Oleh ZAKARIA MUSA
Saya cuba menyelami — atau lebih tepat membayangkan — perasaan dan sensitiviti ahli-ahli serta pendukung Pas selepas presidennya tidak terpilih sebagai anggota Kabinet selepas “kerajaan pintu belakang” dibentuk baru-baru ini.
Lebih awal daripada itu, apakah penyokong Pas gembira apabila parti mereka terbabit dalam komplot jahat secara proaktif menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat rakyat dalam PRU14, hampir dua tahun lalu.
Ada pemimpinnya yang menzahirkan rasa syukur kerana dapat bersama-sama membentuk kerajaan secara mudah tanpa perlu bertungkus-lumus berkempen bagi mendapat sokongan majoriti rakyat.
“Kerajaan tebuk atap” diperolehi hanya dengan “permainan licik” dalam kalangan ahli-ahli Parlimen oportunis, yang rakuskan kuasa, bermula apabila sebilangan pemimpin Bersatu dan PKR belot-khianat.
Namun, berdasarkan tinjauan rambang, tidak kurang juga penyokong Pas yang malu dengan insiden tersebut dan menyifatkan ia mencemar reputasi parti Islam. “Memang ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang tetapi ia mengetepikan mandat rakyat dan berlawanan dengan prinsip moral serta akhlak. Parti Islam seperti Pas tidak boleh bersekongkol untuk merampas kuasa di tengah penggal. Ini satu kudeta yang bertentangan dengan amalan demokrasi. Sebab itu sedikit sekali ketua-ketua negara lain yang mengucapkan tahniah kepada perdana menteri, Muhyiddin Yassin,” kata seorang pengundi yang memangkah Pas di Kedah dalam PRU14 lalu.
Sudahlah imej tercemar dengan konspirasi tidak demokratik itu, Pas tidak diberi ganjaran bersesuaian dengan sumbangannya membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN). Walaupun keanggotaan menteri dan timbalan menteri mencapai bilangan terbesar 70 orang, wakil Pas yang dipilih tidak sampai sepuluh, iaitu lapan orang; manakala menteri hanya tiga. Potfolio ketiga-tiga kementerian itu pula — alam sekitar, perladangan dan undang-undang — dilihat tidak begitu strategik atau dekat dengan rakyat.
Pemerhati politik lebih cenderung membuat perbandingan antara Kabinet Muhyiddin dan Kabinet Dr Mahathir Mohamad. Muhyiddin tidak melantik timbalan perdana menteri demi menjaga sensitiviti para pemimpin utama Umno, Pas dan Bersatu, juga Gabungan Parti Sarawak. Namun wakil Bersatu, termasuk kumpulan Azmin Ali yang belot terhadap PKR diberi jawatan penting walaupun jumlah wakil rakyatnya kurang sepuluh berbanding Umno.
Kabinet Dr Mahathir meraikan semua pemimpin kanan empat komponen parti PH. Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Ismail, Presiden PKR dipersetujui sebelum PRU14. Tiga menteri kanan ialah Muhyiddin (Dalam Negeri), Presiden Bersatu; Lim Guan Eng (Kewangan), Setiausaha Agung DAP; Mohamad Sabu (Pertahanan), Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH). Walaupun bilangan ahli Parlimen setiap parti jelas berbeda, ada yang lebih ramai tetapi masing-masing mempunyai wakil dalam Kabinet dengan jumlah hampir setara.
Biarpun empat menteri kanan dilantik, Muhyiddin mengumumkan sekiranya beliau tiada dalam negara, mesyuarat Kabinet akan dipengerusikan Azmin. Naib Presiden Umno, Ismail Sabri, dianggap menteri kanan pada kedudukan di bawah Azmin. Potfolio strategik seperti pendidikan, dalam negeri, luar bandar, wanita, pertanian dimonopoli Bersatu. Harus diingat Bersatu hanya menang 13 kerusi Parlimen dalam PRU14, sejumlah yang sama wakil rakyat Umno melompat masuk parti itu kemudiannya. Geng Azmin yang khianat menambah sepuluh orang, manakala lima lagi wakil rakyat Bersatu memilih kekal bersama Mahathir.
Umno mungkin boleh menerima hakikat bahawa presiden (Ahmad Zahid Hamidi) dan timbalan presidennya (Mohamad Hassan) tidak terpilih dalam Kabinet Muhyiddin. Zahid terbeban dengan banyak kes mahkamah dan Mat Hassan hanya seorang Adun di Negeri Sembilan, yang diperintah Pakatan Harapan. Soalnya, mengapa Presiden Pas, Ustaz Abdul Hadi Awang, ahli Parlimen Marang, yang cukup senior, berpengalaman sejak 1990, boleh tercicir?
Umno lebih terbuka dan berterus-terang. Mereka tidak puas hati dengan keanggotaan Kabinet Muhyiddin dan skop potfolio yang diserahkan kepada Umno. Sebahagian para pemimpinnya nampak agak lebih selesa sekiranya Parlimen dibubarkan dan mereka masuk bertanding PRU15 atas nama Muafakat Nasional, Umno-Pas.
Bagaimanapun, Pas tidak menzahirkan rasa tidak puas hatinya walaupun para penyokong mungkin menyimpan kecewa. Abdul Hadi, yang sepatutnya dilantik menteri kanan, memilih untuk menjadi pemantau kepada prestasi tiga menteri Pas. Sekurang-kurangnya Pas menunjukkan sikap positif, yang tidak membawa masalah kepada Muhyiddin dan boleh menambah “wibawa Islamik” terhadap keabsahan “kerajaan tebuk atap” itu.
Pas yang dikatakan mempunyai ramai ulamak daripada 18 ahli Parlimennya juga mendapat tamparan hebat apabila Muhyiddin tidak melantik wakil parti Islam itu sebagai Menteri Agama. Ketua Ulamak Pas juga tidak dilantik anggota pentadbiran. Namun setakat ini, Pas cuba menjadi sekutu yang baik dan kelihatan berpuas hati dengan agihan yang dibuat Muhyiddin.
Mungkin Pas sedang berusaha untuk memulihkan imej buruknya dalam pengalaman mengadakan persefahaman politik dengan parti-parti lain. Dalam Angkatan Perpaduan Ummah, berselisih dengan Semangat 46, bersama Barisan Alternatif bertelingkah dengan DAP, Pakatan Rakyat berakhir bila Pas putus hubungan dengan PKR dan DAP.
Apakah Pas sudah menyedari pendekatan politiknya yang ekstrem dan melampau itu akhirnya merugikan dirinya sendiri? Realiti kemajmukan Malaysia menuntut Pas untuk bersikap lebih sederhana dan fleksibel? Jika tidak, ia berterusan di posisi pembangkang sedangkan saingan terdekatnya, AMANAH pun pernah membentuk kerajaan selama 22 bulan.
Pandemik Covid-19 sebenarnya membawa rahmat kepada “kerajaan pintu belakang” ini. PH telah menangguhkan siri penerangannya ke seluruh negara. Beberapa program awal menunjukkan sambutan hebat rakyat. Desakan untuk mengadakan sidang Parlimen juga dikendurkan ekoran wabak maut itu; PH hanya menuntut sidang khas Dewan Rakyat pakej rangsangan ekonomi dan memberi jaminan tidak membangkitkan usul tidak percaya kepada perdana menteri.
Soalnya, mampukah pemimpin Pas mengawal sikap ahli-ahlinya terutama apabila timbul rasa tidak puas hati atau protes terbuka terhadap prestasi kerajaan PN terutama berkaitan isu-isu Melayu-Islam.
Sebelum ini Pas berada di barisan depan menyerang kerajaan PH dan mendakwa DAP menguasai Putrajaya sehingga kepentingan Islam dan institusi Melayu dipinggirkan.
Sementalahan pula pengaruh Pas dalam pentadbiran Muhyiddin boleh dipersoalkan keberkesanannya. Ditambah struktur PN yang kabur, tidak sepertimana Barisan Nasional (BN) dan PH sebelum ini. Situasi dijangka lebih tegang menjelang PRU15 nanti apabila tiga parti Melayu, Bersatu-Umno-Pas, memulakan proses agihan kerusi.
Home / Pendapat
/ Sanggupkah pendukung Pas berkompromi dengan agihan Muhyddin dan prestasi kerajaan PN?
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan