Waspada dengan pelan pemusnah pembangkang?

Oleh Mohd Sayuti Omar

PIHAK pembangkang tidak pernah beradu dan berhenti daripada berfikir, merancang macam mana hendak ganggu dan runtuhkan kerajaan PH yang berkuasa hari ini. Berbagai-bagai idea dan strategi termasuk psywar dilakukan bagi menggoyahkan perpaduan PH. 
Sebelum ini mereka bergerak di luar parlimen dengan mempengaruhi rakyat. Pembangkang cuba menimbulkan keraguan kepada rakyat mengenai wibawa dan kemampuan kerajaan PH. Dibawa cerita para menteri tidak mampu mentadbir dan setiap apa menteri lakukan para menteri diperolok-olokan. Mereka juga menjual dan menjaja serta mendakyah yang kerajaan PH dikuasai DAP. 

Untuk menimbulkan kebencian kepada DAP, dengan harapan orang Melayu bersama mereka, dijaja yang DAP berfahaman Komunis dan pengganas. Orang Melayu diracuni pada semua peringkat. Penangkapan wakil rakyat DAP yang didakwa terlibat dengan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelan (LTTE), diguna sepenuhnya. Isu komik disebarkan di Pulau Pinang juga dijaja dan didakyah sebagai bukti DAP Komunis. 
Terbaharu pembangkang kini sedang merancang pelan pemusnah yang dikira lebih serius dan realistik lagi.  Kalau sebelum ini dilakukan di luar dengan memainkan sentimen rakyat, tetapi kini dilakukan secara "berperlembagaan" pula. Untuk itu, khabarnya pembangkang kini sedang merancang untuk mengemukakan usul percaya kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri di Dewan Rakyat.
Agak pelik juga usul demikian, kerana jika ditilik secara rasional ia tidak menganggu kerajaan PH pun kerana ia bukan untuk undi tidak percaya, tetapi undi percayai. Apa yang munasabah ialah undi tidak percaya bukan undi percaya. Perkara ini pelik dan songsang. Selalunya pembangkang akan membentangkan usulk undi tidak percaya, tetapi ini sebaliknya kali ini. Apakah ini menggambarkan kemabukan melampau pembangkang?
Sumber dipercayai.
Daripada sumber yang layak dipercayai, untuk melaksanakan pelan ini, kedua-dua pihak dalam pembangkang utama -- Umno dan Pam sudah pun bertemu dan berbincang dengan lebih lanjut.  Pertemuan sebahagian MP kedua-dua pihak dikatakan sudah berlaku. Dan ketua kepada sebuah parti pembangkang telah memberi restu dan mendoa agar ia dilaksanakan segera. 
Dalam satu program usrah ketua parti itu menjelaskan akan keperluan bergabung dengan Umno yang mereka kafirkan sebelum ini. Walaupun penggabungan dan kerjasama itu sesuatu yang agak pahit apabila mengenang sejarah lampau, tetapi ia sesuatu yang perlu diambil kesempatan yang ada pada masa ini. Ketua itu meminta agar usul undi percaya kepada Dr Mahathir itu dibentangkan dalam sesi parlimen yang sedang berjalan ini juga. 
Mungkin untuk pencerahan dan menilai sejauh mana pelan ini sedang digerakan, boleh diperhatikan kepada kenyataan akhbar Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan beberapa rentetan perkembangan selepas dan sebelum itu. Kenyataan politik dari kedua-dua pihak boleh dijadikan asas untuk menilai maklumat terbaharu ini. 
Annuar pada 26 Oktober lalu dalam kenyataannya meminta semua pihak jangan cepat membuat sangkaan terhadap apa yang akan berlaku khasnya mengenai kedudukan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. Semua pihak, dalam pembangkang diminta tunggu biarlah keputusan dibuat secara kolektif antara pemimpin pembangkang.  
Dalam kenyataan itu Annuar menyebut, pembangkang (Umno dan Pam) akan membuat kenyataan menyatakan sikap bersama apabila sampai masanya. Menurutnya apa yang berlaku kini masih "premature", dan soal peralihan PM ke 7 kepada ke PM 8 adalah urusan dalam PH dan boleh ditentukan 138 ahli Parlimen mereka. 
Beliau lanjutkan lagi, katanya, "hanya sekiranya PH gagal mencapai konsensus sesama mereka, barulah ujud keperluan blok pembangkang membuat pendirian. Bagi tujuan tersebut MKT akan berunding terlalu dahulu, parti komponen BN akan dirujuk dan Pas (Pam) sebagai rakan Muafakat Nasional akan kita sepakti sebelum sebarang pendirian dibuat."
Jika tidak ada sesuatu, untuk apa Annuar bercakap mengenai hal itu, sedetail itu? Dan jika usul itu juga ikhlas dan jujur tidaklah dalam masa sama pembangkang memainkan sentimen dan juga meracuni rakyat dan menyocok pihak-pihak tertentu dalam PH agar bertentangan di antara satu sama lain khususnya berhubung pelan peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar. 
Kenyataan dan peringatan Annuar itu mengiya maklumat mengenai pelan musnah itu. Cuma Annuar dilihat lebih berhemah, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa bagi menjamin strategi itu berjaya.
Sebelum Annuar memberi nasihat itu, enam orang MP Umno menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir jadi PM sampai habis penggal. Mereka adalah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Muhammad (Lipis), Ismail Abdul Mutalib (Maran) dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Sebelum ini pun pihak Pam menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir. Sokongan-sokongan dan kenyataan itu pelik kerana mereka sebelum ini menentang dan mengkritik Dr Mahathir, tiba-tiba sokong. Pam misalnya menentang Dr Mahathir dan sudah pun menolakan pelawaan Dr Mahathir untuk bersama PH bagi menentang Najib semasa Piraum lalu. Alih-alih hari ini Pam pula beria  mempertahankan orang yang dilawannya. 
Ia tentu ada apa-apa. Untuk memahami tindakan Pam itu untuk kemukakan usul percaya itu mudah sahaja. Mereka secara sekonyong-konyong sokongan Dr Mahathir dengan satu nawaitu sahaja, mahu konsensus dipersetujui PH itu tidak dilaksanakan. Mereka tidak mahu Anwar mengambil alih terajui PH. Ada pelbagai alasan dan motif kenapa mereka tidak mahu dan benci Anwar. 
Pakar-pakar politik mereka menyedari kalau Anwar memimpin PH, PH akan lebih stabil dan rakyat lebih yakin kepada kerajaan PH. Para pelabur luar juga akan berminat untuk melabur di negara bawah pimpinan PM baharu, Anwar. Manakala yang benci pula kerana soal personal dengan Anwar yang dibawa masuk dalam politik dan pengurusan negara. Walaupun soal personal itu mereka perlu lupa dan tinggalkan tetapi tidak dengan Anwar. 
Jadi untuk elak PH terus kuat dan menguasai dalam Piraum akan datang, maka Anwar kena dihalang.
Apakah keperluan dan strategi usul itu?

Satu segi PH suka kalau usul itu dibentangkan dan menunjukkan PM (Dr Mahathir) dan kerajaan mendapat sokongan daripada pembangkang. Dengan itu kerajaan jadi aman dan tenteram. Politiking juga boleh dikendurkan. Sebenarnya jika akal kita sihat ia tidak begitu natijahnya dan ia satu kepelikan pula. Masakan pembangkang membentang usul percaya kepada PM yang dilawannya? Makanya tentu ada sesuatu dan benda yang songsang berlaku. Inilah yang perlu dihidu akan kebusukan usul berkenaan.
Usul sokongan kepada PM itu dibentangkan adalah untuk memecah-belahkan kepaduan PH. Itu sahaja. Ia satu perangkap tersembunyi dan perlu disedari. Apabila usul itu dibentangkan, maka tahulah kedudukan (sikap) di kalangan ahli Parlimen PH itu siapa yang menyokong dan tidak menyokong Dr Mahathir sebagai PM. Pembangkang agak bijak dalam hal ini kerana mengambil kesempatan membentang usul ini ekoran dilema dan pergolakan dalam PH kini. 
Umum tahu, dalam PH kini, sokongan kepada Dr Mahathir sebagai PM berbelah bahagi apa lagi ada elemen mengatakan Dr Mahathir tidak sedia patuh kepada konsensus yang dicapai PH itu.  Jadi mereka ini tidak senang dengan Dr Mahathir dan sering juga mengeluarkan kenyataan-kenyataan kurang cerdik yang boleh menghiris hati Dr Mahathir dan orang-orang kanannya. 
Situasi inilah pembangkang berharap apabila dibentangkan nanti, tentu MP yang tidak setuju itu akan tidak menyokong. Dengan itu pembangkang dapat mengetahui berapakah jumlah (nombor) sebenarnya yang sokong Dr Mahathir dan yang menyokong Anwar daripada 138 anggota parlimen PH itu. Apakah ada menteri kabinet yang sedia sokong atau sebaliknya. Sebenarnya usul itu dibuat untuk mencapai maksud itu meletakkan ahli parlimen PH dalam serba salah dan dilema. 
Sebaliknya pula, usul ini membawa maksud strategi dua mata. Sekiranya usul itu mendapat sokongan sehingga Dr Mahathir mendapat majoriti, beliau boleh akur dengan usul itu untuk terus kekal menjadi PM seperti mana yang mereka kehendak. Sokongan itu akan dijadikan alasan untuk beliau terus jadi PM sampai tamat penggal parlimen ke - 14. Apa yang dimahui daripada realiti itu nanti mengharap Dr Mahathir akan membentuk kerajaan baru dengan penyertaan pembangkang.
Inilah yang dimaksudkan kerajaan pintu belakang oleh mereka yang menyedari akan permainan dan game ini. Usul berkenaan bersifat menghancur dan menguji PH. Serampang dua mata ini dipasang demikian rupa oleh pembangkang, hanya semata-mata mahu memusnahkan kerajaan PH. 
Beri perhatian.

Justeru, kemungkinan usul ini dibentangkan perlu diberi perhatian serius dan perlu dihindarkan. Pertamanya Yang di Pertua Dewan Rakyat perlu memainkan peranan untuk menilai apakah usul itu wajar atau tidak. Apakah ia perkara mustahak yang perlu dipercepatkan. Dalam hal ini ia tidak perlu terlalu demokratik.  
Kita kena faham, walaupun Yang DiPertua Dewan mempunyai kuasa mutlak untuk menerima dan menolak sebarang usul dikemukakan, namun ia masih terikat kepada Perdana Menteri. Kalau PM mengarahkan agar ianya dibentang, Speaker tidak boleh bantah, kecualilah sedia meletakkan jawatan sebagai protes. Sejauh manakah dalam hal ini Speaker sanggup mengekalkan prinsipnya dan meninggalkan kerusi empuk itu? 
Satu perkara lain yang boleh menggagalkan pelan pembangkang ini daripada jadi kenyataan, ialah sekiranya benar usul itu dibawa, semua ahli Parlimen PH (137) termasuk mereka yang tidak senang dengan Dr Mahathir bangun menyokongnya.

Dengan cara itu sahaja ia menunjukkan Dr Mahathir mendapat sokongan solid untuk kekal sebagai PM sampai habis penggal seperti mana dirancangkan itu. Dan sokongan padu itu juga menyebabkan tidak ada keperluan untuk Dr Mahathir membentuk kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah?
Cara itu lebih baik daripada menunjukkan tentangan. Apabila semua menyokong, kerajaan baharu tidak boleh ditubuhkan. Kabinet baharu yang terdiri daripada pembangkang itu juga tidak diperlukan kerana Dr Mahathir tidak boleh rombak kabinet kerana kabinet masih kekal dan setia bersamanya.

Dengan cara itu sahaja nawaitu pembangkang menerusi pelan pemusnah itu akan gagal.

Sementara itu mereka yang ragu-ragu kepada keikhlasan Dr Mahathir untuk memenuhi konsensus PH dan juga janjinya sebelum ini TETAP akan menyerahkan jawatan kepada Anwar tidak perlu ragu dan bimbang lagi. Kenyataan terbaharu Dr Mahathir semasa di Turkmenistan beberapa hari lalu
cukup jelas dan nyata yang beliau serius dengan janjinya dan tidak mudah terpengaruh dengan permainan pembangkang.

Kata Dr Mahathir, penentuan sama ada beliau akan jadi PM (kekal sehingga habis penggal), hanya boleh dilakukan oleh Majlis Presiden PH sahaja. Pembangkang tidak mempunyai kuasa dan hak untuk berbuat demikian. Malahan Dr Mahathir menempelak sikap pembangkang -- Umno dan Pam, katanya kalau mereka mahukan beliau jadi PM kenapa tidak menunjukkan sokongan semasa pilihan raya lalu.

Kenyataan dan penegasan Dr Mahathir itu menjadi kunci kepada apa juga usaha jahat pembangkang dan individu desperado tertentu yang cuba menghalang Dr Mahathir daripada menyerahkan jawatan PM kepada Anwar Ibrahim. Mereka yang merancang pelan berkenaan adalah pengkhianat kepada demokrasi dan negara.

Bagaimana pun ditegaskan sekali lagi pelan pemusnah pembangkang itu yang hendak bentangkan usul undi mempercayai kepada Dr Mahathir tetap bahkan wajib dihalang
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan