Oleh Arif Atan
Mungkin
inilah minggu paling sedih kepada AMANAH. Sepanjang siri pengkhianatan
dilaksanakan dengan pra-kemuncaknya adalah ‘Langkah Sheraton’ sebelum
berjaya menobatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,
AMANAH dan DAP merupakan parti yang masih boleh berbangga dengan
integriti dan prinsip perjuangan.
Tatkala rakan komponen Pakatan Harapan berdepan ujian pengkhianatan
yang cukup menyakitkan perasaan, AMANAH dan DAP pada awalnya kelihatan
kalis daripada ujian tersebut.
Ahli-ahli seluruh negara berbangga dengan kepimpinan AMANAH yang cukup berintegriti.
Daripada rasa bangga, tanpa sedar mungkin kebanggaan tersebut telah bertukar menjadi ujub dan angkuh dalam menilai pihak lain.
Dalam laman sosial, kita cukup megah untuk mengutuk dan menjatuhkan
pihak lain yang dianggap begitu mudah curang dengan risiko perjuangan.
Pada pandangan kita, mereka tidak layak menggelarkan diri sebagai
pejuang dan reformis. Disusuli rasa bangga itu, pelbagai grafik dan
poster bertebaran untuk kita menyatakan rasa bangga kepada para pimpinan
kita yang begitu teguh menahan ujian kemewahan yang dijanjikan oleh
pihak lawan.
Kita hampir begitu yakin bahawa rakyat akan mengangkat martabat dan
wibawa yang kita pertahankan selama ini. Memang dalam melakukan
kebaikan, kita sering merasa puas.
Tetapi kerana kesilapan kita untuk mengenang nasib diri, kita terlupa bahawa sesiapa saha
ja boleh ditimpa ujian yang sama.
Akhirnya pada 9 Mac lalu, AMANAH yang selama ini berbangga dengan
kehebatan prinsip perjuangan secara mengejut menerima ujian getir.
Semuanya bermula apabila Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul
Zulkarnain Abdul Munaim mengumumkan keluar parti dan menjadi Adun bebas.
Adun Titi Serong yang merupakan salah seorang Exco Kerajaan Negeri
Perak sebelum ini dilihat mempunyai kualiti kepimpinan yang agak cerah
untuk dibawa ke peringkat nasional pada masa depan.
Malangnya, ketidakstabilan yang melanda beberapa negeri tidak mengecualikan Perak daripada menerima tempias yang serupa.
Apakah punca beliau bertindak sedemikian sukar untuk dijawab.
Memanglah ada beberapa khabar angin yang berlegar-legar tetapi tidak
usahlah itu dibahaskan di sini.
Cuma dalam menghadapi pengkhianatan terbaharu ini, apakah tindakan dan sikap yang perlu kita ambil?
Apa yang menjadi kebimbangan adalah kegagalan kita sendiri itu mengambil iktibar daripada pengkhianatan ini.
Kebimbangan adalah kita masih melihat bahawa pengkhianatan itu atas
kecurangan dan kelemahan pihak mereka dan tiada kaitan dengan kita.
Yang telah khianat itu adalah sahabat kita sendiri. Yang sama-sama
telah mengharungi kegetiran berpolitik dan perjuangan selama ini.
Selepas khianat ini adakah kita sudah memutuskan persaudaraan dengan
mereka?
Sehingga artikel ini ditulis, nampaknya bukan sahaja mereka, kita
juga dengan sekelip mata berubah. Daripada mengangkat martabat mereka
sebagai pejuang dan pemimpin, secara drastik, kita menjadikan musuh
ketat yang perlu diperangi sehabis mungkin.
Maka bertebaranlah poster-poster baru dalam laman-laman sosial yang
penuh dengan perasaan benci, mengutuk, memaki hamun dan sebagainya.
Benar, tiada siapa yang bersetuju dengan pengkhianatan yang
dilakukan. Tetapi sudah habiskah sekelumit rasa insaf dan sayang kepada
hubungan yang terbentuk selama ini?
Justeru, kita harus bertanya semula secara jujur kepada diri sendiri,
apakah jenis politik yang telah kita bergelumang selama ini?
Adakah sekadar berusaha untuk menguasai tampuk pemerintahan dan terus
berusaha untuk memastikan tidak jatuh ke tangan pihak musuh?
Sampai bilakah politik kebencian dan pengkhianatan ini akan berakhir?
Jika dilihat kepada senario semasa, belum nampak sebarang tanda budaya
berpolitik dalam negara ini akan disuburi dengan nafas yang positif,
membina dan membawa kebajikan.
Kita harus berhenti sebentar. Meneliti dahulu diri sendiri. Cermin
diri. Melihat dan menilai semula perjuangan selama ini. Dari mana ingin
bermula dan di manakah harus berakhir.
Pada pengkhianatan yang berlaku memang ada harga yang perlu dibayar, tetapi dengan cara apakah ingin kita bayar akhirnya?
Berita penuh https://malaysiadateline.com/dengan-apa-pengkhianatan-ini-akan-dibayar/
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan