yang ditolak rakyat ini boleh bergabung pula dengan PAS tetapi itu adalah pilihan mereka untuk bergabung,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR Kelantan di sini, hari ini.
Semalam Umno dan PAS secara rasmi mengumumkan kerjasama rasmi antara kedua-dua parti bagi tujuan penyatuan ummah.
Bagaimanapun kerjasama itu bukan bermaksud Umno dan PaAS bergabung, sebaliknya satu ikatan untuk menyatukan ummah tanpa meminggirkan keseluruhan masyarakat termasuk kaum Cina dan India.
Sementara itu Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi yakin tidak akan berlaku undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sesi Parlimen yang akan bermula 11 Mac ini.
Beliau berkata sewajarnya semua pihak patut menyokong sepenuhnya kepimpinan Dr Mahathir bagi memulihkan keadaan negara seterusnya memperkukuh ekonomi.
“Rakyat sudah memberikan mandat besar dan mahukan kerajaan Pakatan Harapan terus kukuh untuk memulihkan ekonomi negara dan banyak lagi yang kami perlu buat untuk itu,” katanya. — Bernama
0 comments:
Catat Ulasan