JAKARTA 20 Mei -
Presiden Joko Widodo atau Jokowi meminta mereka yang tidak berpuas hati
dengan keputusan pemilihan umum (Pemilu) 2019 supaya menggunakan
saluran yang bersesuaian dengan undang-undang.
Detik News yang memetik Jokowi sebagai berkata,
adalah sesuatu yang lumrah bagi pihak yang kalah tidak berpuas hati
dengan keputusan.
“Yang namanya kalah ya mesti tidak berpuas hati. Tidak ada pihak yang kalah itu akan puas.
“Kalau
benar wujud penipuan, sila buat laporan kepada kepada Badan Pengawas
Pemilihan Umum (Bawaslu),” katanya di Hotel Sultan, di sini semalam.
Perkara
itu kata Jokowi telah dipersetujui dalam Dewan Perwakilan Rakyat (DPR)
sebelum ini dengan syarat sebarang tindakan di luar Perlembagaan negara
tidak dibenarkan.
Ditanya mengenai risiko
serangan keganasan pada 22 Mei ini ketika keputusan Pemilu diumumkan,
Jokowi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada polis dan tentera.
Tanpa
menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai isu itu, Jokowi memuji
kecekapan pasukan keselamatan dalam menangani isu tersebut dengan cepat
apabila menahan 29 pengganas yang dipercayai merancang untuk meletupkan
bom ketika demonstrasi politik selepas pengumuman keputusan pilihan
raya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi
meminta orang ramai supaya tidak menyertai mana-mana demonstrasi atau
perhimpunan pada tarikh tersebut.
Sementara
itu, seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan ditahan polis,
kelmarin kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat kebencian dalam
media sosial.
Dalam status itu, suspek yang
dikenali sebagai IR turut mengajak orang ramai untuk menyertai rusuhan
pada 22 Mei ini bagi membantah keputusan Pemilu nanti. – AGENSI
0 comments:
Catat Ulasan