Tahniah kepada majikan yang masih membayar gaji

Oleh Timmy Say

Perintah Kawalan Pergerakan serata dunia menyebabkan dunia perniagaaan terhenti dan mengalami kerugian yang teruk. Ramai majikan yang masih cuba bertahan meneruskan perniagaan meskipun lebih sebulan pendapatan terjejas.

Kecekalan para majikan ini untuk terus menggaji pekerja dan membayar gaji setimpal meskipun para pekerja bekerja dari rumah wajar dipuji.

Para pekerja yang masih mempunyai pekerjaan hari ini perlu banyak bersyukur. Meskipun terpaksa kerja di rumah, mereka wajar bekerja bersungguh-sungguh. Jangan ambil sambil kesempatan menganggap ini sebagai cuti. Jika kerja kurang, ambillah peluang ini untuk memajukan diri untuk menjadi pekerja yang lebih efektif untuk syarikat. Jikalau waktu siang diganggu oleh anak-anak, gantilah waktu kerja di waktu malam.
Hargailah majikan yang masih sudi membayar gaji di musim Covid-19 ini.

Tahniah kepada kerajaan yang melaksanakan pelbagai insentif untuk majikan terus bertahan ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan demi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Tujuan kerajaan adalah mengelakkan pengangguran berleluasa.

Ini kerana apabila pengangguran berleluasa, kuasa membeli rakyat akan berkurang secara drastik. Ini juga bermaksud jumlah pelanggan secara umumnya akan berkurang. Apabila ini berlaku, ia secara langsung akan menjejaskan seluruh rantaian dunia perniagaan meskipun PKP berakhir.

Perniagaan apa yang boleh hidup tanpa pelanggan?

Apabila perniagaan semakin terjejas kerana kekurangan pelanggan, maka majikan terpaksa membuang sebahagian pekerjanya untuk mengurangkan kos tanggungan demi kesinambungan perniagaannya. Tindakan ini akan menyebabkan pengangguran menjadi bertambah berleluasa. Rantaian ini akan berulang-ulang sehingga ekonomi jatuh ke dalam gaung yang sukar dipanjat kembali.

Untuk ekonomi pulih dengan cepat selepas wabak Covid-19 reda dan PKP tamat, syarat pertama ialah mengelakkan pengangguran menjadi berleluasa tatkala ini. Jika kebanyakan rakyat masih ada pekerjaan, maka secara umumnya jumlah pelanggan untuk semua jenis perniagaan masih akan kekal di paras yang sihat.

Dengan adanya pelanggan, maka peluang lebih cerah bagi perniagaan untuk pulih ke sedia kala. Apabila perniagaan pulih, maka majikan akan tambah pekerja untuk menampung perkembangan perniagaan masing-masing. Ini secara langsung akan mengurangkan pengangguran.

Rantaian ini akan berulang-ulang sehingga ekonomi pulih dan melonjak kembali dengan kadar yang cepat.

Di kala mereka di bidang perubatan dinobat sebagai hero barisan depan melawan Covid-19, kita perlu berterima kasih juga kepada para majikan samada swasta atau kerajaan yang masih cekal membayar gaji pekerja mereka di musim Covid-19 ini.

Sesungguhnya, mereka ialah barisan depan melawan ombak keruntuhan ekonomi akibat Covid-19.
Oleh itu, jika PKP terpaksa dipanjangkan, kerajaan perlu menambah insentif kepada semua perniagaan. Semua ini demi mengelakkan pengangguran berleluasa yang boleh menyusahkan dan membantutkan segala usaha pemulihan ekonomi pasca PKP nanti.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan