Oleh LIM KIT SIANG
Himpunan
Penyatuan Ummah (HPU) Pas-Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra Umno Sabtu
lalu, bukanlah tentang Melayu, Islam atau Raja-raja Melayu tetapi untuk
menyelamatkan Umno daripada dilupakan, malah untuk mengelakkan pemimpin
Umno daripada meringkuk di dalam penjara sepanjang hayat mereka dek
kerana amalan rasuah dan salah guna kuasa semasa mereka berada di dalam
kerajaan, dan memberikan peluang untuk Pas merasa jadi “Abang Besar”
dalam gabungan Pas-Umno dan menjadi penyelamat kepada Umno yang
kleptokratik — inilah sebab mengapa ia digelar sebagai klepto-teokrasi —
dan untuk memberikan peluang yang julung-julung kalinya buat Presiden
Pas untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia setelah dinafikan peluang
berkenaan semasa berada di dalam gabungan Pakatan Rakyat.
Untuk mencapai objektif-objektif berkenaan, gabungan Pas-Umno perlu
mencipta suasana yang dipenuhi rasa ketakutan, cemas dan kebencian yang
tidak berasas dan diada-adakan dalam kalangan orang Melayu dan Islam,
yang merupakan majoriti pengundi di Semenanjung Malaysia, dan untuk
pertama kalinya setelah merdeka, kaum Melayu dan agama Islam kononnya
berdepan krisis eksistensial, menepikan tiga fakta asas berikut:
Pertama, siapa yang berada di dalam kerajaan sejak enam dekad yang
lalu dan bagaimana mungkin untuk kerajaan Pakatan Harapan memperbetulkan
masalah yang diciptakan Umno dalam tempoh masa satu, dua atau lima
tahun sedangkan hegemoni Umno dalam kerajaan telah bersarang selama enam
dekad lamanya, yang agenda sebenarnya bukan untuk mengangkat taraf
kehidupan bumiputera tetapi sebaliknya untuk mewujudkan Umno-putra yang
hari ini telah menciptakan kleptokrat global Malaysia pertama yang
menjadi watak penting dalam skandal rasuah membabitkan 1MDB. Pakatan
Harapan tidak akan menghapuskan apa yang baik untuk negara, tetapi akan
melaksanakan pembaharuan terhadap apa yang buruk dan menjejaskan negara;
Kedua, fitnah terbesar bahawa DAP kononnya anti-Melayu, anti-Islam
dan anti- Raja-raja Melayu, sedangkan DAP telah berulang kali
menegaskan, di dalam Parlimen dan di dalam dokumen dasar sejak lima
dekad lalu, dan di dalam pengumuman dasar asas gabungan politik DAP,
sama ada Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan
terbaharu Pakatan Harapan, menegaskan dan menegaskan semula sokongan dan
komitmen DAP terhadap perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan,
terutamanya berhubung bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Islam sebagai
agama rasmi dan sistem raja berpelembagaan di Malaysia.
Ketiga, realiti demografi di Malaysia yang memberi jaminan bahawa
orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa politik, tak kira apa jua yang
akan berlaku terhadap Umno atau Pas dalam pilihan raya umum akan datang.
Pada tahun 1957, semasa kemerdekaan Tanah Melayu, jumlah penduduk
mengikut peratusan adalah 53% Melayu, 35% Cina, 11% India dan 1%
Lain-lain.
Pada tahun 1970, jumlah peratusan penduduk adalah seperti berikut;
44.32% Melayu, 34.34% Cina, 8.99% India, 11.89% Bumiputera bukan Melayu,
dan 0.67% Lain-lain.
Pada tahun 2010, peratusan penduduk Melayu di Malaysia bertambah
kepada 55.07%, Cina berkurangan kepada 24.34%, India berkurangan kepada
7.35%, Bumiputera bukan Melayu kekal 11.94% dan 1.3% Lain-lain.
Pada tahun 2040, dijangkakan peratusan penduduk Bumiputera akan
meningkat kepada 72.1%, jumlah peratusan penduduk Cina akan turun kepada
20% dan India turun 6.4% sementara Lain-lain 1.5%.
Tidak terhalang oleh usaha pemomokkan berterusan terhadap DAP dengan
tuduhan anti-Melayu dan anti-Islam, kami tetap tabah dan meneruskan
perjuangan politik kami untuk berkhidmat demi rakyat Malaysia tanpa
mengira kaum, agama atau wilayah, malah kami hari ini mempunyai
mempunyai wakil daripada setiap kaum; Melayu, Cina, India, Kadazan dan
Dayak sama ada di dalam kerajaan Persekutuan atau negeri, tidak seperti
parti-parti politik yang lain.
Ada yang mengatakan bahawa dalam politik, kombinasi 1+1 tidak akan
menjadikan ia 2, ia mungkin akan menghasilkan pertambahan kepada 3 atau
pengurangan kepada 1.
Pemimpin Pas-Umno berharap bahawa gabungan mereka yang dimeterai
Sabtu lalu akan menghasilkan nilai 3, tetapi ia mungkin akan hanya
menghasilkan nilai 1 jika Pakatan Harapan berjaya membersihkan segala
kekotoran hasil peninggalan selama enam dekad dan mula menunaikan janji
Buku Harapan dalam tiga tahun terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-15
(PRU15).
Baru-baru ini, bekas pemimpin dan menteri Umno, Tan Sri Syed Hamid
Albar berkata Datuk Seri Najib Razak hanya menunaikan 21 daripada 60
janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 – atau kadar peratusan
pencapaian berjumlah 35%.
Saya yakin Pakatan Harapan mampu mencipta kadar peratusan pencapaian
yang lebih tinggi dalam manifesto Malaysia Baharu semasa PRU15 diadakan
pada tahun 2023, namun kerajaan Pakatan Harapan harus komited untuk
memenuhi janji pilihan raya yang lain meskipun ia mengambil masa lebih
daripada satu kitaran pilihan raya.
Semboyan perang persepsi telah ditiup dan gabungan Pas-Umno
melancarkan kempen berita palsu dan ucapan kebencian secara berterusan
semata-mata untuk mewujudkan suasana cemas, ketakutan dan kebencian di
kalangan orang Melayu dan Islam bahawa kononnya hak dan kepentingan
mereka sedang diserang oleh kerajaan Pakatan Harapan yang dikuasai DAP
di Putrajaya dan kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad telah menjadi boneka
kepada DAP.
Teramatlah ironi dan tidak munasabah, ketika DAP diserang oleh
gabungan Pas-Umno dengan tuduhan mahu menghapuskan hak orang Melayu dan
Islam, DAP dalam masa sama diserang oleh MCA, Gerakan, MIC dan SUPP
kononnya menjual hak dan kepentingan orang bukan Melayu, khususnya Cina,
kepada “tuan Melayu” dan tunduk kepada kehendak Mahathir.
Tidak ada seorang pun pemimpin pembangkang berhenti sejenak untuk
memikirkan semula betapa kontradik dan mengarutnya kedua-dua serangan
berkenaan.
Ini terjadi kerana tidak seorang pun daripada mereka sebenar-benarnya
mempunyai niat yang murni terhadap masa depan orang Melayu, Cina,
India, Kadazan dan Iban atau prihatin terhadap budaya dan agama di
negara ini, sebaliknya mereka hanya memikirkan tentang kelangsungan
hidup mereka, ingin meredakan kebimbangan mereka terhadap kemungkinan
akan dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan bercita-cita mahu
kembali berkuasa dengan menunggang dan memanipulasi isu-isu 3R!
Ahli strategi gabungan Pas-Umno akan berjaya sekiranya mereka boleh
menanamkan dalam minda orang Melayu dan Islam bahawa DAP anti-Melayu,
anti-Islam, anti-Raja-raja Melayu dan mahu menghapuskan mereka dari muka
bumi ini.
Semua ini adalah fitnah dan dongeng besar belaka yang diciptakan
PAS-UMNO, kerana sudah terbukti bahawa DAP adalah lebih berwajah
Malaysia daripada pemimpin Umno dan Pas.
Kita tidak harus membenarkan politik ketakutan terus merebak, di mana
menerusi penipuan, pembohongan, berita palsu dan ucapan kebencian,
mereka menyebabkan setiap masyarakat menjadi tidak rasional dan takut
malah benci terhadap masyarakat lain – yang mana akan memusnahkan
Malaysia dan menyebabkan Malaysia berpecah belah, gagal, malah menjadi
negara penyangak dan kleptokratik sekaligus semakin menjauh daripada
matlamat untuk menjadi negara bertaraf dunia berteraskan perpaduan,
kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.
Semoga Malaysia menjadi sebuah contoh di mata dunia dengan kejayaan
Perikatan Ketamadunan dan bukannya menjadi gagal menerusi Konflik
Peradaban.
Justeru itu penting untuk setiap rakyat Malaysia mempersiapkan diri
dengan ilmu sosial media dengan menerapkan elemen pemikiran kritis bagi
membolehkan mereka mengenal pasti berita palsu dan ucapan kebencian, dan
membezakan antara kaca dan permata, salah dan benar.
Atas dasar ini, DAP akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk
mempromosikan literasi sosial media dan melawan berita palsu serta
ucapan kebencian, yang mana akan diketuai oleh Ahli Majlis Petaling Jaya
dan Ketua DAPSY Subang, Farhan Haziq Mohamad.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan