Oleh Beda Hong
TUKANG emas warga Lubnan yang menyaman Rosmah Mansor kerana didakwa
gagal membayar barang kemas bernilai AS$14.79 juta (RM60.2 juta) akan
memohon campur tangan dalam saman sita barangan berharga yang dirampas
dari rumahnya difailkan Putrajaya.
Peguam David Gurupatham, yang mewakili Samer Halimeh, memberitahu permohonan itu akan dibuat semasa pengurusan kes
saman itu pada 24 Mei.
Samer menyaman Rosmah kerana didakwa gagal membayar 44 barang kemas,
yang dikatakannya kini berada dalam simpanan polis ketika rampasan di
premis berkaitan dengan Rosmah dan suaminya, Najib Razak.
“Kami sudah menulis kepada Pejabat Peguam Negara untuk meminta
butiran mengenai saman itu,” kata Gurupatham
“Sebaik sahaja kami mempunyai butiran saman, kami akan campur tangan
untuk mengesahkan sama ada 44 barang kemas itu termasuk di dalamnya.
“Sekiranya mana-mana bahagian daripada 44 barang kemas itu ada, kami
akan memohon untuk campur tangan bagi mendapatkannya kembali kerana
pelanggan kami adalah pemilik sah bagi barangan yang dirampas.”
Berhubung barang kemas yang tidak dirampas atau tidak termasuk dalam
senarai itu, Gurupatham berkata anak guamnya akan meneruskan tindakan
sivil untuk mendapatkan semula barang kemas, atau nilai tunai yang
setara daripada Rosmah.
Samer, yang mempunyai pelanggan selebriti termasuk Angelina Jolie dan
Oprah Winfrey, memiliki Global Royalty Trading yang berpangkalan di
Beirut, memfaikan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun
tahun lepas.
Polis merampas lebih 12,000 barangan kemas yang merupakan sebahagian
daripada siasatan mereka terhadap skandal 1Malaysia Development Bhd
beberapa minggu selepas pilihan raya 9 Mei tahun lepas, apabila Pakatan
Harapan merampas kuasa.
Polis juga merampas ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai
pelbagai mata wang, jam tangan dan 27 kenderaan daripada Najib, Rosmah,
tiga anaknya dan 13 individu serta beberapa syarikat.
Nilai keseluruhan barangan yang dirampas dianggarkan oleh polis
antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion, menjadikannya rampasan terbesar
dalam sejarah negara.
Rampasan dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,
Pencegahan. Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,
yang membolehkan polis menahan semua barangan rampasan selama setahun.
Polis mengatakan jika tiada pendakwaan atau sabitan dalam tempoh 12
bulan dari tarikh rampasan, pendakwa raya boleh memohon kepada mahkamah
tinggi untuk merampas barangan tersebut.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan