Oleh Lim Kit Siang
Saya bersetuju dengan Ahli Parlimen
DAP Kepong Lim Lip Eng yang mana kerajaan tidak sepatutnya membatalkan
pendaftaran UMNO kerana kesalahan para pemimpinnya. Namun begitu,
politik kotor parti tersebut haruslah dibendung.
Saya percaya bahawa kerajaan Pakatan
Harapan harus mengambil kedudukan yang lebih tinggi dan berikan ruang
dan masa untuk UMNO memperbetulkan salahlakunya.
Sepanjang lima tahun di antara 2013
sehingga 2018, DAP pernah menghadapi situasi yang sama di mana Kabinet
Najib mempertimbangkan pembubaran secara haram parti ini berdasarkan
pelbagai tuduhan yang dibuat-buat.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang
berlangsung pada 5 Mei 2013 yang lalu, rejim Najib hanya berubah fikiran
pada saat terakhir daripada keputusan untuk mengharamkan penggunaan
simbol roket DAP pada PRU tersebut.
Sebelum PRU14, rejim Najib merasakan
sangat yakin dengan kebolehan mereka untuk memenangi sehingga ⅔ kerusi
Parlimen sehingga mereka memutuskan untuk tidak menggantung pendaftaran
DAP — yang berasaskan tuduhan kononnya pilihan raya dalaman parti pada
Disember 2012 dilaksanakan dengan cara yang tidak demokratik dan
melanggar undang-undang — dan sebaliknya memilih untuk mengharamkan
Parti Bersatu yang baru ditubuhkan.
Ugutan penggantungan pendaftaran
selama lima tahun tersebut merupakan satu penyalahgunaan kuasa yang
sangat jelas sekali dan tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara
yang mengamalkan demokrasi, urus tadbir yang baik dan kedaulatan
undang-undang.
Tidak ada negara dalam dunia ini di
mana Pendaftar Pertubuhannya memaklumkan sebuah parti politik bahawa
pilihan raya parti peringkat kebangsaannya yang dijalankan lebih
daripada empat tahun yang lepas itu tidak sah lalu memaksa parti
tersebut untuk mengadakan satu pilihan raya parti yang baru.
Terdapat juga cadangan daripada
mereka yang rapat dengan Najib yang mencadangkan supaya saya bersara
daripada politik bagi menghentikan segala malapetaka ini.
Saya percaya bahawa dendam tidak
mempunyai tempat dalam politik dan saya berharap ahli-ahli dan pemimpin
UMNO tidak perlu menghadapi seksaan “hukuman mati” yang dihadapi oleh
ahli-ahli dan pemimpin DAP selama lima tahun sebelum PRU14.
Di dalam sebuah demokrasi, biarlah
pengundi yang memilih sama ada mereka berhasrat untuk menghumban
sesebuah parti politik itu ke dalam tong sampah.
Kerana inilah saya bersetuju dengan
Lim Lip Eng — jangan batalkan pendaftaran UMNO tapi biarlah ia musnah
dengan sendirinya memandangkan UMNO kini berada dalam peringkat lanjut
proses memusnahkan dirinya apabila ia melancarkan kempen klepto-teokrasi
bersama dengan PAS.
UMNO telah hilang kegemilangannya, di
mana ia dilihat sebagai juara golongan Bumiputera, kini UMNO telah
hilang arah tujuannya apabila ia mengabaikan perjuangan untuk menaikkan
taraf hidup orang Melayu dan memilih untuk hanya mengkayakan kroni
UMNOPutera dan menjadikan Malaysia sebuah negara model kleptokrasi
global.
Inilah sebabnya kenapa Presiden UMNO
sedang menghadapi 87 tuduhan rasuah dan digelar sebagai Raja Tuduhan
Rasuah, dan bekas Presiden UMNO sendiri menghadapi 42 tuduhan rasuah,
dengan Setiausaha Agung parti tersebut juga bakal menghadapi perbicaraan
rasuahnya yang tersendiri — bersama dengan ramai lagi pimpinan UMNO
yang menghadapi tuduhan masing-masing.
Dengan segala pertuduhan ini, mereka melancarkan kempen “MALU APA BOSSKU” tanpa sekelumit rasa malu sekalipun!
Semasa saya sedang menunggu
penerbangan saya di Lapangan Terbang Subang pada hari Ahad, saya
terserempak dengan seorang pemimpin UMNO yang bersetuju dengan saya
mengenai semua isu rasuah tersebut tetapi beliau tidak bersetuju dengan
saya mengenai perkara lain.
Saya berfikir sejenak mengenai komen
beliau memandangkan beliau merupakan seorang Menteri di dalam Kabinet
Pertama Najib di antara tahun 2009 sehingga 2013.
Walaupun beliau boleh untuk mengaku
tidak mengetahui mengenai skandal 1MDB memandangkan skandal tersebut
hanya muncul secara besar-besaran mulai tahun 2015, UMNO tidak ada
melakukan apa-apa langsung sepanjang 18 bulan yang sudah berlalu sejak
PRU14 untuk mengutuk dan menjauhkan dirinya daripada skandal 1MDB dan
memohon maaf kepada negara kerana menjatuhkan maruah negara kepada
sebuah kleptokrasi global.
Jika beliau terpilih untuk menyertai
Kabinet kedua Najib, adakah beliau akan menjadi seperti Ahmad Husni
Mohamad Hanadzlah yang baru-baru ini menyatakan kepada mahkamah yang
beliau telah menyembunyikan kebenaran mengenai skandal 1MDB semasa
peletakan jawatan Menteri beliau pada bulan Jun 2016 demi menjaga
reputasi Perdana Menteri semasa itu, atau adakah beliau akan menjadi
seperti Muhyiddin Yassin yang dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana
Menteri beliau pada bulan Julai 2015 kerana menolak untuk mengikut
arahan Najib mengenai skandal 1MDB?
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah
menimbulkan beberapa persoalan mengenai soal kewangan UMNO, selepas
UMNO dilaporkan menjual saham-sahamnya di dalam syarikat media dan UMNO
kini kembali kaya sehingga dilaporkan oleh sesetengah media sebagai
mempunyai lebih daripada RM2 bilion.
Adakah perkara ini berkait dengan
kenaikan kadar aktiviti media sosial dalam dua bulan yang lepas yang
cuba untuk mewujudkan satu persepsi di mana Malaysia kini menghadapi
satu krisis dalam pembinaan negara dengan hubungan antara kaum dan agama
yang semakin tegang, sehingga wujudnya satu kempen untuk memboikot
produk bukan bumiputera.
Di sebalik latar belakang perbicaraan
bekas Perdana Menteri negara, kita dapat lihat kerja-kerja jutaan wang
ringgit yang dibelanjakan untuk menguasai ruang media sosial.
Tanpa sebarang ragu-ragu lagi, ini
adalah satu perkara yang berkepentingan awam, terutamanya dengan
pemimpin UMNO yang dahulunya pemimpin kerajaan secara terang-terangan
melawan titah nasihat diraja mengenai berita palsu dan hasutan jahat dan
cubaan merosakkan perpaduan negara.
Malah, seorang bekas Mentri Besar
juga telah mempersoalkan dakwaan ketegangan antara kaum di dalam negara,
dengan mengatakan yang situasi di peringkat akar umbi sedang aman
harmoni, tanpa berlakunya situasi di mana “orang Melayu menindas orang
Cina dan sebaliknya”.
Mungkin beliau tidak memahami apa
yang saya cuba sampaikan apabila saya katakan Malaysia dalam “dunia
sebenar” kelihatan amat berbeza dengan Malaysia dalam “media sosial”
yang digambarkan sebagai berada di dalam polarisasi yang terburuk yang
pernah dilihat dalam sejarah negara.
Jika dilihat di Malaysia “media
sosial”, negara ini kelihatan seakan-akan menunggu masa sahaja sebelum
menjunam ke dalam kancah keganasan antara kaum dan agama yang dijana
oleh bergunung berita palsu dan hasutan jahat yang disebarkan sepanjang
dua bulan yang lepas untuk menghasut syak wasangka, kebencian dan
ketakutan.
Saya telah katakan berkali-kali yang
ini adalah satu gambaran yang tidak benar mengenai Malaysia, turun ke
peringkat akar umbi dan kita dapat lihat yang rakyat Malaysia hidup
dalam aman damai dan harmoni tanpa sebarang syak wasangka, kebencian,
mahupun ketakutan antara satu kaum dengan yang lain.
Jadi siapakah yang mencipta gambaran palsu Malaysia “media sosial” ini?
Mereka adalah orang yang sama berkaitan dengan kempen untuk memboikot produk bukan bumiputera.
Saya nasihatkan kepada bekas Mentri
Besar tersebut, yang kini menghampiri dekad ketujuh untuk menyedari yang
rakyat Malaysia tidaklah terlalu naif untuk mempercayai penafiannya,
dan beliau bersama-sama dengan sekutunya di dalam UMNO dan PAS
sepatutnya cuba untuk memahami dan bermuhasabah diri dengan apa yang
telah dititahkan oleh baginda Yang di Pertuan Agong, Sultan Perak, dan
Sultan Selangor baru-baru ini mengenai isu perpaduan negara, berita
palsu, dan hasutan jahat.
Sultan Perak Sultan Nazrin Syah
bertitah baru-baru ini bahawa selepas 62 tahun mencapai kemerdekaan,
perbuatan untuk menghasut kebencian di antara kaum dan agama masih
berlaku dengan kerap.
Baginda berkata, pelbagai provokasi
yang bersifat ekstrem telah dibuat, termasuklah melalui penyebaran
fitnah melalui media sosial dan penghinaan Islam dan agama-agama lain di
dalam negara ini, baginda memberikan amaran bahawa perbuatan seperti
ini adalah seperti memasang suatu bom yang hanya menunggu masa untuk
meletup.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin
Idris Shah juga telah memperingatkan rakyat Malaysia untuk tidak mudah
mempercayai berita palsu dan fitnah yang disebarkan di media sosial yang
boleh merosakkan keamanan dan keselamatan negara.
Yang di Pertuan Agong Al-Sultan
Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga telah bertitah bahawa
Islam menggalakkan keamanan dan hubungan yang baik di dalam masyarakat,
yang sepatutnya ditekankan di kalangan rakyat untuk memupuk perpaduan.
Baginda berharap untuk melihat negara
ini mencapai satu penghijrahan kepada semangat toleransi dan kerjasama
yang lebih baik di antara rakyat yang pelbagai kaum yang merupakan
kekuatan negara ini.
Sudah tentu sekali, segala kempen
boikot, berita palsu, dan fitnah yang belegaran di media sosial ini
berlawanan dengan penghijarahan kepada semangat toleransi, kerjasama,
dan perpaduan yang dikatakan oleh baginda.
Adakah bekas Mentri Besar ini mendengar titah Yang di Pertuan Agong dan Sultan Negeri Perak dan Selangor ini?
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan