PM interim akan umum Pakej Rangsangan Ekonomi hari ini

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang begitu dinanti-nantikan, yang dijadual diumumkan hari ini, akan menjadi acara rasmi pertama bagi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim.
Pakej rangsangan itu akan diumumkan di Putrajaya pada 4 petang.

Keperluan untuk memperkenalkan pakej rangsangan itu dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan seawal Januari bagi mengurangkan impak negatif daripada penularan COVID-19 ke atas ekonomi Malaysia selain memelihara kebajikan rakyat.

Antara lainnya, ia dijangka menumpukan kepada penggunaan, pelaburan dan sektor pelancongan selain merangsang ekonomi dan perjalanan domestik, yang terjejas akibat penularan wabak itu.
Kementerian Kewangan, pada Selasa, menyatakan bahawa pakej rangsangan ekonomi akan diumumkan oleh Dr Mahathir atas kapasiti beliau sebagai perdana menteri interim.

Pada Isnin, Dr Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatan beliau sebagai perdana menteri ketujuh. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menerima peletakan jawatan itu, kemudiannya melantik semula Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim.
Atas nasihat Dr Mahathir, Seri Paduka juga menarik balik pelantikan semua menteri.
Dalam satu kenyataan tiga perenggan, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata semasa tempoh interim itu, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga pelantikan perdana menteri baharu dan pembentukan kabinet baharu.

Malaysia bukan satu-satunya negara ASEAN yang merancang pakej rangsangan untuk menangani kebimbangan COVID-19. Kementerian Kewangan Thailand juga akan mencadangkan pakej rangsangan ekonomi baharu kepada kabinet pada pertengahan Mac.  — BERNAMA
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan