Adun, 4 yang lain mengaku tidak bersalah tuduhan berkait LTTE

KUALA LUMPUR: Lima lelaki, termasuk seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) masing-masing mengaku tidak bersalah di 3 Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas beberapa pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Adun Gadek, G Saminathan, 36; pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 29; juruteknik, S Arivainthan, 28; penghantar surat, S Teeran, 39; dan guru, R Sundram, 53, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam Bahasa Tamil secara berasingan di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin, Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh dan Pesuruhjaya Kehakiman Aslam Zainuddin.

Saminathan, Teeran dan Sundram masing-masing menghadapi satu pertuduhan, manakala Kalaimughilan didakwa atas 2 pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas LTTE di Kuala Lumpur, Melaka, Rawang dan Telok Panglima Garang, Selangor antara 10 dan 12 Okt tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan memberi sokongan dengan cara menggunakan aplikasi Facebook, Arivainthan dan Teeran didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Pegawai Penyiasat, Bahagian E8 (Counter Terrorism), Cawangan Khas, Bukit Aman di sini, pada 9 dan 10 pagi pada 5 serta 8 Okt tahun lepas.

Sementara itu, Saminathan turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Air Keroh, Melaka antara 8.30 dan 10.50 malam, 28 Okt 2018.

Bagi kesalahan memberi sokongan, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Hakim Muhammad Jamil, Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir dan Pesuruhjaya Kehakiman Aslam masing-masing menetapkan 11, 19 dan 20 Feb untuk pengurusan kes dan serahan dokumen.

Ahmad Shahrir juga menetapkan 7 hingga 10, 14, 15, 17 dan 21 hingga 24 Sept untuk perbicaraan kes Teeran dan 5 hingga 8, 12 hingga 15, 19 hingga 22 Okt untuk perbicaraan kes Saminathan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman, Aliff Asraf Anuar Sharuddin, Mohd Firdaus Abu Hanipah dan Azlina Rasdi.

Peguam T Rajasegaran mewakili Kalaimughilan dan Teeran, manakala peguam Harshaan Zamani bertindak bagi pihak Arivainthan, Saminathan dan Sundram.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan