PH perlu fokus kerja untuk rakyat, usah layan provokasi

Oleh Wong Shu Qi

Kenyataan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad membuktikan bahawa rancangan peralihan kuasa antara kedua-dua pemimpin negara kita bakal berlangsung secara lancar pada hujung tahun ini. Justeru, seluruh jentera Pakatan Harapan perlu menumpu kepada kerja-kerja yang memanfaatkan rakyat.

Sejak spekulasi rancangan peralihan kuasa diuar-uarkan di media, pelbagai kuasa politik termasuk puak-puak yang mencari kesempatan mahu memecahkan Pakatan Harapan.

Walaubagaimanapun, kenyataan kedua-dua pemimpin tertinggi tersebut baru-baru ini telah memberi keyakinan kepada semua bahawa Pakatan Harapan akan terus diperkukuhkan.

 Jentera Pakatan Harapan tidak seharusnya menyahut provokasi puak-puak yang berniat untuk memecah-belahkan Pakatan Harapan dan menubuhkan “kerajaan pintu belakang”.

Saya berharap jentera kita menghentikan spekulasi serta menumpukan masa dan tenaga kita untuk membangunkan ekonomi dan masyarakat.

Kita tidak boleh menafikan kelemahan penerangan Pakatan Harapan selepas mentadbir negara hampir dua tahun.

 Walaupun pelbagai dasar yang membawa kebaikan kepada rakyat telah diperkenalkan, namun maklumat tidak sampai kepada orang awam.

Contohnya, sehingga kini, ramai yang masih tidak tahu bahawa golongan B40 layak mendapat insuran perubatan percuma, mySalam, secara automatik. Kini sudah tiba masanya untuk kita mempergiatkan kerja-kerja penerangan terutamanya untuk mempromosikan dasar kerajaan kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan perhatian bantuan dasar-dasar tersebut.

Selaras dengan perkembangan terbaru negara, Pakatan Harapan Kluang telah mengambil keputusan untuk menubuhkan Biro Penerangan dalam mesyuarat pada 15hb Februari 2020. Biro Penerangan ini akan diketuai oleh Yang Berhormat Muhamad Said Jonit, ADUN Mahkota.

Pada masa yang sama, mesyuarat juga meluluskan ketetapan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas isu cukai tanah yang diketuai oleh Yang Berhormat Chew Chong Sin, ADUN Mengkibol.

Jawatankuasa tersebut ditubuhkan untuk membantu rakyat membuat rayuan ke atas peningkatan cukai tanah.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan