Apa selepas inkues Adib?

Oleh DR ZULKARNAIN LUKMAN

Keputusan inkues Adib telah disambut baik oleh pelbagai pihak. Selepas 41 hari prosiding perbicaraan berlangsung, Koroner Rofiah Mohamad telah memutuskan bahawa kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah berpunca daripada tindakan jenayah oleh seorang individu yang tidak dikenali. Dalam inkues tersebut sebanyak 137 ekshibit dan 30 saksi telah dipanggil untuk merungkai punca kematian Muhammad Adib.

Kuasa untuk seorang majistret membuat inkuiri berkaitan sesuatu kematian adalah terkandung dalam seksyen 328 sehingga 341A Kanun Prosedur Jenayah (“KPJ”). KPJ menyatakan bahawa maksud sebab atau punca kematian yang disiasat adalah bukan sahaja penentuan punca kematian yang ditentukan melalui pemeriksaan post-mortem mayat si mati bahkan juga perkara-perkara lain yang perlu untuk seseorang koroner untuk mengeluarkan pendapatnya mengenai bagaimanakah si mati itu menemui ajalnya dan sama ada kematiannya itu telah berlaku disebabkan sesuatu perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang atau kecuaian oleh mana-mana orang.

Melalui prosedur inkues ini, pihak polis perlu terlebih dahulu menyiasat punca kematian si mati jika punca kematiannya tidak diketahui atau cara kematiannya menimbulkan apa-apa syak mengenai sesuatu perbuatan jenayah telah dilakukan atau si mati itu telah membunuh dirinya.

Pihak polis juga perlu segera melaporkan hal tersebut kepada seorang majistret yang berada dalam bidangkuasanya itu. Majistret tersebut boleh jika perlu untuk pergi melihat mayat si mati itu. Selain itu, pihak polis juga perlu membawa mayat itu ke hospital bagi membuat post-mortem bagi mengkaji punca kematian si mati itu.

Pegawai perubatan yang membuat post-mortem itu hendaklah membuat satu laporan mengenai kematian si mati dengan memasukkan butiran mengenai jasad si mati dan membuat satu kesimpulan mengenainya. Selepas itu, pegawai perubatan tersebut mestilah mengesahkan punca kematian si mati dan meletakkan tarikh serta menandatangani laporan post-mortem itu sebelum beliau mengemukakan laporan itu kepada pihak polis.

Selepas pihak polis menyiapkan kertas siasatan dan selepas laporan post-mortem diterima, pihak polis akan menyerahkan kertas siasatan itu kepada majistret tersebut. Majistret itu kemudiannya akan membuat keputusan sama ada beliau berpuas hati dengan punca kematian si mati. Jika beliau berpuas hati, beliau akan mengemukakan laporan itu kepada pihak pendakwaraya berserta segala bukti lain.

Jika beliau tidak berpuas hati maka majistret itu akan membuat prosiding inkues dengan seberapa segera.

Dalam satu prosiding inkues, tugasan seorang majistret adalah untuk menentukan bilakah, di manakah, bagaimanakah dan selepas perbuatan apakah yang dibuat sehingga si mati itu telah menemui ajalnya. Majistret itu juga hendaklah menentukan sama ada mana-mana orang telah melakukan sesuatu perbuatan jenayah dalam menentukan punca kematian si mati.

Menariknya, KPJ juga menyatakan bahawa jika Pendakwaraya berhak untuk mengarahkan majistret mengendalikan inkues walaupun majistret itu telah mengeluarkan pendapatnya bahawa inkues tidak perlu dilakukan. Inilah yang dibuat oleh Peguam Negara Tommy Thomas dalam kes Muhammad Adib ini yang mengarahkan inkues diadakan meskipun pihak pembangkang pada masa itu menolak keputusan Peguam Negara tersebut.

Berbalik kepada tajuk asal, apakah tindakan susulan selepas inkues Muhammad Adib ini. Seksyen 341A menyatakan bahawa seseorang hakim Mahkamah Tinggi boleh menyemak (revision) keputusan yang dibuat oleh seorang koroner.

Menurut Seksyen 323(1) KPJ, Hakim Mahkamah Tinggi itu boleh memanggil dan memeriksa rekod prosiding yang dikendalikan oleh Mahkamah Rendah (Bidangkuasa Jenayah) bagi tujuan memuaskan hatinya sama ada prosiding itu betul daripada sudut prosedur undang-undang dan sama ada dapatan yang dibuat oleh majistret itu benar-benar mematuhi undang-undang atau wujudnya sebarang khilaf.

Dalam kes Muhammad Adib ini antara isu khilaf yang ditimbulkan adalah sama ada tindakan koroner Rofiah Mohamad yang menolak keterangan saksi pakar forensik Hospital Kuala Lumpur dan menerima pendapat pakar forensik lain. Adalah wajar sekiranya Hakim Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa semakan ini.

Mengenai seruan oleh pemimpin PAS dan UMNO yang menyeru untuk Peguam Negara meletakkan jawatan adalah satu pandangan yang mencerminkan kedangkalan memahami undang-undang. Ini kerana pendapat koroner itu bukanlah satu sabitan Mahkamah tetapi hanyalah penemuan fakta sahaja.
Sebenarnya, tugas Peguam Negara adalah lebih besar selepas koroner mengeluarkan pendapatnya.
Peguam Negara kini boleh memohon untuk semakan semula keputusan inkues itu atau boleh meminta pihak polis untuk menyiasat kembali kes berkenaan. Tindakan Peguam Negara yang mengarahkan inkues diadakan adalah tepat kerana Peguam Negara kini Peguam Negara mempunyai rekod keterangan 30 saksi dan 137 ekshibit serta dapatan fakta koroner bagi menyiasat dalang sebenar yang menyebabkan kematian Muhammad Adib
.
Justeru, orang ramai perlulah bersabar kerana sesuatu proses perundangan terutamanya dalam hal kematian Muhammad Adib ini adalah rumit kerana tiada saksi yang melihat secara jelas siapakah sebenarnya yang memukul Muhammad Adib. Biarlah Peguam Negara dan pihak polis menyiasat dengan lebih lanjut mengenai hal ini dan orang ramai tidak perlu membuat sebarang spekulasi liar mengenai hal berkenaan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan