Setelah meletakkan jawatan, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini hanyalah Perdana Menteri interim atau sementara tanpa barisan ahli Kabinetnya.
Apa yang berlaku ini sebenarnya amat mengejutkan. Seluruh negara terkejut. Walaupun situasi masih terkawal, mesej-mesej atau pesanan yang meminta agar rakyat mengambil langkah berjaga-jaga telah mula tersebar.
Yang pasti, selain soal peletakan jawatan dan pelantikan interim tersebut, hampir tiada maklumat rasmi dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin parti sendiri.
Sudah tentu sikap mereka yang enggan ‘membuka mulut’ atau sekurang-kurangnya memberi pencerahan tentang situasi semasa, menambah kekeliruan tentang perkara sebenar.
Hakikatnya membiarkan rakyat meneka dalam kesamaran hanya akan memburukkan keadaan.
Kekurangan maklumat daripada sumber-sumber sahih dan dipercayai, mendorong mereka bergantung kepada maklumat-maklumat tidak sahih dalam media atau laman-laman sosial.
Keadaan ini sebenarnya ‘membahayakan’ negara. Tanpa mengetahui perkembangan sebenar, sebarang persepsi boleh bertukar menjadi lebih baik atau lebih buruk.
Yang ditakuti, ia mengganggu keharmonian.
Benar, ini isu kepemimpinan. Apa pun alasannya, rakyat paling berhak diberi sedikit penjelasan.
Justeru, permasalahan politik ini harus diselesaikan segera. Semua ‘permainan’ perlu ditamatkan.
Dan sudah semestinya rakyat mahu siapa juga yang menjadi Perdana Menteri, mampu melaksanakan tugasnya dengan baik, adil dan saksama.-Suara Merdeka
0 comments:
Catat Ulasan