SEBUAH kerajaan minoriti dijangka dibentuk buat kali pertama dalam
sejarah selepas Pakatan Harapan menyatakan sokongan ke atas Presiden PKR
Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan.
Sumber parti PKR dan DAP memberitahu The Malaysian Insight pagi ini, mereka akan mempersembahkan nama Anwar sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew yang
berkata beliau memilih Anwar sebagai perdana menteri sewaktu ditemuduga
Yang di-Pertuan Agong.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga selepas itu
memberitahu pemberita beliau memilih “salah seorang dari dalam parti
(PKR)”.
Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi
Fadzil berkata satu kenyataan media akan dikeluarkan hari ini.
Awal hari ini juga Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata
Anwar perlu diberi peluang membuktikan beliau ada sokongan untuk menjadi
perdana menteri kelapan.
“Ia jawatan yang tak boleh diwariskan atau diserah begitu saja. Mesti
dapat sokongan majoriti ahli Parlimen. Harap PBBM (Bersatu) tunaikan
janji. Tun PM ke 7, DSAI (Anwar) PM ke 8,” tulisnya di Twitter.
Menurut sumber parti, keputusan itu dicapai malam tadi dalam
mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, yang berlangsung tidak lama
selepas Barisan Nasional, PAS dan seorang wakil rakyat PBRS mengumumkan
mendesak diadakan pilihan raya semula.
Sumber berkata keputusan BN, PAS dan PBRS itu membuka ruang kepada kemungkinan tersebut.
Sehingga sebelum sidang media itu, BN dan PAS dijangka menyokong Dr
Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sebelum membentuk kerajaan baru
bersama Bersatu.
Temuduga Seri Paduka bersama baki 139 ahli Parlimen hari ini
dimulakan dengan 25 wakil rakyat Bersatu pada 10 pagi tadi, diikuti PKR
(39) dan Amanah (11).
11 ahli Parlimen dari kumpulan bekas timbalan presiden PKR Mohamed
Azmin Ali menghadap Yang Di-Pertuan Agong pada 1 petang diikuti 8 wakil
rakyat dari Sabah. Ia disusuli 42 ahli Parlimen DAP pada 2 petang dan
baki 3 wakil rakyat pada 3.30 petang.
Setakat ini, sekiranya Bersatu (25), Parti Warisan Sabah dan Upko
(10), Gabungan Parti Sarawak (18), dan 11 ahli Parlimen bebas diketuai
Azmin menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri, Ahli Parlimen
Langkawi itu mempunyai 64 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Sekiranya DAP (42), PKR (39) dan Amanah (11) menyokong Anwar, presiden PKR itu mempunyai 92 kerusi.
Dengan BN dan PAS mahu pilihan raya sekali lagi, mereka dikira
berkecuali daripada menyatakan pilihan calon perdana menteri. Walaupun
ada lima lagi wakil rakyat bebas dari Sabah dan Sarawak, keputusan
mereka tidak mengubah kedudukan sokongan di atas.
Mengambil kira peruntukan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, Yang
Di-Pertuan Agong perlu melantik Anwar sebagai perdana menteri
memandangkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Oleh sebab Perlembagaan Persekutuan menyatakan perdana menteri mesti
mempunyai majoriti mudah 112 kerusi, Anwar boleh dilantik dengan
sokongan majoriti 92 berbanding 64.
Anwar dengan itu berpeluang membentuk sebuah kerajaan minoriti.
Apa itu kerajaan minoriti?
Kerajaan minoriti ialah sebuah Jemaah Menteri yang dibentuk di bawah
sistem parlimen yang parti politik atau gabungan parti politiknya tidak
mempunyai majoriti kerusi di dewan perundangan.
Kerajaan minoriti bukanlah sesuatu yang tidak lazim. Ia pernah wujud
di beberapa negeri yang mengamalkan sistem parlimen seperti Estonia,
Ireland, Belanda, Norway, United Kingdom, Scotland, Wales, Belgium, New
Zealand dan beberapa lagi.
Dengan mengetuai sebuah kerajaan minoriti, tugas segera Anwar ialah
mendapatkan sokongan dari parti-parti lain di Dewan Rakyat bagi
memastikan kerajaannya tidak ditumbangkan melalui usul undi tidak
percaya.
Yang Di-Pertuan Agong memanggil 222 ahli Parlimen mengadap selepas
kerajaan Pakatan Harapan yang dibentuk pada Mei 2018 runtuh setelah Dr
Mahathir letak jawatan perdana menteri dan Bersatu bertindak keluar
daripada gabungan itu, Isnin lalu.
Pada hari sama, Dr Mahathir mengumumkan beliau melepaskan jawatan pengerusi Bersatu.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan