Ada yang ingkar dengan arahan larangan merokok

MASIH ada yang ingkar dengan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan pada hari pertama penguatkuasaan penuh di seluruh negara, hari ini.

Menerusi operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Op PPKHT) yang dijalankan di beberapa negeri, masih ramai yang berdegil dengan memberi alasan tidak tahu mengenai larangan tersebut, walaupun penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan telah dijalankan.

Bagi mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Di Kuala Lumpur, empat notis kompaun dikeluarkan dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan di tiga lokasi bermula kira-kira 11.30 pagi tadi.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Pejabat Kesihatan Titiwangsa Nordayana Musa yang mengetuai operasi itu berkata, ada perokok yang merayu supaya hanya diberikan amaran dengan memberi alasan tidak tahu mengenai penguatkuasaan larangan merokok tersebut.

Di Pahang, 51 individu menjadi kumpulan pertama dikenakan kompaun kerana ingkar larangan tidak merokok dalam premis makanan di seluruh negeri itu, setakat 2 petang tadi.

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Sha’ari Ngadiman berkata empat premis makanan juga dikenakan kompaun masing-masing dua atas kesalahan membenarkan pelanggan merokok dan tidak menampal notis larangan merokok.

“Sehingga kini, sebanyak 656 premis perniagaan makanan telah diperiksa dan kita akan meneruskan operasi ini sehingga tengah malam dengan sasaran utama medan selera dan restoran 24 jam,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau memaklumkan pelaksanaan Op PPKHT yang bermula 9 pagi tadi, melibatkan 186 kakitangan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Pahang.

Di Negeri Sembilan, operasi yang dijalankan secara serentak oleh 95 pegawai penguat kuasa dari tujuh Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh negeri itu merekodkan 42 notis dikeluarkan menerusi pemeriksaan ke atas 379 premis makanan.

Ketika ditemui pemberita, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainuddin Mohd Ali berkata tujuh daripada notis itu dikeluarkan kepada pemilik premis berkaitan kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan merokok.

Lapan notis pula dikeluarkan berkaitan tanggungjawab pemilik dalam memastikan bahawa tiada individu merokok di dalam premis mereka.

Di  Perak, lima premis makanan di sekitar Jelapang, Ipoh diperiksa dalam operasi selama dua jam bermula 10 pagi membabitkan 16 kakitangan Pejabat Kesihatan daerah Kinta.

Sepanjang operasi berkenaan, tinjauan Bernama mendapati rata-rata pengusaha makanan terkejut dengan kehadiran kakitangan itu ke premis makanan mereka seolah-olah tidak peka dengan penguatkuasaan larangan merokok yang telah bermula hari ini.

Bagaimanapun, tiada kompaun dikeluarkan dengan pelanggan akur dengan mematuhi arahan selain pengusaha makanan turut meletakkan tanda larangan merokok di premis masing-masing.

Di Kelantan, tinjauan Bernama di premis-premis makanan terutamanya di kawasan kampung mendapati masih terdapat individu yang tidak mengendahkan penguatkuasaan larangan merokok tersebut.

Di Selangor, sebanyak 64 notis kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam operasi penguatkuasaan larangan merokok di premis menjual makanan dan restoran di seluruh negeri setakat 3 petang ini.

Pengarah JKNS Dr Khalid Ibrahim berkata dalam operasi berkenaan seramai 51 individu dikenakan notis kompaun di bawah Peraturan 11(1)(d) kerana merokok di premis menjual makanan manakala lima pemilik premis menjual makanan dikenakan notis kompaun di bawah Peraturan 12(1)(a) kerana tidak memasang tanda larangan merokok di premis masing-masing.

“Dua orang pemilik premis turut dikenakan notis kompaun di bawah Peraturan 12(1)(b) kerana membenarkan orang merokok di dalam premis dan enam individu turut dikenakan notis kerana merokok di bawah umur, jumlah keseluruhan nilai kompaun yang dikeluarkan pada hari ini berjumlah RM15,100,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Dr Khalid  berkata seramai 111 anggota JKNS terlibat dalam operasi berkenaan yang bermula pada 10 pagi tadi dan dijangka berakhir pada 12 tengah malam ini.

“Sehingga pukul 3 petang tadi sebanyak 260 premis makanan di seluruh Selangor telah diperiksa oleh anggota kami,” katanya. – Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan