Tulisan ini adalah rayuan terbuka kepada semua pemimpin dan perwakilan ke Kongres Nasional PKR ke-14 yang berlangsung dari 5 ke 8 Disember 2019.
PKR kini berada di satu persimpangan yang bahaya jika tidak ditangani dengan baik. Kongres Nasional ke-14 di Melaka Bersejarah pada 5hb hingga 8hb Disember 2019 boleh membawa dua kesan besar, sama ada kesan positif atau kesan negatif.
Kongres Nasional itu nanti akan menjadi satu pentas untuk menyatukan semua anggota bagi memperkuatkan PKR mara ke hadapan atau menjadi flatform bagi PKR pecah dan musnah.
Secara kebetulan kongres nasional tersebut berada di Melaka bersejarah, maka ada moleknya kita renung sejarah-sejarah parti-parti politik di Malaysia, jatuh bangun mereka.Kita ambil contoh Umno yang ditubuhkan pada tahun 1946 yang berjaya menggabungkan pertubuhan-pertubuhan Melayu telah pecah pada tahun 1948 apabila Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang berfaham kiri telah keluar dan berpisah dari Umno akibat tidak bersetuju dalam satu isu dasar dalam satu perhimpunan agung.
Iklan
Pada
tahun 1951 dalam satu perhimpunan agung, Umno pecah lagi lalu
menghasilkan satu parti serpihan yang dipanggil Parti Islam SeMalaya
(PAS) yang terus wujud hingga sekarang.Beberapa tahun kemudian, sebelum Tanah Melayu merdeka dan sebelum Pilihanraya Umum 1955, Umno pecah lagi apabila presiden Umno yang pertama Onn Jaafar (gambar, bawah) meletak jawatan presiden dan keluar dari Umno kerana usulnya untuk membuka pintu keanggotaan Umno kepada bukan Melayu ditolak di dalam satu perhimpunan agung.
Tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 1990 tertubuh parti serpihan daripada Umno, yang diberi nama Parti Semangat 46.
Sekali lagi Umno pecah pada tahun 1998 apabila wujud pertentangan antara presiden Umno, Dr Mahathir dengan timbalan presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim yang berkesudahan Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan serta dipecat keluar dari Umno.
Selepas itu, Anwar ditangkap,'dipukul hampir mati' dalam Lokap No 6 di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman dan ditahan di bawah ISA kemudian dituduh di Mahkamah dan seterusnya dipenjarakan selama 6 tahun di Penjara Sungai Buloh.
Usaha menjatuhkan Anwar Ibrahim bermula dalam satu Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1998 di mana buku fitnah yang bertajuk 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Layak Menjadi Perdana Menteri diedarkan secara rahsia ke dalam beg-beg semua perwakilan untuk memfitnah Anwar.
Jadi Kongres Nasional PKR ke-14 di Melaka pada hujung minggu Disember ini amatlah penting, sama ada PKR akan muncul secara muafakat bersatu dan kuat selepas kongres atau pecah berderai?
Justeru itu saya dengan suci hati merayu kepada semua pemimpin dan para perwakilan ke kongres nasional itu nanti, hadirlah ke kongres nasional tersebut dengan fikiran yang positif untuk selamatkan PKR dari kehancuran.
Berkongreslah dengan matlamat mewujudkan perpaduan supaya PKR akan jadi lebih kuat.
Politik tidak dapat lari dari pertentangan idea dan perbezaan kepentingan. Politik juga mengajar seni diplomasi dan tolak ansur. Jadi kedua-dua belah pihak, sama ada pihak Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan pihak Timbalan Presiden parti, Azmin Ali hendaklah bersedia untuk bertolak ansur, demi mengelakkan yang retak sekarang menjadi pecah bederai, tidak boleh dikutip lagi, tidak boleh disambung semula.
Dalam amalan organisasi siasah yang dipanggil sebuah parti politik, adalah wajar kita menerima satu prinsip asas iaitu kita perlu ada seorang pemimpin utama yang dipanggil presiden. Dalam hal PKR sekarang, Anwar Ibrahim adalah presiden. Walaupun Anwar seorang presiden parti tetapi beliau mesti bertanggungjawab kepada Biro Politik, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Kongres Nasional PKR.
PKR sebuah parti demokrasi yang membawa agenda reformasi di mana satu anggota satu undi dan pemilihan kepimpinan sehingga memilih Presiden dibuat secara terus oleh anggota biasa di akar umbi. Mereka semua telah mengangkat Anwar Ibrahim sebulat suara di mana Anwar menang tanpa bertanding.
Fakta ini perlu diakui dan diingati. Semenjak Anwar menjadi presiden, setiap bulan tanpa gagal Anwar telah memanggil mesyuarat MPP. Ini saya lihat satu contoh nyata bahawa presiden PKR berasa beliau mesti bertanggung jawab kepada MPP.
Dengan hormat saya menyatakan bahawa timbalan presiden PKR tetap di kedudukan kedua dalam hierarki kepimpinan parti. Azmin Ali menang dalam pertandingan jawatan timbalan presiden dengan mengalahkan Rafizi Ramli. Kedudukan seseorang timbalan presiden tetap di bawah presiden.
PKR selaku sebuah parti reformasi tidak mengizinkan amalan kultus peribadi atau pemujaan seseorang pemimpin.Tidak ada halangan kepada Azmin Ali timbalan presiden sekarang atau sesiapa sahaja untuk merebut jawatan presiden PKR dari Anwar Ibrahim dalam pemilihan pakan datang.
Justeru itu, pada ruang masa sekarang hinggalah ke tempoh pemilihan akan datang, semua anggota PKR perlulah mengiktiraf dan menerima kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai seorang presiden parti yang diberi mandat dan keabsahannya tidak wajar dicabar.
Kerajaan PH tumbang
Apa
akan jadi jika Kongres Nasional PKR ke-14 di Melaka itu berjalan secara
kecoh dan tunggang-langgang dengan wujud dua kongres berjalan serentak,
dan ada undi tidak percaya terhadap presiden?Kesannya boleh saya gambarkan seperti berikut:-
- Parti PKR akan pecah. Bukan sahaja dalam parti tetapi juga di dalam parlimen;
- Proses peralihan kuasa dari perdana menteri ketujuh sekarang Dr Mahathir kepada Anwar Ibrahim seperti yang telah dipersetujui akan gagal dilaksanakan yang akibatnya merugikan rakyat, negara dan parti PKR itu sendiri;
- Kerajaan Pakatan Harapan sekarang akan tumbang. PKR terpecah kepada dua. Agenda reformasi terbantut.
Janganlah marahkan seekor nyamuk maka kelambu dibakar. Presiden PKR sekarang Anwar Ibrahim bukanlah seekor nyamuk. Beliau adalah pengasas gerakan reformasi di negara kita ini.
Beliau telah mengorbankan dirinya demi perjuangan rakyat dengan keluar masuk penjara hampir 11 tahun kerana perjuangan reformasi yang dipelopori olehnya.
Maka saya merayu supaya apabila kita hadir di Kongres Nasional hujung minggu ini, kita datang dengan fikiran yang tenang dan rasional. Sebagai seorang jeneral perang, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, beliau memerlukan sokongan semua anggota parti.
Malah saya suka mengulang peribahasa atau bidalan yang sering disebut-sebut yang menyatakan bahawa dalam sesuatu bahtera mesti ada seorang nakhoda sahaja.
HASSAN KARIM ialah MP Pasir Gudang dan bekas pengerusi PKR Johor.
0 comments:
Catat Ulasan