Rakyat Malaysia tak perlu sahkan kerajaan Muhyiddin, kata C4

RAKYAT Malaysia tidak sepatutnya mengesahkan kerajaan baharu meskipun terdapat pelbagai tawaran kepada pengundi oleh Perdana Menteri Muyhyiddin Yassin, kata Cynthia Gabriel.

Pengarah Eksekutif Pusat Bagi Memerangi Rasuah dan Kroni (C4) itu dalam satu kenyataan berkata, masyarakat umum tidak sepatutnya diperbodohkan bahawa perkara itu “normal” dan boleh dijadikan perkara normal.

“Ia mengingatkan bahawa kerajaan yang tidak dipilih ini ditubuh dengan gabungan kuasa yang kalah pada pilihan raya umum lalu kerana rasuah besar, penyalahgunaan kuasa, dan ketaksuban.

“Pengkhianatan dalaman ini memberi laluan mudah kepada parti ini untuk merampas kuasa daripada rakyat dengan mengkhianati mandat yang diberikan pada pilihan raya umum lalu.

“Semua ini sudah tentu dilakukan secara sembunyi, merahsiakan daripada semua pihak, mengakibatkan pengkhianatan dan ketidakpercayaan oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan itu.

Berikutan itu, Gabriel juga menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan rasuah untuk membeli sokongan ahli Parlimen.

“C4 berharap dapat bekerjasama dengan SPRM dan institusi lain bagi memperkukuhkan keperluan akauntabiliti daripada ahli politik,” katanya.

Gabriel turut menggesa pengundi ahli Parlimen yang terlibat agar tampil dan “penuhi pusat khidmat mereka dengan nota dan surat bantahan, tuntut penjelasan daripada mereka kerana mengkhianati kepercayaan kamu”.

“Kepada ahli Parlimen yang dipujuk untuk lompat parti, tolong jadi berani untuk menghalangnya dan buat laporan terbuka. Hanya itu cara untuk kita halang politik wang.”

Beliau turut menyampaikan pesanan kepada PH: “Kami percaya bahawa pengalaman dari dalam kerajaan akan memastikan kamu bekerja rapat dengan rakyat untuk menunaikan manifesto dan melakukan pembaharuan.”
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan