Oleh Ahmad Lutfi Othman
Saya
tertanya-tanya juga mengapa resolusi konvensyen Pakatan Harapan, lima
bulan sebelum PRU14, perlu menggandingkan keputusan mencalonkan Dr
Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh dengan Anwar Ibrahim
penggantinya.
Muafakat Pakatan Harapan pada 6 Januari 2018 itu turut menamakan Dr
Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri, pertama
kali wanita dipilih.
Berbeda dengan PRU13, gabungan pembangkang – Pakatan Rakyat – gagal
mendapat persetujuan untuk menamakan Anwar sebagai calon PM. Ada usaha
membawa Tengku Razaleigh, veteran Umno, sebagai alternatif, tetapi
ditolak. Di bawah Mahathir, satu lagi kejayaan grand coalition
adalah penggunaan logo bersama iaitu lambang PKR mewakili semua calon
PH. Sebelumnya, masing-masing bertanding atas simbol parti sendiri.
Saya mengandaikan, ketetapan Anwar sebagai perdana menteri kelapan
dibuat mungkin untuk meredakan hati penyokongnya agar dapat menerima
pencalonan Mahathir. Anwar adalah ikon perjuangan pembangkang hampir 20
tahun, 1998-2018, manakala Mahathir adalah seteru ketat dan dilabel
pelbagai panggilan jelik, sehinggalah beliau melancarkan perang terbuka
dengan Najib Razak ekoran skandal mega 1MDB.
Saya kutip semula kandungan Muafakat Pakatan Harapan itu, poin nombor
dua, bagi meneliti ketetapan yang dipersetujui bersama: “Untuk
memperkukuh kepimpinan kerajaan PH dan memperteguh muafakat antara
parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan
Diraja bagi membebaskan Anwar akan dimulakan segera, selepas PH
mengambil alih pentadbiran negara, agar Anwar dapat segera berperanan
dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon
Perdana Menteri ke-8.”
Dengan meletakkan Mahathir sebagai perdana menteri interim, mungkin
ia boleh menyejukkan hati dan mententeramkan rasa terkilan penyokong
Anwar. Ada petanda jelas waktu itu aktivis reformasi, dan penyokong
tegar pembangkang sejak sekian lama, masih menaruh syak wasangka dan
prejudis tebal kepada Mahathir. Rekod buruk semasa menjadi PM ke-4,
menghantui benak mereka. Malah selepas resolusi konvensyen di Shah Alam
itu diumumkan pun, masih kedengaran suara protes terhadap pencalonan
Mahathir.
Meskipun Mahathir sanggup ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5
September 2916, untuk bertemu dan bersalaman buat pertama kali dengan
Anwar, sejak 2 September 1998, namun reaksi di peringkat akar umbi tidak
semudah diharapkan; “mungkin boleh maafkan, tidak untuk melupakan”.
Justeru, saya mengandaikan pencalonan Mahathir dan seterusnya Anwar itu,
merupakan kompromi untuk membentuk persepakatan harmonis bagi
menumbangkan BN-Najib. Ia juga mengelak pihak yang terkilan membazirkan
undi mereka.
Sementara itu, usaha mendapatkan pengampunan diraja untuk Anwar
dilakukan segera, iaitu tidak sampai seminggu, sejurus kerajaan baharu
ditubuhkan. Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada 15 Mei, jam 11 pagi.
Esoknya, Anwar secara rasmi diisytihar mendapat pengampunan penuh. Saya
sendiri tidak menjangka proses itu berjalan begitu cepat.
Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015 dan
sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun 2018. Memperolehi pengampunan penuh
tanpa sebarang syarat, bermakna beliau tidak terikat dengan apa jua
sekatan aktif berpolitik dalam tempoh panjang selepas bebas daripada
penjara. Tanpa pengampunan diraja, yakni Anwar dibebaskan selepas tamat
tempoh, dan terikat dengan status “bekas banduan”, beliau perlu berehat
agak panjang daripada aktif berpolitik
Satu permulaan yang baik apabila proses mendapatkan pengampunan Anwar
itu berjalan tanpa lengah. Tanda persetujuan awal dihormati sepenuhnya.
Cuma saya tidak pasti bagaimana polemik peralihan kuasa ini tercetus
lebih awal daripada sepatutnya. Mungkin ia bermula dengan desakan atau
usul bahagian Bersatu Setiawangsa (diketuai Setiausaha Politik Mahathir
sendiri, Zahid Mad Arip) pada hujung Oktober 2018, lima bulan selepas
PRU14, agar Mahathir menerajui negara sehingga habis penggal Parlimen
ini.
Mahathir menolak usul itu sambil menegaskan beliau akan berpegang
kepada janjinya. Dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung
Bersatu, Disember 2018, beliau komited untuk menyerahkan jawatan PM
kepada Anwar, seperti dijanjikan. Bagaimanapun, lazimnya, kenyataan
Mahathir sering ditafsirkan dengan pelbagai makna berbeda. Ataupun ada
yang berprasangka, beliau mungkin mengubah keputusan jika situasi sudah
berubah dan keperluan mendesak berbuat demikian.
Reaksi beberapa pemimpin yang juga angota Parlimen PKR mengundang
perdebatan. Secara langsung dan terbuka Mahathir diserang; cerita lama
diungkit kembali. Ada yang mendesak pelan peralihan itu harus diatur
dengan sistematik. Timbul isu tempoh yang telah dimuktamadkan. Di sini
timbul percanggahan; apakah benar selepas dua tahun atau masa belum
ditetapkan?
Kempen pemilihan PKR tambah mengeruhkan suasana. Benar, tiada
pertandingan jawatan presiden yang dimenangi Anwar, tetapi persaingan
kerusi no. 2 dilihat membahagikan atau memecahkan parti. Anwar dianggap
memihak atau cenderung kepada kem Rafizi Ramli. Sementara itu,
penyandang Azmin Ali dikatakan bercita-cita tinggi menggantikan
Mahathir. Masa sama, orang-orang kepercayaan Mahathir didakwa berusaha
bagi menghalang laluan Anwar. Keadaan ini tidaklah mengejutkan. Mungkin
Mahathir-Anwar sudah membuka babak baru, tetapi tidak kepada penyokong
masing-masing.
Waduh, mungkinkah situasi 1998, tragedi gelap-gelita berulang
kembali? Apakah dua personaliti ini bakal bertempur lagi? Menang jadi
arang, kalah jadi abu! Seorang berusia 94 tahun, lawannya 72. Masa
adalah faktor kritikal. Anwar dilihat bernasib baik kerana tidak
mempunyai saingan yang jelas. Azmin belum cukup “masak” serta kurang
disegani rakan-rakan sekutu PH, dan diganggu penyebaran video seks.
Manakala Muhyiddin Yassin agak uzur dan bekas TPM itu juga sering
mengulangi resolusi peralihan kuasa mesti ditepati. Muhyiddin, Presiden
Bersatu pernah menjadi sekutu Anwar pada awal 1990-an dulu.
Saya kira perdebatan tentang had pentadbiran Mahathir tidak wajar
menggugat keharmonian PH. Ia juga dikira tidak produktif. Sama ada dua
ataupun mungkin tiga tahun, ia masih dalam julat masa yang munasabah.
Saya agak tidak selesa apabila hal ini diungkit terlalu awal, yakni
belum pun cukup setahun Mahathir menjadi PM. “Umum tahu sensitiviti
Mahathir, dia tak suka ditekan, dan mengapa mahu jolok sarang tebuan?”
soal seorang pemerhati politik, yang menganggap bidasan Dr Syed Husin
Ali tentang kejujuran Mahathir, sebagai liabiliti buat Anwar.
Bekas pengasas PKR, yang pernah mengetuai Parti Rakyat Malaysia itu
juga mempersoalkan gaya kepimpinan Mahathir yang didakwa kembali
bersifat autoritarian san diktatorial. Namun kritikan utamanya
dilihat tertumpu kepada teka-teki tarikh pengunduran Mahathir. Beliau
turut menyinggung sikap pemimpin utama PH yang “dibonsaikan”, yakni
tidak berani menegur perdana menteri selepas dilantik menteri kanan.
Syed Husin dianggap pemimpin veteran yang rapat dengan Anwar.
Kedua-duanya pernah ditahan ISA ekoran demonstrasi petani di Baljng,
1974; masing-masing selama enam dan dua tahun. Secara personal saya amat
menghormati daya tahan bekas profesor Universiti Malaya ini. Beliau
juga merupakan penulis yang prolifik. Catatan pengalamannya di kem
tahanan Kamunting, buku Dua Wajah, saya baca berulang kali.
Mengulas polemik ini, Anwar dalam satu program di Bangsar memberitahu
jaminan Mahathir, yang menyebut kepadanya: “Anwar, saya telah janji dan
saya akan kotakannya. Tapi jangan macam ini – paksa saya, buat saya
umumkan tarikh sebenar kerana saya akan jadi (seperti) perdana menteri
yang tidak berfungsi (lame duck).”
Secara peribadi, saya juga agak rimas dengan tempoh peralihan yang
dikatakan dua tahun itu. Saya fikir, ia perlu lebih panjang, tetapi
tidaklah sampai tamat penggal. Tiga tahun agak memadai untuk misi kali
kedua Mahathir. Anwar juga harus bersedia secukupnya untuk berdepan
PRU15. Lagipun usia Anwar sudah dikira lanjut untuk memulakan tugas
penting sebagai PM. Mahathir menyerahkan kuasa kepada Abdullah Ahmad
Badawi pada 31 Oktober 2013, lebih kurang lima bulan sebelum PRU2004.
Dalam pilihan raya itu, BN merekodkan kejayaan paling gemilang,
merangkul lebih 90 peratus kerusi Parlimen. Dalam pada itu, PH melalui
manifesto PRU14 turut berjanji untuk menghadkan tempoh dua penggal
sahaja buat perdana menteri.
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali yakin peralihan jawatan tertinggi
itu akan berjalan lancar: “Saya masih yakin Tun akan menyerahkan kuasa
selewatnya tiga tahun dari ia dilantik PM ke-7, lebih kurang bersamaan
18 bulan dari tarikh penangguhan pemilihan Bersatu.
“Jika tarikh peralihan tidak berlaku selepas tiga tahun, PH bakal
berdepan krisis, lebih banyak perang mulut atau mungkin perubahan kolisi
daripada yang ada sekarang dlm PH.”
Ditanya kritikan keras Syed Husin yang mendakwa Mahathir bersikap diktatorial, Dr Mazlan tidak bersetuju dengan pandangan itu
.
“Kadang-kadang memimpin negara sebagai PM memerlukan Tun Mahathir
menggunakan kuasa prerogatifnya untuk tujuan kelancaran sesebuah
kerajaan. Era pemerintahan PH ini menyaksikan kerajaan diserang segenap
penjuru oleh pembangkang, Umno dan Pas, ia memerlukan Tun membuat
keputusan segera untuk mengatasi kesan serangan pembangkang ini. Saya
percaya kerajaan yang dipimpin Tun Mahathir masih di landasan yang
ditentukan PH,” katanya.
Saya sendiri melihat, antara Syed Husin dan Mahathir, sebenarnya
tiada percanggahan khususnya soal tarikh peralihan kuasa itu.
Kedua-duanya agak bersepakat, iaitu tidak melebihi tiga tahun, atau
lebih tepat 36 bulan. Syed mahu Anwar berkuasa selewat-lewatnya dua
tahun sebelum PRU15. Bukankah sama maksud kedua-duanya?
Kita mendoakan kesihatan yang baik buat mereka. Penyokong
masing-masing mesti mengutamakan keutuhan PH daripada kepentingan
kelompok atau parti, khususnya di kala survival kerajaan menjadi tanda
tanya.
PH disokong majoriti pengundi disebabkan imej muafakat :grand
coalition” dan tekad membawa pembaharuan, serta iltizam untuk
membanteras korupsi. Mahathir dan juga Anwar menyumbang untuk kemenangan
tidak diduga itu. Usah dipersiakan harapan menggunung mereka dengan
gambaran “perebutan kuasa” dan “keghairahan mengisi tembolok”.
Manafaatkan sebaiknya saluran atau gelanggang sesuai untuk menyelesaikan
masalah berbangkit. Sekali kepercayaan terburai, ia sukar dipulihkan
dalam masa singkat. Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada
janjinya!
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan