Timbalan
Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub yakin, parti Pas tidak akan
menarik balik ‘Amanat Haji Hadi’ yang dianggap kitab azimat mereka yang
disimpan sewaktu mahu berpisah.
“Hari ini mereka mahu bersama, jadi kalau esok mereka nak berpisah
atau berkelahi, kitab azimat itu lah yang mereka akan buka esok.
“Itu pengalaman saya dulu lah masa dalam parti lama tersebut. Jadi,
saya yakin amanat Tok Guru (Haji Hadi) itu tidak akan ditarik balik.
“Sebab itu saya katakan, sekarang Pas mesra dengan Umno, tetapi
tunggulah nanti bila nak berpisah.
Sebab itu, kitab azimat (Amanat Haji
Hadi) tidak akan ditarik balik,” katanya pada sidang media selepas
Majlis Pelancaran Dokumen Pengembangan Perikanan (DPP), Jabatan
Perikanan Malaysia (DOF), di Putrajaya, hari ini
Salahuddin berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan wartawan
berhubung kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir
Mohamad bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu menarik balik kenyataan
Umno parti kafir terlebih dahulu, sebelum kedua-dua parti memuktamadkan
kerjasama mereka melalui pemeteraian satu piagam pada Sabtu ini.
Menurut Dr Mahathir, Presiden Pas masih belum menarik balik secara
rasmi kenyataan itu bagi membolehkan mereka bekerjasama dengan Umno.
Dalam pada itu, Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai
turut menceritakan pengalamannya sewaktu bersama parti lama tersebut.
“Pengalaman yang sama juga sewaktu Pas menjalin tahaluf siyasi dengan
Dap. Tahun 2008, saya adalah Naib Presiden Pas waktu itu, jadi dengan
segala hujah yang mereka ada ketika itu, mereka mengatakan kita boleh
berkawan dengan Dap dan kita pun menjalinkan hubungan dengan Dap.
“Malangnya, pada 2015 mereka (Pas) rasa perlu berpisah daripada
Pakatan Rakyat. Jadi mereka keluarkan hujah (alasan benarkan tindakan
keluar).
“Sebab itu saya katakan tadi, bahawa sekarang ini mereka berasa mesra
dengan Umno, ada keperluan untuk kawan dengan Umno, tapi tunggulah
sebab kitab azimat itu tak ditarik balik,” katanya lagi.
Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas,
Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan bersama sebelum ini,
mengumumkan kerjasama kedua-dua parti akan diputuskan melalui
pemeteraian piagam dan MoU pada 14 September ini.
Piagam dan MoU itu akan ditandatangani sendiri presiden kedua-dua
parti pada majlis yang bakal dihadiri semua pemimpin Umno dan Pas dari
seluruh negara.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan