Kerajaan tekad teruskan pengajaran tulisan khat - Tun M

MELAKA: Kerajaan tetap bertekad meneruskan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 mulai 2020 meskipun mendapat tentangan daripada segelintir pihak, tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, tidak wajar untuk pihak-pihak tertentu mempersoal pengenalan tulisan khat, sedangkan kerajaan tidak pernah membantah penggunaan tulisan dalam bahasa lain kerana kerajaan percaya kepada dasar kemakmuran bersama.

Malah, Dr Mahathir berkata tulisan dalam bahasa lain seperti bahasa Cina tidak dibenarkan di negara seperti Indonesia, Filipina dan Thailand di mana rakyat negara itu hanya dibenarkan menggunakan bahasa ibunda mereka dan senario itu berbeza di Malaysia.

“Kita tidak pernah bantah kegunaan tulisan lain, seperti bahasa Cina kerana ini adalah sesuatu yang istimewa dalam negara kita ini.
“Tulisan dalam bahasa Cina tidak dibenarkan di negara-negara lain (seperti) di Indonesia, Filipina, dan Thailand. Mereka gunakan tulisan mereka.

“Tulisan khat ni adalah satu seni yang tinggi dan baru ni saya pergi ke Turki, dan Turki juga menggunakan tulisan rumi, tetapi mereka cukup cekap dalam mengukir tulusan khat dengan jawi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar dalam sesi dialog Majlis Townhall Semarak Merdeka di Bandar Hilir pada Sabtu.

Program yang disertai kira-kira 1,600 peserta diadakan sempena kunjungan Dr Mahathir ke Melaka bagi merasmikan sambutan  Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan malam ini.

Kementerian Pendidikan semalam bertegas meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020 walaupun ditentang beberapa pihak termasuk pertubuhan mewakili institusi pendidikan Cina.

Menurut kementerian dalam satu kenyataan semalam, tulisan khat merupakan warisan bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

Dr Mahathir berkata, tulisan khat merupakan satu warisan seni yang tinggi malah ketika kunjungannya ke Turki baru-baru ini, walaupun penduduk Turki menggunakan tulisan Rumi namun mereka tetap mahir dalam tulisan khat.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan