KUALA
LUMPUR: Keikhlasan UMNO menjalin kerjasama politik bersama PAS masih
menimbulkan kecurigaan dalam kalangan segelintir ahli dan penyokong
parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
Pengarah
Pusat Penyelidikan PAS, Prof Dr Zainal Abidin Kidam, berkata peristiwa
PAS disingkirkan daripada Barisan Nasional (BN) pada 1978 susulan krisis
politik di Kelantan, antara yang memberi kesan kepada kepercayaan
kelompok itu terhadap UMNO.
Akar umbi parti juga, katanya,
masih terkesan dengan tindakan pemimpin UMNO memberi layanan buruk
kepada pentadbiran PAS di Kelantan dan Terengganu termasuk menafikan hak
negeri mendapatkan royalti petroleum.
“Tidak mudah untuk
PAS melupakan tindak-tanduk UMNO suatu ketika dulu, tetapi ini adalah
keputusan pucuk pimpinan yang dipersetujui di peringkat muktamar.
“Bagaimanapun,
saya tidak mendengar wujudnya tentangan daripada ahli dan penyokong PAS
dan ini mungkin reaksi kepada langkah berjaga-jaga.
“Kesangsian
terhadap keikhlasan UMNO tidak boleh dielak, maka UMNO perlu
membuktikan mereka ikhlas dalam penyatuan ini dan perlu menjelaskan
kepada rakyat apa yang ingin dibawa jika diberi peluang memerintah
semula menerusi gabungan ini,” katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.
Sebelum
ini, Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa wujud rasa tidak puas hati
dalam kalangan ahli dan penyokong PAS berhubung usaha parti pembangkang
itu memeterai piagam kerjasama dengan UMNO dalam Himpunan Penyatuan
Ummah pada 14 September ini.
Timbalan Pengerusi Biro Dakwah
AMANAH, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, dilaporkan berkata protes senyap
itu berlaku di hampir seluruh negara berikutan peringkat akar umbi PAS
tidak boleh menerima bentuk kerjasama dengan parti yang menjadi lawan
sejak 60 tahun lalu.
Ditanya kewajaran pemimpin PAS
membuktikan manfaat kerjasama itu kepada akar umbi, Zainal Abidin yang
juga bekas calon PAS bagi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU-14) berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Tidak
perlu buktikan, ia soal mana yang lebih mudarat, jika tidak mahu UMNO,
habis-habis (paling banyak) dapat Terengganu dan Kelantan, mungkin Kedah
tapi itu pun tak pasti.
“Selain itu, apa kita dapat.
Walaupun tidak akan rugi, PAS tidak akan ke mana kerana realitinya
majoriti Melayu Islam masih bersama UMNO. Hujah ini cukup untuk
justifikasi tindakan kita menjalinkan kerjasama dengan parti itu,”
katanya.
Mengulas idea penyatuan ummah itu, beliau berkata,
ia bermula ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sungai Kandis membabitkan pertembungan antara calon PKR, Mohd Zawawi
Ahmad Mughni dan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, Ogos tahun lalu.
Zainal
Abidin berkata, PAS secara tidak langsung menyatakan sokongan kepada
calon BN pada PRK berkenaan apabila parti tidak meletakkan calon.
Bagaimanapun,
katanya Lokman tidak mendapat sokongan pengundi PAS secara jitu kerana
tiada arahan rasmi daripada pucuk pimpinan parti.
“Kemuncaknya,
idea kerjasama diperkukuhkan lagi ketika gerakan menentang cadangan
ratifikasi ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala
Bentuk Diskriminasi Kaum) Disember 2018.
“Ia memperlihatkan
kerjasama agak kukuh untuk menghasilkan bantahan secara besar-besaran
dan secara rasminya PAS menjalinkan kerjasama untuk kepentingan Islam
dan Melayu,” katanya.
Beliau berkata, peringkat akar umbi
juga wajar memahami percaturan politik parti itu kerana PAS tidak akan
rugi, sebaliknya mendapat manfaat sepenuhnya.
Katanya, PAS juga bukan lagi sebuah parti lemah seperti yang berlaku pada 1978.
“Saya
yakin kelangsungan politik UMNO menerusi kerjasama dengan PAS dan saya
lihat penyatuan ummah ini membawa kebaikan kepada UMNO kerana suka atau
tidak, PAS akan menonjolkan integriti, menjadi entiti semak dan imbang
kepada UMNO.
“Untuk itu, UMNO harus berubah. Kepemimpinan
UMNO di semua peringkat daripada cawangan, bahagian dan pusat perlu
memperbetulkan semula budaya politik parti itu," katanya yang
menyifatkan penyatuan ummah bakal mengubah persepsi pengundi atas pagar
yang menyumbang kepada kemenangan kerusi bagi kedua-dua parti itu.
Zainal
Abidin turut mendedahkan imej PAS sedikit tercalar dengan keputusan
bekerjasama dengan UMNO sehingga menjadi mangsa kecaman dan kutukan
masyarakat.
“PAS kena terima perkara itu, sanggup terima
cemuhan daripada tentera siber. Jawapan PAS kepada pihak yang banyak
mengkritik keputusan ini ialah 'so what?," katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan