Oleh Azman Hussin
Sistem demokrasi telah melahirkan parti-parti politik yang haluannya
ke arah mencapai kekuasaan dalam menegakkan sesuatu. Matlamatnya adalah
kuasa. Dan, kata ulama-ulama yang menyertai parti politik, matlamat
kuasa itu adalah untuk menegakkan agama. Maka, seolah-olah agama itu
hanya tegak dengan kekuasaan, seolah-olah agama itu lemah tanpa kuasa.
Saya
terfikir alangkah sucinya jiwa rakyat Malaysia tatkala media massa,
misalnya, menyiarkan gambar-gambar perlakuan lucah yang kononnya
melibatkan seorang tokoh politik, mereka sepakat mencemuh dan menyindir
di laman-laman sosial.
Benar, sama seperti pelakunya, menyiarkan perlakuan itu juga adalah tidak bermoral.
Kemudian
saya terfikir lagi, bagaimana dengan gambar-gambar perempuan seksi
dalam media tersebut, yang tertonjol buah dadanya, yang membeliakkan
mata-mata lelaki? Bagaimana dengan siaran sistem televisyen berbayar
yang juga menyiarkan kemungkaran-kemungkaran? Bagaimana dengan internet
yang mudah dicapai bahan lucahnya? Adakah ini halal? Kenapa ini tidak
dibantah? Ya, ini akan berisiko mengurangkan undi. Inilah politik
mereka.
Maaf, saya bukan ingin mengelak dari bercakap tentang
kesalahan saya dengan menyatakan orang lain juga melakukan kesalahan
yang sama. Tidak. Yang salah, tetaplah salah. Najis adalah najis walau
disembur perfume paling mahal dari Paris sekalipun.
Maka, kerana
ia adalah isu politik, bergemuruhlah suara ulama-ulama politik
menentangnya. Dan dalam keadaan lain, kemungkaran-kemungkaran yang lain
didiamkan.
Politik, saya fikir kita lebih mentaati rukun-rukun
politik daripada mentaati suruhan-suruhan agama. Jika sesuatu itu
memberi laba politik, itulah haluan kita. Kerana, bagi kita, kekuasaan
adalah segala-galanya.
Kita sudah hilang pangkal dan hujungnya.
Bahkan
politik, tanpa kita sedari, telah menjadi seperti suatu agama baru.
Lihatlah bagaimana orang yang seagama boleh bergaduh kerana politik, dan
orang yang berbeza agama dan saling memusuhi boleh berpakat kerana
politik. Politik mengatasi segala perbezaan yang lain. Mereka berkumpul
di bawah bendera assabiyyah parti. Mereka saling tolong-menolong dalam
perkara baik dan jahat asalkan di bawah bendera yang sama.
Lihatlah
bagaimana isu-isu yang melibatkan moral didiamkan hanya kerana ia boleh
mengurangkan undi. Bagaimana kita melihat ulama-ulama politik mendekati
golongan tak bermoral untuk meraih undi, bukannya menasihati atau
meluruskan mereka. Bagaimana ulama-ulama politik yang dahulunya tegas
menjadi liberal hanya kerana undi golongan sekular. Bagaimana
ulama-ulama politik boleh bersekongkol dengan musuh-musuh nyata Islam
hanya kerana undi, bukannya untuk menyampaikan agama. Dan mereka
mengelabui pemikiran masyarakat awam yang jahil dengan hujah-hujah yang
bathil untuk menghalalkan tindakan mereka.
Tugas mereka
berdakwah, tetapi mereka tidak sedar mereka telah didakwah secara halus
oleh musuh-musuh Islam yang berniat menghancurkan umat Islam.
Adalah
tidak masuk akal kita boleh berpakat dengan golongan kuffar yang jelas
menentang Islam untuk menentang sesama Islam yang mungkin hanya fasik
dan zalim dalam urusan keduniaan.
Walau apa tujuannya, mereka
lebih mempercayai kekuasaan untuk menegakkan agama, walhal agama itu
sudah bersifat kekuasaan. Jika nilai-nilai agama diamalkan dalam diri
setiap manusia, akan tegaklah hukum-hukum Allah dengan izin-Nya. Agama
itu sudah syumul, kata mereka, tetapi mereka memilih demokrasi untuk
menegakkan agama. Sebaliknya demokrasi ini telah memecah-belahkan umat,
dan menjadikan kita semua telah diambil kesempatan oleh golongan kuffar.
Mereka
menyatakan dalil mengambil demokrasi sebagai tuntutan zaman. Kita harus
mengikut agama, bukannya agama harus mengikut kesesuaian zaman, kerana
agama itu sesuai untuk semua zaman.
Jika demokrasi itu dibenarkan
dalam agama, maka kita semua akan jadi pemuas kehendak-kehendak
masyarakat. Jika rakyat mahukan hiburan, maka kita akan menghidangkannya
untuk meraih undi. Kita tidak akan dapat mengubah masyarakat,
sebaliknya akan diubah oleh masyarakat sedikit demi sedikit.
Sistem
demokrasi sebenarnya adalah hukum alam. Yang majoriti akan menang. Jika
kita benar-benar memahami hakikat demokrasi, kita tidak perlu memasuki
demokrasi untuk menegakkan agama.
Tetapi, kita akan menguatkan pegangan
agama dalam masyarakat, kerana apabila pegangan agama kita kuat, kita
akan menang. Sekarang umat Islam sudah ramai, tetapi seperti buih.
Kenapa? Kerana pegangan dan keimanan kita lemah, kita hanya menjadi buah
catur kuffar. Di situlah kita sepatutnya berusaha.
Ulama-ulama
politik lebih nampak untuk menolong orang yang dizalimi tetapi tidak
menolong orang yang menzalimi. Menolong seorang perompak bukanlah
sekadar bermaksud menahan mereka dari melakukan rompakan. Kerana jika
itu yang dimaksudkan, mereka akan terus merompak jika kita tidak melihat
mereka. Untuk menahan mereka dari melakukan kezaliman adalah menyeru
mereka ke arah kebaikan. Itulah dakwah, itulah politik Islam.
Saya
umpamakan sifat agama itu seperti cahaya, dan kegelapan itu sebagai
kemungkaran. Untuk menghapuskan kegelapan, hidupkanlah api, nescaya
cahaya akan muncul automatik dan menghalau kegelapan. Kita tidak boleh
menghalau kegelapan tanpa menghidupkan api, iaitu sumber cahaya.
Politik
dalam Islam bagi saya adalah dakwah atau tabligh, sebagaimana dakwah
yang dilakukan gerakan-gerakan Kristian ataupun Yahudi ke atas umat
manusia. Tanpa memerintah sesebuah negara pun, mereka telah berjaya
mengubah budaya hidup kita menjadi seperti yang mereka mahukan sehingga
akhirnya mereka akan menguasai dunia ini seluruhnya. Dan berdakwah
itulah sebenarnya kerja Nabi Muhammad SAW.
Kita yakini Islam itu
syumul, dan politik itu ada di dalam Islam. Itu benar. Yang bathilnya
kita memaksudkan politik Islam itu antaranya adalah sistem demokrasi
yang dianjurkan oleh Barat untuk memecah-belahkan kita, bukannya
memperbaiki kita.
Mereka menentang sistem sekular, mereka
menyatakan politik tidak boleh dipisahkan daripada agama, sebaliknya
merekalah yang memisahkan agama dari kehidupan yang syumul, termasuk
politik yang sudah ada dalam agama, iaitu dakwah.
Mungkinkah
demokrasi ini adalah salah satu sistem Dajjal yang menipu ramai orang,
termasuk memperdaya ulama-ulama kerana fitnah-fitnah Dajjal itu sangat
dahsyat dan mengelirukan? Iaitu satu neraka yang diperlihatkan Dajjal
sebagai syurga. Kita meyakini perjuangan kita ini benar, walhal kita
tertipu oleh Dajjal.
(Artikel ini adalah petikan dari buku Keldai Dan Kitab)
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan