Oleh MAHATHIR MOHD RAIS
Kehidupan
dunia berpolitik di negara kita masih terkesan dek perbezaan pemikiran
berbanding kepimpinan. Pemikiran yang lebih berkepentingan peribadi
berbanding kepimpinan yang wajib dinilai keutamaannya.
Terpanggil menyampaikan dari sudut pandangan saya berkenaan
perjanjian ataupun proses peralihan kuasa diantara dua pemimpin tersohor
yakni Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bingkisan YAB Perdana Menteri Malaysia yang tertutur rapi di UNGA -73
baru baru ini jelas menyatakan bahawa Malaysia Baharu terbentuk selepas
Pilihan Raya Umum ke-14 yang mana dunia menyaksikan rakyat Malaysia
memutuskan untuk menukar Kerajaan yang berkuasa selama 61 tahun.
Jelas, peralihan kuasa ini berlaku apabila rakyat menyedari bahawa
kerajaan terdahulu mengamalkan politik kebencian, ketaksuban perkauman
dan agama selain dari rasuah yang berleluasa. Dan demikianlah proses
peralihan kuasa berlangsung secara demokratik tanpa keganasan mahupun
kehilangan nyawa.
Mendengar setiap apa yang disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad
di UNGA -73, terselit juga mesej yang jelas berkenaan demokrasi yang
menjadi tunjang utama dalam proses peralihan kuasa ini.
Majoriti diantara kita dari pelbagai parti membesar melihat
kewibawaan, kekuatan serta kelemahan kedua dua pemimpin gergasi ini
dalam arena pemerintahan di negara kita.
Dan didalam setiap perjalanan perjuangan mereka, kita saksikan
titipan usaha kedua duanya dalam pembentukan negara walau jelas
kelihatan menggunakan pendekatan yang mungkin jauh berbeza.
Namun kita harus akui bahawa ketokohan, keberanian dan ketekunan
kedua duanya jelas menonjolkan keupayaan masing masing dalam
menggariskan hala tuju dalam pembentukan ekonomi dan kita juga perlu
akui bahawa kedua duanya mempunyai keupayaan masing masing dalam agenda
pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.
Persoalannya disini, adakah kita selaku penyokong yang menjadi
pemutus atau penentu kuasa yang telah termeterai diantara kedua duanya?
Kesal dengan tindakan segolongan pihak yang pada suatu ketika dahulu
berani berdiri demi menyuarakan kebenaran dan menentang kebathilan namun
kini beralih menjadi golongan pemorak poranda kisah peralihan kuasa
kedua dua pemimpin gergasi ini.
Sebenarnya, tidak semestinya setiap keputusan itu yang harus
ditakuti, sebaliknya kegelisahan yang kini wujud didalam diri segelintir
pemimpin, segolongan pengikut, penyokong, mahupun pemerhati
berkemungkinan besar lebih cenderung kepada ketidakpastian dalam
tindakan membuat keputusan tersebut. Bak kata pepatah, mereka yang
takutkan ketinggian, maka mereka akan terjatuh.
Didalam proses pembinaan sebuah empayar, peralihan kuasa politik
adalah perkara yang teramat sinonim di seluruh dunia. Mudah difahami
kerana diri kita sendiri yang dipertanggungjawabkan dalam tindakan kita
selaku pengundi pada pilihanraya yang lalu. Kerajaan yang berusia 61
tahun gugur akibat dari pilihan kita memilih untuk membebaskan diri dari
cengkaman kleptokrat.
Dan dalam konteks peralihan kuasa, rakyatlah yang diberi
tanggungjawab dalam membuat pilihan dan pilihan rakyatlah yang bakal
menjulang pemimpin seterusnya. Siapa sangka seorang pemain kriket
antarabangsa mampu dijulang sebagai Perdana Menteri di sebuah negara
kedudukan ke-6 dunia dengan mempunyai penduduk teramai di dunia dan
negara ke-2 mempunyai penduduk beragama islam sunni teramai didunia.
Matlamat yang dipegang oleh Imran Khan adalah sejajar dengan matlamat
yang digenggam oleh Tun Dr. Mahathir, mempertahankan hak asasi manusia,
apatah lagi dalam mempertahankan hak orang orang Islam yang masih lagi
ditindas dek kerakusan kuasa dan diskriminasi politik dunia.
Ianya sudah tidak lagi berkenaan dengan siapa yang memegang jawatan
namun akan apa yang bakal dilakukan oleh pemimpin tersebut dalam usaha
membangunkan ekonomi dalam melakarkan hala tuju sesebuah negara demi
kesejahteraan rakyatnya.
Apabila ingin memenangi hati rakyat, maka terlahirnya manifesto yang
dikemukakan atas tujuan menjamin kesejahteraan mereka. Setiap apa yang
termaktub didalam mana mana manifesto harus dilaksanakan namun hanya
sekiranya perjanjian tersebut tidak membawa kepada sebarang kemudaratan.
Terpanggil saya untuk berkongsi pautan yang mana, memberi gambaran
jelas berkenaan kenyataan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin
menyatakan didalam satu kenyataan sebelum Perhimpunan Agung Tahunan kali
kedua BERSATU akur dan faham tentang konsesus yang telah dicapai
didalam Pakatan Harapan malah BERSATU sendiri menyokong hasrat rakyat
untuk melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-8.
Timbalan Presiden AMANAH, YB Datuk Salahuddin Bin Ayub juga ada
menyatakan bahawa Parti AMANAH masih lagi berpegang kepada keputusan
yang dibuat secara konsensus yang termaktub yang mana menamakan Tun Dr
Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Ke-7 dan Datuk Seri Anwar
Ibrahim sebagai penggantinya selepas itu. Seharusnya tiada perlu lagi
ada keraguan dikalangan pemimpin Pakatan Harapan tentang siapa yang
bakal menerajui kepimpinan negara selepas Tun Dr Mahathir.
Dunia mengenali pendirian Tun Mahathir yang teguh dengan prinsip
dalam perjuangannya selama berada di arena politik. Tun sendiri telahpun
buat beberapa kalinya apabila diajukan soalan yang sama menyatakan akan
menyerahkan kuasa apabila tiba masanya nanti. Tujuan ini tidak lain
tidak bukan hanyalah bertujuan memastikan agar kerajaan berada
dikedudukan stabil dan kukuh sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan
negara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tiada mana mana didalam
kenyataan Tun yang menyatakan sebaliknya.
Begitu juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana berulang kali
menunjukkan sokongan kepada Tun Dr. Mahathir dalam membantu mengemudi
kepimpinan demi meningkatkan prestasi dan memulihkan ekonomi negara demi
kesejahteraan rakyat.
Sudah gaharu cendana pula.
Keputusan sesetengah pihak dalam menyuarakan pandangan terutamanya
dalam bangkangan terhadap peralihan kuasa ini harus dengan segera
menghentikan tindakan mereka yang boleh dikira agak kurang bijak.
Dengan adanya segolongan yang sengaja menghembus api kemarahan dan
hasutan dari dalam Pakatan Harapan itu sendiri maka mudahlah lagi
tugasan pembangkang dalam memainkan peranan dengan hanya melihat
kepincangan yang bakal meruntuhkan struktur Pakatan Harapan.
Dan kiranya pemberantakan ini terus dipraktikkan dikalangan Pakatan
Harapan, maka polemik peralihan kuasa ini akan secara automatis
berpanjangan tanpa berpenghujung.
Kunci untuk membuat keputusan yang lebih baik ialah mendidik diri
kita sendiri dan memastikan kita mengetahui sepenuhnya tentang faktor
penyumbang. Tidak dinafikan, kebanyakan daripada kita telah mendengar
ungkapan “pengetahuan adalah kuasa”, namun jika gagal mendidik diri
sendiri dalam memahami apa yang wajib ada dalam konteks penyatuan
didalam sesebuah koilasi, maka kuasa penghancur itulah yang bakal
meruntuhkan institusi ini secara keseluruhannya.
Begitu juga dengan alkisah segolongan yang pernah pada suatu ketika
dahulu menyokong parti BERSATU namun kini lebih kecenderungan mereka
untuk menggalakkan perasaan ketidakpuasan hati atau permusuhan antara
koilasi yang dibentuk terutamanya apabila mengeluarkan kenyataan demi
kenyataan yang berbaur kebencian terhadap keputusan Tun Mahathir.
Kesan dari rentetan isu peralihan kuasa ini hanya akan berpanjangan
kiranya kita membenarkan golongan ini dalam menyuarakan pandangan
penyumbang kepada pepecahan dalam kesatuan Pakatan Harapan.
Kod utama di dalam berpolitik adalah etika dan kiranya kod etika ini
tidak dijadikan satu amalan makanya polemik perailhan kuasa ini akan
berterusan tidak berkesudahan.
Pihak yang sedang tekun siang dan malam memainkan isu peralihan kuasa
ini sebaliknya harus lebih peka dalam usaha penyatuan dari dalam
kesatuan Pakatan Harapan. Ini yang harus mereka lakukan dan bukannya
menyalak berdentum bak guruh dilangit membentak menggunakan media
sosial.
Pada masa yang sama, tindakan kurang cerdik ini adalah ibarat
insentif kepada pihak media. Umum memahami bahawa peranan media dalam
dunia politik adalah teramat penting lalu setiap yang dikhabarkan pasti
akan tersebar keseluruh pelusuk dunia. Adakah kita memilih untuk
melabelkan keupayaan parti melalui gembar gembur dan provokasi media?
Jawapan ada ditangan anda.
Hakikatnya, tidak timbul soal ketidakpercayaan dikalangan kepimpinan
tertinggi berkenaan proses peralihan kuasa ini, cuma seekor dua langau
yang tidak ada kesabaran dan takut pada bayang bayang sendiri yang
bertindak sedemikian. Khuatir kehilangan kuasa manusia yang datangnya
dari pengikut bawahan, dan bukannya pemimpin atasan.
Usaha dalam memperkasakan Pakatan Harapan harus terus dilakukan demi
pengukuhan diperingkat akar umbi justeru menjenamakan Pakatan Harapan
sebagai sebuah koilasi yang mampu membawa perubahan kepada struktur
pembangunan ekonomi negara.
Namun hingga kini penjenamaan Pakatan Harapan sebagai kumpulan
pemimpin yang berupaya membawa perubahan masih gagal ditampilkan dan
kegagalan ini masih lagi berpunca dek jentera dalaman yang memomokkan
isu peralihan kuasa yang disebutkan. Tindakan inilah yang bakal
menyebabkan Pakatan Harapan hilang populariti dan keyakinan rakyat.
Dan kiranya kita masih gagal memperkukuhkan institusi dalaman Pakatan
Harapan sudah tentunya dua pertiga majoriti yang diinginkan akan jauh
dari genggaman pada pilihanraya akan datang.
Jangan juga mudah termakan dengan provokasi pembangkang atau dari
mereka yang tidak relevan diluar sana. Kenyataan mereka tidakkan membawa
kesan sama sekali kiranya kita terus berpegang kepada sokongan terhadap
kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini dan Datuk Seri Anwar
Ibrahim pada masa akan datang.
“It is easier to find men who will volunteer to die, than to find
those who are willing to endure pain with patience” – Julius Ceaser.
Politik ini bukan sehari dua, bukan sepemimpin dua, bukan kekal abadi
buat selamanya, ianya luas pandangan, luas ilmu dan luas pemikiran.
Sempit pemikiran, maka sempitlah kejayaaan yang ingin dicapai dimasa
masa akan datang.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan