Oleh Hayar Hassan
Tanggal 14 September 2019 boleh dikatakan hari yang cukup menarik dari sudut kemeriahan penghayatan warna-warni demokrasi semasa dalam suasana Malaysia Baru.
Apa tidaknya, terdapat dua peristiwa besar yang mendapat sorotan media-media berita digital dan tradisional. Rakyat juga turut heboh memberikan komen-komen serta pendapat di wadah-wadah media sosial. Ramai orang yang memiliki telefon bimbit tidak melepaskan peluang memberi pendapat dan komen. Cumanya nilai dan impak komen-komen tersebut perlu diperhalusi oleh pihak-pihak yang berwajib.
Secara kebetulan pula, dua peristiwa besar tersebut melibatkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sedang menerajui tampok pemerintahan di Putrajaya dan gabungan pihak pembangkang, UMNO dan PAS.
Kerajaan Pakatan Harapan(PH) yang sedang menerajui tampok pemerintahan di Putrajaya mengadakan mesyuarat khas Kabinet yang berjalan sekitar 3 jam membincangkan isu-isu mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama di Perdana Putra. Perdana Menteri Malaysia ke 7, YAB Tun Dr Mahathir Mohamed dalam sidang akhbarnya berkata tiga fokus utama adalah merapatkan jurang kemiskinan antara negeri kaya dan miskin, bandar dan luar bandar serta pendapatan pekerja.
Jelas sekali Kerajaan PH masih terus gigih berusaha untuk merealisasikan janji-janji dalam manifesto PH PRU 14 lalu. Oleh yang demikian, “Wawasan Kemakmuran Bersama”(WKB) yang baru diumumkan ini adalah strategi baru PH untuk menyahut rintihan rakyat terhadap kos sara hidup yang tinggi, taraf pekerja bawahan yang tidak meningkat, pengangguran yang begitu meruncing di kalangan graduan-graduan Institut Pengajian Tinggi(IPT) dan pertumbuhan ekonomi negara yang agak lembab.
Akal sihat kita pasti akan bersetuju bahawa apa yang hendak dilaksanakan oleh PH adalah suatu yang tepat dan amat dinanti-nantikan oleh semua rakyat jelata.
YAB Perdana Menteri berkata, usaha meningkatkan taraf pekerja bawahan bukan hanya dengan cara menaikkan gaji tetapi juga meningkatkan keupayaan pekerja supaya menjadi lebih produktif dengan memberikan latihan agar mereka mampu melaksanakan kerja-kerja yang lebih canggih.
Disamping itu, kerajaan menegaskan bahawa semua kontrak ataupun lesen kerajaan AP(approved Permit) hanya akan diberikan kepada pihak yang benar-benar layak. Kerajaan akan memberikan latihan kepada yang tidak layak sehingga lah pemohon itu layak. Dengan cara ini akan terhindar lah gejala-gejala projek gagal, ketirisan melampau dan rasuah.
Dijangkakan WKB ini bakal dilaksanakan mulai tahun 2020 untuk tempoh masa 10 tahun.
Pada tarikh yang sama , 14 September 2019, Pembangkang UMNO dan PAS pula telah mengadakan program “ HIMPUNAN PENYATUAN UMMAH ” DI Putra World Trade Centre(PWTC). Kedua belah pihak memeteraikan “ PIAGAM MUAFAKAT NASIONAL”(PMN). Katanya lebih daripada 25,000 orang penyokong kedua-dua parti tersebut hadir.
Yang begitu teruja pada perhimpunan tersebut, tentulah ahli-ahli dan penyokong PAS. Selama ini peluang mereka untuk hadir dan melihat sendiri gahnya bangunan PWTC itu tidak ada, kerana sebelum ini UMNO dan PAS tidak sehaluan. Ini lah yang dinamakan dinamika politik. Suasana politik boleh berubah mengikut rentak dan citarasa pemimpin-pemimpin parti-parti politik. Idealisma perjuangan politik boleh dilupakan seketika.
Bagi UMNO dan PAS, matlamat utama PMN ini adalah semata-mata untuk memenangi PRU 15 dengan mengelakkan pertembungan tiga penjuru. Lucunya sewaktu PRU 14, BN/UMNO dibawah pimpinan DS Najib Razak bertungkus lumus mengusahakan pertandingan 3 penjuru. Pada waktu itu, mereka berpendapat BN/UMNO masih boleh menang seandainya undi Melayu/Islam dipecah-pecahkan. Rupanya strategi ini tidak menjadi kerana masih ramai pengundi-pengundi Melayu/Islam mengundi calon-calon PH.
Selepas meneliti kembali hasil keputusan PRU 14 itu, sebilangan daripada strategis-strategis UMNO/PAS berpendapat bahawa mereka boleh kembali memenangi PRU 15 seandainya wujud dua penjuru sahaja. Adakah semudah itu strateginya ? Agak melucukan.
Perlu kita fahami bahawa ini adalah hanya sekadar angan-angan di atas kertas yang hasilnya hanya boleh dilihat selepas tahun 2023 !
Wal hal PH dalam agenda “Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB)”nya akan mula melaksanakan semua tindakan serta langkah-langkah strategiknya seawal tahun 2020 . Tentu lah agenda WKB PH ini lebih meyakin daripada agenda PMN tajaan UMNO/PAS !
Contoh perbandingan yang amat mudah adalah begini. PH sudah menyajikan hidangan Nasi Arab kambing yang telah dimasak oleh chef terkenal di atas meja. UMNO/PAS pula baru berkira-kira mencari menu yang enak, mencari bahan-bahan untuk dimasak. Seperti kata makna beberapa Peribahasa Melayu, “ Burung terbang, dipipiskan lada”,” Ikan lagi di laut, lada dan garam sudah di sengkalan” dan “ Rusa di hutan, kancah sudah dijerang“. Peribahasa-peribahasa ini membawa maksud, sudah bersiap sedia untuk mengecap hasil yang belum lagi diperolehi !
Alamat terus kelaparan lah semua tetamu jemputan. Amat wajar sekali semua tetamu jemputan makan Nasi Arab yang sudah terhidang di atas meja itu. Tak perlu lah menunggu hidangan yang belum tentu terhidang itu. Jangan lah kita menerima nasib seperti Pak Lebai Malang dalam cerita penglipur lara Melayu lama itu.
Pengundi-pengundi dalam PRU 15 nanti, terutamanya anak-anak muda sudah tentu boleh menggunakan akal sihat mereka dalam menentukan hala tuju pemerintahan negara Malaysia tercinta ini. Biarkan lah agenda PMN itu di atas kertas sahaja. Ianya tidak lebih hanya sekadar suatu impian segelintir politikus-politikus yang sudah kekeringan idea dalam mencari pengaruh serta undi !
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan