PADA minggu lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan RUU
Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi
daripada 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik
apabila mencecah usia tersebut.
RUU itu sebenarnya akan gagal
jika tidak mendapat sokongan ahli Parlimen blok pembangkang. Ini kerana
kerajaan tidak mempunyai dua pertiga kerusi untuk meminda perlembagaan
secara semberono.
Justeru, rentetan usaha melakukan pindaan ini
sangat menarik untuk ditelaah sikap sebenar ahli politik kerajaan sama
ada mereka benar-benar mahu melaksanakan hasrat ini atau sekadar bermain
politik untuk mendapat sokongan orang muda.
Kerajaan dari awal,
walaupun mengetahui tiada majoriti dua pertiga, langsung tidak berunding
dan mengambil kira pandangan ahli Parlimen blok pembangkang dalam
menggubal dan membaca RUU itu buat kali pertama.
Langkah itu boleh ditafsir sebagai bertujuan menggagalkan pindaan tersebut dan meletakkan kegagalan kepada blok pembangkang.
Pada
masa akan datang mudahlah mereka menjual mimpi kepada orang muda lagi
bahawa Barisan Nasional (BN) dan Pas tidak memberi tempat kepada muda.
Mereka
mungkin berpendapat usul ini akan ditolak oleh BN kerana sebahagian
besar punca kegagalan parti tersebut dalam pilihan raya lalu kerana
kehilangan sokongan anak muda di bawah 40 tahun.
Bagaimanapun, BN
menyedari sokongan orang muda boleh berubah-ubah dan lumrahnya orang
muda merupakan kumpulan anti-establishment, pemberontak dan mempunyai
pandangan yang agak sinis. Senario itu lebih menguntungkan parti
pembangkang berbanding parti kerajaan seperti mana yang telah dibuktikan
dalam beberapa pilihan raya umum lalu.
Justeru, blok
pembangkang, BN dan Pas telah memberi janji akan menyokong pindaan
Perlembagaan tersebut dengan syarat kerajaan melaksanakan pendaftaran
automatik dan turut menurunkan had umur wakil rakyat daripada 21 tahun
kepada 18 tahun.
Tuntutan blok pembangkang itu telah mengubah
senario semasa dan meletakkan kerajaan dalam keadaan tersepit. Ini
kerana permintaan yang dibuat sangat rasional dan mudah untuk dipenuhi
oleh kerajaan sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu membuat pindaan
tersebut.
Akhirnya selepas pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad dan blok pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob, kerajaan bersetuju memenuhi permintaan blok
pembangkang untuk pendaftaran secara automatik.
Pada 10 julai
lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,
mengusulkan penarikan semula RUU tersebut yang telah dibentangkan buat
kali pertama seminggu sebelumnya.
RUU itu terpaksa ditarik balik
bagi memasukkan cadangan pindaan berhubung pendaftaran pemilih secara
automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya. Akhirnya ia
diluluskan sebulat suara ketika dibentangkan semula.
Pindaan
Perlembagaan hanyalah langkah pertama. Masih ada beberapa langkah untuk
dilaksanakan oleh kerajaan bagi memenuhi kehendak pindaan ini.
Kita
akan menunggu bila Kerajaan akan meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya
1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan
Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih)
2002 bagi membolehkan pindaan Perlembagaan berkuat kuasa.Perubahan hak
mengundi dari segi umur dan pendaftaran automatik datang dengan
tanggungjawab lebih berat kepada kerajaan dan ahli politik.
Kerajaan
harus menyediakan prasarana dan infra yang sesuai dengan pertambahan
jumlah pengundi sekali ganda dalam pilihan raya umum akan datang;
dianggarkan jumlah pengundi akan meningkat daripada sekitar 14 juta
orang kepada 25 juta orang menjelang pilihan raya akan datang.
Parti
politik pula berhadapan tanggungjawab lebih serius untuk memberi
kefahaman dan pengetahuan mengenai pentadbiran, ekonomi dan kewangan
negara kepada golongan muda.
Dari sudut masyarakat Islam juga
akan wujud kebimbangan generasi muda ini secara tidak sedar akan
terpengaruh dengan gerakan menghakis kedudukan Islam di Malaysia. Jika
dilihat dari komentar media sosial anak muda Islam di negara ini, tidak
mustahil status quo agama Islam di negara ini akan terhakis sedikit demi
sedikit melalui idea-idea liberalis Muslim.
Penulis sentiasa
berpendapat hak mengundi harus datang dengan kematangan berfikir, namun
aliran semasa sukar untuk kita menolak idea-idea pembaharuan seperti
ini. Justeru, persoalan terbesar kepada negara hari ini ialah bagaimana
kita mahu mewujudkan pengundi yang matang dan berpengetahuan pada usia
muda.
Jika tidak kita akan berhadapan dengan satu keadaan
demokrasi yang terlalu besar dan luas hanya menyebabkan keputusan
memilih kerajaan dihasilkan melalui emosi dan persepsi semata-mata.*
Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan