KAJIAN Emir Research menunjukkan sokongan kepada kerajaan PH secara
keseluruhan masih melebihi dari pembangkang. Namun, sokongan dari
Melayu-Islam belum benar-benar mantap bahkan gagal meyakinkan majoriti
Melayu-Islam di Malaysia. Hasil dapatan firma kajian ini, 53 peratus
orang Melayu-Bumiputera yang selalu dikaitkan dengan Islam bakal
memberikan sokongan kepada Muafakat Nasional, Umno-PAS. Hanya 33 peratus
bakal menyokong PH manakala 14 peratus memilih calon bebas.
Sungguhpun ia adalah satu dapatan kajian yang melibatkan 1992
koresponden, bagi ahli akademik dapatan ini bukan satu perkara
main-main. Ia mengarah kepada sesuatu yang sangat serius.
Perubahan yang Mendesak
Polisi agama dan bangsa merujuk kepada Islam dan Melayu mesti terus
diperkasakan dan disemak semula. Hakikatnya, segala polisi atau mungkin
gerak kerja jentera kerajaan semasa dalam pengurusan agama telah secara
relatif gagal menarik sokongan dan kepercayaan Melayu-Islam kepada
kerajaan PH. Dalam hal ini ia dipertanggungjawabkan kepada pejabat Dr.
Mujahid Yusof Rawa.
Faktanya, jentera kerajaan (penjawat awam?) semasa masih belum mampu
merealisasikan cita-cita reformasi kerajaan ke tahap maksimum. Boleh
jadi dek kerana sama ada gagal menjiwai semangat reformasi, tidak
memahaminya, tidak mahu tambahan bebanan atau tuduhan paling berat
kepada mereka; sabotaj kerajaan.
Perubahan ketua pengurusan eksekutif amat penting dilakukan. Bukan
sekadar meletakkan di jawatan ‘bukan eksekutif’ kerana pelaksana mutlak
gerak kerja adalah pemegang kuasa eksekutif.
Masa tidak berjalan mengikut kehendak kita. Kalau terasa selesa
dengan ‘kelembapan’ dan ‘slow & steady’, kita benar-benar hanya mahu
membunuh hayat kerajaan yang diusahakan begitu lama dan memerahkan
kepayahan banyak pihak. Selain penyandang jawatan, kejayaan PH merampas
Putrajaya adalah kerja jutaan manusia lain yang tidak langsung namanya
disebut, dihargai mahupun menerima tempat dalam kerajaan. Janganlah
keputusan polisi dan lantikan perjawatan yang di buat oleh ‘kita’
memangsakan aktivis pejuang yang bermati-matian selama ini.
Setelah melihat gerak kerja dan pelaksanaan polisi keagamaan di
peringkat persekutuan gagal mencapai tahap yang memuaskan dan terlalu
kerap diolok-olokkan dengan sangat memalukan (atas berbagai sebab),
maka, saya secara terbuka meminta ketua-ketua eksekutif agensi utama
pengurusan agama persekutuan dirombak semula dan ditukar dengan yang
punyai misi/visi dan tahu bekerja tangkas. Ia sebaiknya watak-watak baru
ini adalah muda. Namun yang terpenting ada bekerja secara berkesan
bukan sekadar umur.
Agensi-agensi ini melibatkan Ketua Pengarah Jakim, Ketua Pengarah
Ikim, CEO Yadim, CEO MAIWP dan seumpamanya. Setelah hampir dua tahun,
agensi-agensi gagal menyokong dan membumikan polisi-polisi baru kerajaan
sehingga rakyat di bawah bertambah marah dan benci kepada kerajaan PH.
Sekiranya lantikan itu yang melibatkan individu-individu di luar
Amanah adalah sukar dan bakal mengundang polemik dalaman, ada nama yang
baik seperti Ustaz Ramadhan Fitri yang berkelayakan dari segi akademik
dan pengurusan mesti dipertimbangkan pada mana-mana jawatan diatas.
Bahkan saya yakin ada nama-nama yang sama layak dan mampu menggantikan
‘dinasour’ birokrasi yang tidak praktikal, tidak efektif dan tidak
berjiwa reformis.
Ya, saya sedar, seperti jawatan KP Jakim adalah lantikan dalaman
bukan terbuka. Tetapi melalui semakan saya, jawatan itu pernah dijadikan
posisi jawatan terbuka sebelum ini dan ia boleh diusahakan untuk
keperluan perubahan dan reformasi pengurusan agama yang mendesak. Untuk
makluman, jawatan KP Jakim akan kosong pada akhir bulan Disember 2019
kerana penyandangnya bakal bersara wajib.
Setelah kita mahu bertindak ‘rahmah’ tanpa mahu merubah watak-watak
lama dalam rejim dahulu, hasilnya tetap kekal sama iaitu negatif.
Kerajaan kekal gagal bergerak dengan bantuan kepala-kepala agensi secara
proaktif walaupun menerima habuan gaji bulanan yang mencecah belasan
dan puluhan ribu!
Ini bukanlah ingatan dan kritikan kali pertama. Cuma; saya teringat dengan kata-kata ‘hikmah’:
The definition of insanity is doing the same thing over and over and expecting different results.
Terjemahannya; Definisi sebuah kegilaan adalah mengulangi suatu tindakan berulang kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.
Jangan teruskan kegilaan ini atas dasar kegilaan, kejahilan dan
ketidakcerdikan yang tidak terbatas. Tatkala anda terus bekerja secara
tempang dan membuat polisi yang menambah amarah rakyat, kami dibawah
terus dimaki hamun sedangkan kami bukan pembuat keputusan atau terlibat
dengan semua itu! –
*Abu Hafiz Salleh Hudin adalah Exco (Agama) Armada Nasional dan Timbalan Pengerusi 2, Biro Dasar & Strategi, PPBM
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan