PH tidak seperti BN, kata Mahathir

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hanya mereka yang “buta, pekak dan bodoh” sahaja yang akan mengatakan tiada perbezaan antara pentadbirannya dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau berkata sesetengah pihak hanya melihat perkara buruk walaupun terdapat banyak perubahan dan pembaharuan yang telah diperkenalkan dalam menjadikan pentadbiran lebih cekap, berkesan dan telus.

“Adakah kami meminjam RM42 bilion? Adakah kami mempunyai 1MDB sendiri? Ada saya mencuri duit? Ada saya memberi rasuah? Buktikan jika saya memberi rasuah dan boleh bawa saya ke mahkamah dan dakwa saya.

“Kami akan mengehadkan tempoh memegang jawatan PM (perdana menteri) kepada dua penggal.

Ada Najib buat demikian? Kami membahaskan mengenai 1MDB, tapi adakah Najib membenarkan perkara mengenai 1MDB dan yang lainnya dibahaskan? Tidak ada Untuk berkata tiada perbezaan, hanya yang buta, pekak dan bodoh sahaja akan mengatakannya.”

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberi selepas merasmikan Kongres Perangkaan Dunia Ke-62 anjuran International Statistical Institute di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Perdana menteri diminta mengulas mengenai kenyataan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang bahawa terdapat usaha pihak tertentu untuk menjejaskan PH.

Beliau berkata mereka ini tidak menghargai perkara yang baik yang diterima daripada kepimpinan PH.

“Mereka mengatakan tidak ada perbezaan (antara PH dan BN)...mereka hanya melihat perkara buruk kerana mahu menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Dr Mahathir menggesa generasi muda di negara ini agar memahami kepentingan perangkaan dalam menyampaikan pengetahuan.

Beliau berkata perkataan perangkaan mungkin tidak relevan kepada sesetengah orang tetapi kebenarannya ialah pengangkaan memainkan peranan penting dalam kehidupan harian rakyat.

“Perangkaan menghubungkan kita dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling kita dan membantu kita membuat keputusan yang baik dan membawa kehidupan yang lebih baik.

“Untuk menjayakan Malaysia sebagai peneraju dalam ekonomi digital, negara memerlukan minda golongan muda untuk berhubung dengan orang ramai, perniagaan, peranti, data dan proses,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata perangkaan mengenai penduduk dan demografi, pendidikan, kesihatan, keselamatan awam, komunikasi dan rekreasi digunakan untuk memantau kualiti hidup dan kesejahteraan negara.

“Perangkaan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), kadar inflasi, kemiskinan, ketidaksamaan pendapatan dan pendapatan kasar negara perkapita digunakan untuk mengukur prestasi ekonomi dan kekayaan negara.

“Perangkaan ini penting untuk melaksanakan pendekatan kemakmuran bersama bagi memastikan jurang pendapatan dan kekayaan rakyat dipantau, mewujudkan ekonomi yang lebih berstruktur, progresif, berasaskan pengetahuan dan nilai tinggi serta memastikan Malaysia menjadi paksi ekonomi di Asia,” katanya. — Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan