Syarikat kaut RM1 juta sebulan sewa lesen haram import arak, rokok tiruan

Oleh

SEBUAH syarikat import mengaut untung atas angin sekurang-kurangnya RM1 juta sebulan dengan menyewakan lesen importnya secara haram kepada sindiket menyeludup arak dan rokok tiruan, kata sumber siasatan kes penyelewengan melibatkan agensi kastam.

Sumber pihak berkuasa memberitahu , syarikat itu milik seorang warga tempatan bergelar “Datuk” dan mempunyai pengaruh kuat di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Syarikat itu, yang beralamat di Brickfields, Kuala Lumpur dan dikatakan pengimport terbesar arak di Malaysia, mengenakan bayaran sehingga RM40,000 untuk sebuah kontena, tambah sumber.

“Pada mata kasar, syarikat berkenaan menjalankan perniagaan mengikut undang-undang namun risikan mendapati mereka juga menyalahgunakan lesen import yang diluluskan JKDM.

“Kebiasaannya syarikat ini akan mengenakan bayaran antara RM10,000 ke RM40,000 untuk setiap kontena yang menggunakan lesen importnya,” katanya

Sumber turut menceritakan bagaimana operasi untung atas angin itu dibuat iaitu dengan menggunakan dokumen lain yang menunjukkan seolah-olah kontena itu milik syarikat tersebut yang hendak dibawa masuk secara sah ke Malaysia.

Sekiranya pihak kastam mengesan rokok atau arak cuba diseludup masuk melalui kontena itu, syarikat berkenaan akan tampil menafikan ia milik mereka. Ia akan mendakwa lesen syarikat disalahgunakan oleh pihak ketiga.

“Sehingga kini JKDM sudah menyita lebih 60 kontena yang dibawa masuk menggunakan lesen syarikat itu yang kemudiannya dinafikan oleh pemiliknya,” kata sumber.

Daripada sekurang-kurangnya 100 kontena yang diimport oleh syarikat itu dalam tempoh sebulan, lebih 30% adalah milik sindiket.

“Syarikat itu juga mendapat lesen dengan tempoh sah yang ‘istimewa’ iaitu selama setahun untuk mengimport sehingga 230 juta liter arak.

“Syarikat itu diberi lesen import dari 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019 dan syarikat itu mempunyai kebenaran khas daripada JKDM untuk mengimport hampir semua jenama minuman beralkohol. Ini termasuk jenama-jenama yang diberikan hak eksklusif kepada syarikat-syarikat tempatan,” kata sumber.

Minggu lalu, The Malaysian Insight melaporkan satu sindiket tempatan dikesan mendalangi pengeluaran lesen haram kepada pengimport arak dan rokok untuk membawa masuk bahan kawalan itu.

Sindiket yang aktif di Kuala Lumpur dan Selangor itu mengeluarkan lebih 10 lesen sejak awal tahun ini dengan mengaut antara RM100,000 hingga RM200,000 untuk setiap lesen.

The Malaysian Insight sebelum ini juga melaporkan agensi anti rasuah mula menyiasat beberapa pegawai tinggi kastam yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan rokok dan minuman keras.

Siasatan itu turut melibatkan kegiatan enam buah syarikat yang didakwa menyalah guna lesen import yang dikeluarkan JKDM, yang membolehkan mereka membawa masuk rokok dan arak tanpa membayar cukai. Enam syarikat itu kini sedang dipantau SPRM.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan