Semak kesahihan laman web sebelum jadikan sumber rujukan

MELAKA: Orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan terlebih dahulu mengenai kesahihan maklumat di sesebuah laman web berkaitan dengan kerajaan dan agensi di bawahnya sebelum menjadikannya sebagai sumber rujukan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Suriani Ahmad berkata mana-mana pihak yang menemui laman web palsu kerajaan dan agensi di bawahnya, diminta segera melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Pengguna laman sesawang juga boleh merujuk portal sebenarnya.my sekiranya mereka ragu-ragu dengan laman web milik kerajaan, kerana portal itu dibangunkan bagi menangani masalah penularan berita palsu di negara ini.
"Saya juga mohon kepada semua rakyat Malaysia, sekiranya mengesyaki sesuatu maklumat yang dipamerkan di laman web itu palsu, pergilah ke portal sebenarnya.my," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat lawatan ke ruang petak Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di tapak pameran pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nurini Kassim.

Semalam, Bernama melaporkan wujud satu laman web palsu yang kelihatan menyerupai laman web rasmi agensi berita nasional itu.

Bernama menegaskan bahawa laman web itu bukan miliknya, dan laman web itu dipercayai diwujudkan bagi tujuan mengelirukan orang ramai.

Portal sebenarnya.my yang dibangunkan SKMM sejak 2017, merupakan antara usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran berita palsu bagi memastikan masyarakat menerima berita yang benar-benar sahih.

-- BERNAMA
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan