DAP komited perjuangkan kehidupan lebih baik untuk semua

DAP komited untuk memberikan kehidupan lebih baik bagi semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau daerah, kata veteran parti itu Lim Kit Siang.

Lim Kit Siang
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, bagaimanapun sebelum itu, semua rakyat Malaysia mesti mempunyai mentaliti negara maju, menghentikan haluan ke arah negara gagal, penyangak dan kleptokrasi.

“Di samping itu berani berilham untuk menjadi negara dunia kelas atasan dalam sebanyak mungkin bidang daya insan. Kita mesti, misalnya, mempersiapkan diri menjadi salah sebuah negara peneraju integriti di dunia dan diletakkan dalam ranking 30 negara integriti dunia dalam tempoh sedekad ini.

“Semua rakyat Malaysia mesti berusaha dengan komitmen minda unggul ke arah matlamat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata dalam beberapa hari lalu, terdapat laporan media tentang pakatan dan konspirasi hendak  menggulingkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hingga ia akan meledak sama ada menerusi perpecahan atau penyingkiran.

“Satu daripada sebab munculnya pakatan dan konspirasi ini tidak diragukan, untuk menentukan  kleptokrat, jerung dan ikan bilis rasuah terselamat dari proses keadilan dan kehakiman termasuk hukuman penjara yang panjang tempohnya.

“Ini satu sebab penting mengapa rakyat yang mahukan kehidupan lebih baik pada masa depan untuk semua warga Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan daerah, mesti bersatu untuk menentukan perang menentang kleptokasi dan rasuah dilaksanakan hingga tercapai penyelesaian yang logikal.

“Ini hanya boleh dicapai jika Kerajaan PH kekal bersatu, tidak goyah dan komited kepada matlamat sebuah Malaysia yang bersatu, adil, demokratik, harmoni dan bersih rasuah,” katanya.– BERNAMA
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan