JERLUN 19 Mei -
Masyarakat diminta menyalurkan segala pandangan dan maklum balas mereka
mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui
Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) yang disediakan di laman web rasmi agensi
itu.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata,
tindakan orang ramai yang hanya menggunakan medium media sosial untuk
memberi respon berkaitan perkara itu bukan hanya merugikan mereka tetapi
juga pihak PTPTN sendiri.
Menurutnya,
PTPTN akan mengambil kira kesemua pandangan yang dikemukakan
terutamanya idea-idea bernas yang memberi kebaikan kepada semua pihak
sekiranya maklumat tersebut disalurkan di platform sepatutnya.
“Saya
minta semua dalam kumpulan-kumpulan WhatsApp, Twitter dan lain-lain
media sosial pergi ke laman web (PTPTN) dan salurkan pandangan sama ada
nak maki hamun, sumpah seranah atau cadangan.
“(Sekiranya)
bagi di WhatsApp, PTPTN tak baca, bagi di Facebook pun PTPTN tidak akan
baca, (jadi) salurlah ke laman web rasmi kita akan baca, analisis,
mengkaji serta mempertimbangkan dan mana yang baik kita akan
laksanakan,” katanya dalam Program Jelajah Ramadan PTPTN Prihatin, di
sini hari ini.
Baru-baru ini, isu melibatkan
PTPTN kembali menjadi polemik apabila terdapat pihak yang mencadangkan
agar kerajaan mengenakan sekatan semula perjalanan ke luar negara
terhadap peminjam yang culas membayar pinjaman.
Sementara
itu, dalam sidang akhbarnya, Wan Saiful berkata, pihaknya bukan berniat
menyekat orang ramai memberi pandangan mereka di media sosial, namun
berharap mereka tidak mensia-siakan KKR yang menyediakan pelbagai data
dan fakta serta peluang memberi idea.
“Boleh
untuk keluarkan pandangan melalui media sosial namun kita ada saluran
rasmi yang ada faedahnya untuk mereka beri komentar dan mencetuskan
perdebatan tetapi maklumat itu tidak sampai (kepada PTPTN), jadi ia satu
kerugian.
“Malah,
bukan sahaja kita nak orang dengar dan bahas di peringkat akar umbi
tapi mahu idea dari seluruh negara dapat dilaksanakan, jadi saya minta
sangat dalam tempoh tiga minggu sehingga 13 Jun ini tolong guna
sebaiknya (saluran KKR),” katanya. - UTUSAN ONLINE
0 comments:
Catat Ulasan